Tuesday, September 28, 2010

Warisan Penjajah



Warisan penjajah jadi tarikan pelancong

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Sebuah masjid yang dibina oleh pedagang Islam dari India pada abad ke-19 antara tarikan pelawat dan kini digunakan tempat beribadah di bandar Kuala Lipis. Pusat pentadbiran British di Pahang dibina pada 1919 kini masih tersergam indah dan dijadikan Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Lipis.

KUALA LIPIS 27 Sept. - Bandar Kuala Lipis memang kaya dengan tinggalan bangunan bersejarah era penjajah British abad ke-19 selain keindahan alam semulajadinya yang dikelilingi hutan rimba dan sungai yang masih belum tercemar.

Sehubungan itu, status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah masih terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan yang dijalankan Majlis Daerah Lipis (MDL).

Menyingkap sejarah, bandar ini pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 sebelum berpindah ke Kuantan yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini.

Kuala Lipis dijadikan pusat pemerintahan British ketika sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan berikutan kekayaan yang dimiliki di kawasan sekitarnya terutama perlombongan.

Antara bangunan yang masih kekal di bandar ini ialah Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (1920).

Tinggalan lain yang masih kukuh ialah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah (1929), Istana Hinggap (1926), pejabat pos (1910), asrama jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda (1900) yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara suatu ketika dahulu.

Sementera itu, rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini telah dibaik pulih MDL untuk dijadikan muzium warisan sejarah khususnya menempatkan galeri mempamerkan legitimasi keluarga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein semasa berkhidmat dengan Kerajaan Pahang di Kuala Lipis.

Bangunan-bangunan zaman British pada abad ke-19 ini terus menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan British sebelum dan selepas merdeka.

Justeru, bandar yang tenang terletak berdekatan Sungai Lipis ini sentiasa menjadi persinggahan pelawat untuk menikmati artifak sejarah British dan cara hidup penduduk tempatan.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berkata, pembangunan Bandar Lipis dikaitkan dengan destinasi pelancongan berdekatan seperti di Taman Rimba Kuala Kenong, Merapoh, Kuala Terenggun, Taman Rimba Kemahang, Inap Desa Kuala Medang dan beberapa destinasi lain yang menarik.

"Kuala Lipis memang sesuai sebagai destinasi program lawatan sehari kerana di sini terdapat banyak tinggalan sejarah dan menjadi transit pelawat yang berkereta api ke Taman Negara, Kelantan seterusnya Thailand," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, pembangunan Bandar Kuala Lipis sejajar dengan perancangan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang lalu berasaskan agropelancongan dan ecopelancongan dengan mengeksploit artifak sejarah, pertanian, kebudayaan dan kesenian untuk menarik pelawat ke daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi-agensi pelancongan supaya menjadikan Kuala Lipis sebagai salah satu destinasi mereka untuk memberi peluang pelancong asing melihat bangunan peninggalan British di bandar ini.

Selain melihat bangunan bersejarah, katanya, pelawat berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang masih kekal sebagai habitat flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semula jadinya.

Pada tahun lalu, jelas Mohamad Shahrum, kira-kira 50,000 pelawat berkunjung ke Kuala Lipis untuk menikmati keindahan hutan hujan, sungai, perkampungan Orang Asli dan tinggalan sejarah.


Sebuah masjid yang dibina oleh pedagang Islam dari India pada abad ke-19 antara tarikan pelawat dan kini digunakan tempat beribadah di bandar Kuala Lipis.Pusat pentadbiran British di Pahang dibina pada 1919 kini masih tersergam indah dan dijadikan Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Lipis.

"Oleh itu, usaha memulihara bangunan sejarah di samping mengindahkan kawasan bandar dijalankan berterusan oleh MDL agar terus terpelihara," katanya.

Justeru, katanya, pembukaan jalan baru Kuala Lipis ke Kuantan melalui Jerantut dan menaik taraf jalan dari Bentong ke Lipis mampu mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan serta pertanian di daerah itu.

Selain itu, katanya, Kuala Lipis menjadi transit kepada pelawat domestik dan pelancong luar yang telah dan akan mengunjungi Cameron Highlands setelah jalan raya siap dibina dan dibuka untuk laluan utama dari Sungai Koyan melalui Pos Betau ke Cameron Highlands pada awal tahun ini.

Kuala Lipis menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada pelancong seperti hotel, Rumah Rehat Bukit Residen dan Rumah Rehat Tanjong Lipis yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hidangan makanan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar.

"Pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama agensi pelancongan sedang giat mempromosi daerah ini malah menobatkan Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah di Pahang," katanya.

Tambahnya, antara usaha mempromosikan bandar Kuala Lipis termasuk menganjurkan Karnival Lipis, Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang dan menjadi tuan rumah program pameran serta seminar pertanian dan pelancongan sepanjang tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai bekerjasama mengekalkan kebersihan bandar Kuala Lipis sebagai usaha membantu mempromosi daerah ini untuk tarikan lebih ramai pelancong pada tahun ini.

Sementara itu, pelancong Britain, Edward Huth, 45, berkata, bandar Kuala Lipis mempunyai keunikan tersendiri kerana wujudnya artifak seni bina British.

