Sunday, August 29, 2010

Berperang Dekat Gambang



Jom 'berperang' dalam hutan
Oleh Samsudin Awang

2010/07/22

KESERONOKAN bermain air di taman tema Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan yang menjadi taman tema terunggul di pantai timur memang mengasyikkan.


sebelum - selepas



Ini menjadi BGRC destinasi popular bagi pengunjung yang mahu bercuti dan bersantai bersama keluarga masing-masing.

Selain taman tema airnya, BGRC juga menyediakan aktiviti rekreasi di luar taman tema yang pastinya memberikan keseronokan berganda serta 1,001 kenangan terindah.

Aktiviti rekreasi luar di BGRC berpusat di lokasi khas iaitu Active Academy di tengah kawasan hutan yang menyajikan pengunjung dengan kehijauan hutan semula jadi serta cabaran sebenar aktiviti lasak.

Di Active Academy, pengunjung berpeluang merasai tujuh jenis aktiviti yang disediakan di sekitar kawasan hutan dan bukit sambil menguji kemampuan fizikal mereka.

Antara aktiviti paling digemari pengunjung adalah cabaran meredah hutan dan bukit dengan memandu kenderaan laluan lasak (ATV) sambil meneroka khazanah hutan serta menyahut cabaran bukit dan lumpur di sepanjang laluan.

Pakej ATV Fun Ride turut diperkenalkan supaya aktiviti berkenaan dapat disertai semua kategori pengunjung tanpa mengira kemampuan fizikal atau kemahiran.

Jika mahu meneroka suasana hutan dengan cara 'berperang' pengunjung boleh menyertai permainan paintball secara berkumpulan sambil menikmati flora dan fauna.


Namun, jika tidak minat untuk 'berperang', peminat paintball masih boleh beraksi secara individu di lapang sasar yang disediakan untuk penembak tepat paintball bagi menguji ketepatan bidikan mereka.

Untuk aktiviti berkumpulan seperti kursus motivasi atau latihan lasak, BGRC menyediakan kemudahan dengan cabaran meredah hutan pada waktu malam atau siang serta melepasi 15 halangan buatan (obstacle) dan flying fox.

Ia pastinya dapat meningkatkan keyakinan, kekuatan mental dan fizikal serta semangat berpasukan pengunjung yang melakukan aktiviti berkenaan.

Menunggang kuda mengelilingi kawasan BGRC adalah antara aktiviti paling digemari kanak-kanak kerana haiwan jinak itu sering mempamerkan aksi lucu dan menghiburkan apabila ditunggang.

Bagaimanapun, bagi yang tidak mahir menunggang kuda, mereka masih merasai pengalaman itu melalui kereta kuda yang disediakan terutama untuk pengunjung yang berkeluarga.

Selain kemudahan di Active Academy, terdapat pelbagai aktiviti luaran lain termasuk silap mata, pertunjukan ular, persembahan badut serta aktiviti di taman ria ala pesta ria pada waktu malam.

Pelbagai hiburan lain turut disediakan di sekitar hotel seperti meja snuker, set karaoke, permainan video dan sudut tempahan kraftangan dan cenderamata.

Pengarah Jualan dan Pemasaran BGRC, Rita Abdul Rahman berkata segala kemudahan rekreasi dan aktivi luaran yang disediakan di situ adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak mengambil bahagian.

"Walaupun BGRC lebih popular dengan keunikan taman tema airnya, tidak semua pengunjung menggemari aktiviti berkonsepkan air semata-mata.

"Justeru, BGRC membangunkan Active Academy serta pelbagai aktiviti luaran yang lain untuk memenuhi cita rasa pengunjung.

"Berdasarkan sambutan pengunjung, mereka berpuas hati bercuti di BGRC kerana pelbagai tarikan dan aktiviti pelancongan disediakan pada harga paling minimum," katanya.

Menurut Rita, selain kemudahan hiburan sedia ada, pihaknya turut merangka aktiviti hiburan secara bermusim seperti persembahan artis, taman hiburan dan pertunjukan silap mata yang dijadualkan mengikut kadar pengunjung semasa.