"Saya berada di sini seolah-olah seperti berada di tanah air sendiri dan mengembalikan nostalgia di tempat sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Huth yang juga pengusaha pelancongan di Blackpool, England meminta warisan sejarah British itu dipulihara khususnya artifak itu juga menjadi cerminan sejarah kemerdekaan Malaysia.

Rakannya, Lisa Raymond, 42, berkata, dia bersetuju dengan program lawatan sehari anjuran kerajaan negeri kerana artifaknya itu masih wujud di negeri ini yang memaparkan kesan pentadbiran British di sini khususnya legitimasi Residen British, Sir Hugh Clifford.

"Hari ini, saya dapat mengunjungi kediaman Hugh Clifford di Bukit Residen di sini membuktikan sejarah bukan direka tetapi ia kejadian yang benar-benar menerusi wujudnya monumen di sini.

"Justeru, saya ingin melawat ke sini semula bersama anak-anak pada masa akan datang di samping melihat keunikan budaya orang Melayu di program inap desa Kuala Medang," tambahnya.

Saturday, September 25, 2010

Jom Ke Cherating


Cherating janjikan keseronokan


2010/09/15

BERSANTAI di tepi pantai Cherating sambil menikmati keenakan air kelapa memang mengasyikkan.


POPULAR...pantai Cherating popular dengan aktiviti papan luncur.
sebelum - selepas



DAMAI...pemandangan cantik memberi kedamaian kepada pengunjung.
Hamparan ombak Laut China Selatan dan pasir pantainya yang memutih pasti memberi ketenangan bersantai di pantai yang diberi gelaran 'syurga peluncur' sejak tahun 70-an.

Terletak lebih kurang 50 kilometer (km) dari Kuantan, Pahang Cherating adalah antara lokasi pantai peranginan paling popular di negara ini.

Mana tidaknya, Cherating yang juga dikenali sebagai Kampung Cherating, perkampungan nelayan sebelum dibangunkan sebagai destinasi pelancongan itu setiap tahun menerima kunjungan peluncur papan air dari seluruh negara.

Bermula dari Kuantan, Cherating memang menawarkan panorama indah selain pantainya yang bersih berpasir halus, landai serta selamat untuk bersantai.

Justeru, aktiviti bermain air laut atau meluncur antara aktiviti wajib jika berkunjung ke sini.

Namun, jika tidak gemar dengan air laut, anda boleh bermain bola sepak pantai, bola tampar pantai atau bersiar-siar di pantai.

Di sekitar pantai Cherating, anda boleh meninjau pelbagai jualan produk batik seperti kain sarung, selendang, celana, pareo, baju dan lukisan. Jika berminat, anda boleh mencuba bakat melukis batik.

Begitu juga dengan makanan seperti keropok lekor, keropok kering dan ikan masin yang boleh didapati dengan mudah di gerai sepanjang jalan dari Cherating ke Kemaman.

Penginapan bukan masalah di Cherating. Sepanjang kira-kira satu kilometer (km) selari dengan pantai, ia dipenuhi deretan chalet.

Apa yang pasti, Cherating sememangnya menjanjikan keseronokan untuk anda bersantai dengan damai dan ia pasti akan melambai anda untuk kembali.


> INFO

Cherating popular kerana pantainya yang memutih dan makanan laut yang enak.
November dan Disember adalah masa paling sesuai untuk aktiviti papan luncur air.
Ikan segar, keropok mentah dan lekor banyak dijual di Cherating.
Pelancong boleh mengunjungi santuari perlindungan penyu untuk melihat anak penyu yang baru menetas dan pemuliharaan hidupan marin yang kian pupus ini.
Kompleks budaya Cherating (waktu operasi jam 3 - 6 petang, setiap hari kecuali Isnin) menawarkan demonstrasi pembuatan kraftangan dan persembahan kebudayaan.

Friday, September 24, 2010


Tenang di air terjun Lepok
Oleh ASRUL EFFENDI ABIDIN

Kawasan di sini belum tercemar dan keindahannya masih dapat dinikmati. Juraian air terjunnya agak tinggi dan cantik.

MEMBUAT keputusan untuk berkhemah pada saat-saat akhir atau sehari sebelum ekspedisi adalah perkara yang biasa dilakukan oleh pendaki atau mereka yang menggemari aktiviti luar.

Namun, pilihan lokasi pada saat akhir biasanya berdekatan dan hanya memakan masa setengah hari hingga dua hari sahaja. Kami juga tidak terkecuali daripada melakukan perkara yang sedemikian. Bermula dengan sembang kosong di bilik latihan pejabat, akhirnya kami berlima dari Affiliation Team (Affiliation) memutuskan untuk menjejaki air terjun Lepok di Hulu Langat, Selangor pada keesokan harinya. Berbekalkan log yang dimuat turun dari laman web http://www.bintang3.net/ dan maklumat tentang air terjun ini melalui e-mel daripada rakan kami, Nije, akhirnya kami membuat keputusan untuk ke sana. Air terjun ini adalah permulaan bagi Sungai Lepok. Ada yang memanggilnya Sungai Lepor atau Sungai Lepoh. Namun, mengikut rujukan dalam peta Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (cetakan 2003), sungai yang dicatatkan di lokasi yang akan kami tuju ialah Sungai Lepok. Tiada persiapan rapi diperlukan. Hanya sedikit kudap-kudapan bagi mengalas perut ketika berjalan di dalam hutan sahaja yang kami sediakan.