>INFO
>BGRC terletak 38 kilometer dari pusat bandar Kuantan atau lapan kilometer dari Tol Gambang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

>Tarikan pelancongannya adalah taman tema air, pusat rekreasi Active Academy, pesta ria dan persembahan hiburan termasuk silap mata.

>Aktiviti reakreasinya adalah memandu ATV, zon perang paintball, menunggang kuda, meredah hutan, melepasi 15 halangan dan flying fox.

>BGRC menyediakan kemudahan pelancongan untuk semua kategori termasuk individu, korporat, keluarga atau pelajar.

> Maklumat lanjut sila layari www.bgrc.com.my atau telefon 09-5488000

Musim Buah Di Jerantut

Jerantut manis enam bulan
Oleh Suliati Asri

2010/08/26

KEINDAHAN alam semula jadi Taman Negara Pahang, Jerantut memang memukau sesiapa sahaja.

Kehijauan flora dan fauna yang menjadi santapan mata menjadi buah mulut pelancong dari dalam dan luar negara.

Namun, ramai mungkin tidak menyedari bahawa daerah Jerantut seluas 466,880 hektar adalah pusat operasi durian terbesar di negara ini yang diselia Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).


Secara tidak langsung, Jerantut membangunkan sektor pelancongan pertanian atau agropelancongan negara.


Jerantut turut menjadi hab terbesar pengeluaran dan pengumpulan hasil buah-buahan bermusim seperti rambutan, langsat, duku dan manggis dari April hingga September setiap tahun.


Justeru, tidak keterlaluan Jerantut adalah 'syurga buah-buahan' bagi penggemar buah-buahan tempatan.


Selain di Pusat Operasi Fama Jerantut, peminat buah boleh menikmati pelbagai buah-buahan tempatan dengan harga yang berpatutan di Pusat Pengumpulan Buah (PPB) Kampung Damak.


Diusahakan Moktar Mamat, PPB Kampung Damak adalah pusat pengumpulan buah di sekitar kampung itu sebelum di hantar ke pusat operasi Fama.


Menurut Moktar, pemilik kebun atau dusun di sekitar Kampung Damak akan menghantar hasil mereka kepadanya sebelum buah-buahan itu dihantar kepada Fama.


"Jika mahu menikmati keenakan buah-buahan dari ladang, inilah tempatnya.


"Andai belum puas, anda boleh membeli dan makan sepuas hati di rumah bersama keluarga," katanya.


Di sini, katanya, ada pakej yang membolehkan pengunjung membeli secara borong atau makan sendiri dengan harga berpatutan.


"Jika mahu pakej yang disediakan, tolong beritahu kami dua atau tiga hari sebelum datang.


"Kami mahu pelancong yang datang menikmati buah-buahan berkualiti dan terbaik," katanya.


Moktar yang mengusahakan PPB itu dengan abangnya yakin dusun di sekitar Kampung Damak itu akan menjadi antara tarikan pelancong ke Jerantut terutama untuk menikmati buah-buahan tempatan.


Bagi 'hantu durian' yang mahu menikmati keenakan durian yang baru gugur dari pokok pengalaman mengutip raja buah di dusun seawal jam 4.30 pagi, pemilik dusun seluas kira-kira 40 hektar, Ho Tuck Wah, 75, menawarkan peluang itu.


Terletak di Sungai Lekok, Tuck Wah memberi peluang pengunjung mengutip durian atau mengambil yang dikutip pekerjanya.


"Jika datang berkumpulan di antara lima hingga 10 orang, pelancong dikenakan bayaran serendah RM5 sekilo sebakul. "Harga itu amat istimewa terutama bagi durian D24 dan Mousang King. Jika tidak habis, mereka boleh membawa buah pulang," katanya.


Selain durian, dusun Tuck Wha juga mempunyai rambutan, dokong, cempedak, manggis dan salak.


Dalam usaha mempromosikan ekopelancongan dan hasil durian negara yang bermutu tinggi, Fama menganjurkan program Parti Durian sejak tiga tahun lalu.


Pengurus Pusat Operasi Fama Jerantut, Mohd Lokman Muhd Isa, berkata program itu kian mendapat sambutan selepas Fama mengadakan dari semasa ke semasa.


"Tahun ini saja, kami menganjurkan dua hingga enam Parti Durian setiap minggu di lokasi terpilih di seluruh negara terutama di Kuala Lumpur.


"Parti Durian ini berkonsepkan bufet yang mana pelanggan membayar caj RM20 dan makan sepuas hati.


"Buah-buahan lain termasuk manggis, rambutan dan langsat turut disediakan," katanya.

Jom Ke Kota Gelangi


‘JAGA bahasa, jangan cakap kuat dan jangan tegur apa-apa.’


Pesanan yang tidak mungkin penulis lupa ketika pertama kali menjejakkan kaki untuk meneroka Gua Terang Bulan di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang.

Pesanannya ringkas, namun sarat makna tersirat, membuatkan penulis terfikir sama ada gua terbabit dikategori sebagai kawasan keras atau hanya seloroh rakan-rakan.


Apabila ditanya kepada pemandu pelancong Felda Resident Tekam, Norishanizam Sarudin yang membawa penulis bersama 35 wakil media dan kakitangan Olympus (M) Sdn Bhd, jawapannya ringkas: “Kita perlu beringat di tempat orang.” Kami yang mengikuti Jelajah Olympus-Media ke Pahang hanya terdiam dan langkah dipercepatkan untuk mendaki tangga menuju pintu gua.


Di pintu masuk, kami dihidangkan dengan beberapa formasi stalagmite dengan satu daripadanya membentuk seperti kepala ular tedung yang sedang berdiri. Menurutnya, gua itu di bawah jagaan Felda dan memang terkenal di kalangan penggemar gua dan pelancong.


“Di pintu masuk, anda boleh melihat formasi kepala ular tedung, lepas ini lebih banyak formasi lain seperti menyerupai kepala kambing, manusia dan singa.


“Semuanya terbentuk secara semula jadi hasil titisan mineral dan hakisan air sejak ratusan atau mungkin jutaan tahun kerana difahamkan usia gua ini sendiri lebih 140 juta tahun,” katanya.


Penulis diberitahu nama ‘terang bulan’ diperoleh berdasarkan keunikan gua berkenaan yang mempunyai sudut pantul cahaya di jarak 500 meter dari pintu masuk.


Jika bernasib baik, anda berpeluang melihat suluhan cahaya matahari daripada luar ke gua menerusi celah-celah batu secara pantulan ‘zig-zag.’ “Ketika mula diteroka, kami mengesan pantulan cahaya itu dan apabila Felda mengambil alih pemuliharaannya pada 1993, ia dinamakan Gua Terang Bulan.


“Kami pernah menemui rangka manusia di sini ketika menerokanya pada 1998. Semua artifak ini ada kita dipamerkan di ruang khas di Felda Resident Tekam,” katanya.


Selain Gua Terang Bulan, Felda turut mengurus sembilan daripada 197 gua di kawasan Taman Warisan Gua Kota Gelanggi termasuk Gua Penyu, Tongkat, Sanding, Angin, Balai, Hijau, Tangga 99 dan Gelap. Maklumat lanjut mengenai aktiviti rekreasi penerokaan gua hubungi Felda Resident Tekam di talian 09-471 8300.

HomeStay


ARKIB : 14/08/2010

Gemersik desa di Homestay Sungai Duri

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my


ARTIKEL ini disiapkan ketika berada di atas wakaf atau pondok kecil di bawah pohon rambutan. Dihembus tiupan angin dan di bawah redup petang. Suasana yang pasti dirindui setiap warga kota yang saban hari dikelilingi kesibukan hidup di kota.

Bagi yang tidak pernah merasainya, inilah sebenarnya nikmat percutian yang pasti merehatkan minda. Tiupan angin yang membawa bersama kepenatan dan kerisauan yang berserabut di fikiran.

Kehadiran di Kampung Sungai Duri, Seberang Perai Selatan untuk mengikuti program inap desa baru-baru ini tidak dapat lari dari konteks 'kerja'. Namun, semua itu bagaikan tidak terasa kerana keramahan penduduk kampung dan suasana desa yang mengatasi segalanya.

Program anjuran RM Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pelancongan itu turut disertai beberapa wakil media tempatan dan dua pasangan 'mat saleh' dari Persekutuan Fotografi Perancis (FPF) diketuai presidennya, Thierry Cheriot.

Antara perkara paling menarik dalam program itu adalah berpeluang menikmati pemandangan yang berbeza daripada kebiasaan melalui lebuh raya ke utara setelah penganjur memilih menggunakan keretapi sebagai kenderaan membawa peserta ke Pulau Pinang.

Langkah kementerian memberi tumpuan terhadap pelancongan keretapi atau rail tourism bagi menunjukkan keindahan alam kita kepada dunia luar merupakan langkah tepat.

Tanpa perlu menumpukan perhatian kepada pemanduan, para penumpang keretapi sebenarnya dibawa menyelusuri desa dan kota berselang-seli sambil kerap kali berpeluang melihat kehijauan bumi Malaysia.

Bagi yang memilih ke utara, tentunya pengalaman berada di tengah-tengah tasik menjadi pemandangan yang paling ditunggu-tunggu apabila landasan keretapi 'membelah' Tasik Bukit Merah di Perak.

Keunikan itu cukup untuk membuatkan empat peserta dari Perancis yang menyertai rombongan itu seakan-akan melekap di tepi tingkap untuk melihat keunikan yang ada pada bumi Malaysia.

Setelah tiba di Stesen Keretapi Parit Buntar, rombongan dibawa menaiki bas persiaran ke tempat dituju iaitu Homestay Kampung Sungai Duri, Seberang Perai Selatan.

Sebaik turun dari bas, hati sudah terpaut kepada 'semangat' yang ada pada kampung tersebut.

Jarum jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 11 malam (biasanya waktu itu kampung sudah mula sunyi). Namun, hati seakan terharu melihat para ayah dan ibu setia menanti dengan kalungan bunga.

Melihat lauk-pauk yang dihidang malam itu (rendang ayam dan gulai ikan masin), sebenarnya tidak mendatangkan selera kepada sebahagian besar kami kerana masih kekenyangan setelah menikmati makanan yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sepanjang perjalanan.

Namun, setelah ingin merasa sedikit (kononnya), kebanyakan kami sama sekali gagal menahan nafsu kerana enaknya menikmati masakan kampung.

Rasa kenyang yang tadinya hampir membuatkan kami terpaksa menolak hidangan, terus hilang entah ke mana tanpa dapat dikesan.

Setelah masing-masing selesai 'melahap', para peserta diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Permulaan kepada pengalaman yang sukar untuk kami lupakan. Hari kedua program bermula dengan lawatan ke dusun buah-buahan. Tentunya, raja segala buah, durian menjadi tumpuan peserta-peserta dari Malaysia.

Namun tidak bagi rakan-rakan dari Perancis. Pelbagai gelagat dapat dilihat dari keempat-empat mereka. Tiga daripada mereka, Lawrence Cheriot (isteri Thierry) serta pasangan Germain Poiree dan Josette Poiree cuma merasa secubit daripada seulas durian sebelum tidak lagi dapat menelannya. Hanya Thierry mampu meneruskan ' cabaran' dengan ulas durian yang kedua untuknya.

Setelah itu, waktu yang paling menyeronokkan ialah apabila para peserta bersama penduduk kampung beramai-ramai ke dewan untuk menyertai sukaneka. Di situ pelbagai permainan tradisional seperti congkak, gasing, guli, sepak raga dan teng-teng dimainkan.

Acara sukaneka seperti kasut tempurung, belon air serta boling kelapa turut memeriahkan suasana. Sebelah malamnya pula diisi dengan persembahan-persembahan kebudayaan dari kanak-kanak tadika dan tidak terlepas juga peserta 'didera' untuk meniru persembahan tersebut sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk berehat.

Hari ketiga yang juga hari terakhir, demonstrasi menoreh getah serta mengait buah kelapa sawit menjadi hiburan awal buat para peserta. Ahli rombongan lebih banyak berjalan kaki untuk melihat keindahan kampung daripada menaiki bas dan ia menyebabkan keempat-empat mamat dan minah saleh itu sering 'hilang arah' kerana terlalu asyik melihat serta menangkap gambar pemandangan dan unggas desa.

Friday, August 27, 2010

Kolam Air Panas



Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

Calvin Ho menunjukkan crystal pool pada majlis pengenalan Lost World Hot Spring and Spa di ipoh, baru-baru ini.

IPOH 26 Ogos – Berkunjung ke taman tema Lost World of Tambun yang berlatarbelakangkan bukit batu kapur, tidak lengkap rasanya jika tidak menjejakkan kaki ke kolam air panas, Tambun Hot Springs.

Kolam buatan yang kaya dengan mineral asli itu terasa bersih dan segar apabila ia dialirkan terus daripada sumber utama air panas semula jadi sebelum disalurkan ke Sungai Kopisan berdekatan.

Kandungan mineral semula jadi yang terdapat dalam air panas seperti kalsium karbonat, sodium, potasium dan magnesium sulfat, pastinya menyihatkan serta menyegarkan sesiapa yang menikmatinya.

Bermula 1 September ini, kolam air panas itu akan bertukar wajah apabila ia bakal menjadi tarikan terbaru yang dikenali sebagai Lost World Hot Spings and Spa.

Dibuka sehingga waktu malam, ia pasti merupakan destinasi merehatkan badan dan menyamankan fikiran apabila kira-kira tiga juta liter air panas dari dasar Tambun dialirkan ke Lost World Hot Springs and Spa.

Di ‘Infinity Pool’, pengunjung berpeluang merasai seolah-seolah dikelilingi sebuah sungai atau tasik dengan bunyi air terjun yang turun menderu-deru.

Kawasan seluas 7,432 meter persegi itu dapat memuatkan kira-kira 300 pengunjung buat satu-satu masa.

Pada penghujungnya, pengunjung disajikan dengan pengalaman spa sebenar di ‘Lost World Steam Cave’.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, air panas semula jadi yang kaya dengan mineral asli itu amat baik untuk kesihatan selain mampu mengurangkan ketegangan atau pelbagai masalah stres.

Terapi semula jadi yang boleh merehatkan serta membuang toksik dalam badan cukup menyegarkan kerana ia boleh mengurangkan komplikasi masalah tekanan seperti sakit belakang, dada mahupun kegelisahan.

Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati rawatan spa kaki di sebuah kolam yang diperbuat daripada batuan refleksologi dengan hanya perlu berjalan di atasnya.

‘The Spa’ yang menawarkan kemudahan terapi aroma dan ‘Head and Shoulder’ pula mengenakan harga berpatutan bagi pelanggan yang berminat untuk mencubanya.

Pengalaman menikmati kehangatan air panas juga dapat dikongsi bersama pasangan di ‘top of the world pool’ sementara ‘crystal pool’ direka khas untuk tempahan orang kenamaan.

Pancuran air ‘the Geyser’ yang ‘meletus’ pada setiap jam diikuti oleh kesan pencahayaan, pastinya memberi pengalaman menarik pada waktu malam kepada pengunjung.

“Dengan lebih daripada RM2 juta yang dibelanjakan untuk pembangunan tarikan terbaru ini, pengunjung mempunyai destinasi menyeronokkan yang boleh dinikmati pada waktu malam di Ipoh,” kata Calvin.

The Lost World Hot Springs and Spa akan dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula pukul 6 petang sehingga 10 malam dengan bayaran masuk sebanyak RM12.

Bagi mereka yang berminat untuk melawat ke semua lokasi menarik di Lost World of Tambun bersama-sama tarikan terbaru ini, mereka perlu membayar RM38 untuk orang dewasa sementara RM32 bagi kanak-kanak.