Menyusuri denai hutan Seawal pukul 7 pagi, kami berlima berkumpul di stesen komuter Bandar Tasik Selatan. Dari situ, kami menaiki kereta Syahmi dan bergerak menuju ke kampung Hulu Pangsoon. Apabila melalui pekan Batu 9 Cheras, kami berhenti untuk sarapan. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke simpang kampung Hulu Pangsoon yang terdapat papan tanda arah ke ASLI Adventure di sebelah kiri jalan raya. Kami masuk menyusuri simpang itu dan selepas memandu selama kira-kira 10 minit, kami sampai di tempat letak kereta. Di kanan kami terdapat sungai dan di seberang sungai itu pula, terdapat tapak perkhemahan yang agak luas dan boleh digunakan untuk melakukan kegiatan motivasi ataupun kem gerak kerja luar. Memandangkan kami meletak kereta di atas tanah persendirian, RM2 telah dikenakan sebagai bayaran.

Pada pukul 9 pagi, kami yang telah siap dengan pakaian mendaki dan berbekalkan beg galas kecil masing-masing mula menyusuri denai. Denai yang dilalui ini tidak lama. Ini kerana selepas itu, kami meniti sebuah jambatan kecil. Seketika kemudian, sekali lagi kami melintasi jambatan setelah melewati sebuah pondok buruk yang telah roboh menyembah bumi. Kami mula menapak di laluan yang sedikit mencanak dan saya merasakan seolah-oleh mendaki ke Kem Lolo di kaki Gunung Nuang. Di pertengahan jalan, kami terserempak dengan seorang makcik Orang Asli bersama dua orang anaknya yang sedang mengupas rebung. Kami melalui bawah rimbunan buluh dan meneruskan pendakian dengan menyusuri ladang getah dan hutan.

Tidak lama kemudian, kami berjumpa satu cabang kecil ke kanan dan kemudian, kami terus menempuh laluan utama. Setelah setengah jam berjalan, akhirnya kami menemui cabang denai yang sama besar saiznya. Di kiri denai akan membawa kami menuruni bukit manakala di kanan pula arah mendaki. Kami mengambil cabang kanan dan terjumpa paip air bersaiz melebihi satu pemeluk. Di sini juga, kami menjumpai pokok tepus tanah daripada genus zingiber sp. yang tumbuh melata. Apa yang menarik tentang pokok ini ialah bunganya berbentuk seperti mikrofon. Akhirnya kami sampai di satu kawasan lapang yang mana pokok-pokok hutan telah ditebang dan ditanam dengan pokok buahan- buahan dan sayur - sayuran serta tanaman kontan seperti pisang. Pada anggapan kami, sudah tentu pokok-pokok ini ditanam oleh keluarga Orang Asli yang tinggal berdekatan sebagai sumber makanan mereka.

Suasana nyaman, tenang Kami meneruskan langkah dan mula mendaki bukit yang agak mencanak. Peluh jantan mula menitik. Sesekali kami meneguk air yang dibawa kerana kehausan. Nasib kami agak baik kerana laluan yang mencanak ini tidak terlalu panjang. Kira-kira pukul 10.30 pagi, kami sampai di sebuah pondok buruk seakan rumah tinggal milik penjaga pam air di situ. Di sinilah, penanda kepada permulaan denai menuju terus ke air terjun Lepok. Kami mula menyusuri sungai bagi mencari air terjun yang agak tinggi. Saya berdoa di dalam hati agar air terjun ini tidak mengecewakan kami.

Kira-kira lima minit kemudian, kami sampai di air terjun yang berbentuk zig zag dan berketinggian sekitar 15 meter. Jelas terbayang wajah kegembiraan dan senyuman puas Zahimi, Khairul dan Joe kerana dapat menjejaki air terjun ini. Bunyi hempasan terjunan air begitu mendamaikan. Suasananya begitu nyaman dan tenang. Masing-masing meluahkan rasa puas hati dan berbaloi dapat sampai ke sini.

Sebaik tiba di sini, kami mula memeriksa diri...kalau-kalau ada pacat yang melekat di betis atau kaki masing-masing. Terdapat beberapa ekor pacat yang sempat hinggap pada kaki kami dan telah gemuk kekenyangan.

Di kawasan ini juga, terdapat banyak lebah (apis.sp) yang gemar menghisap garam daripada peluh, menyebabkan kami semua terpaksa menanggalkan baju masing-masing yang masih dibasahi peluh. Lebah-lebah terus mengerumuni baju kami bagi menghisap peluh yang melekat pada baju. Walaupun baju telah ditanggalkan, namun masih terdapat beberapa ekor lebah mengerumuni tubuh kami. Untuk mengelak daripada terus diserang lebah, kami berendam di dalam air bagi membersihkan badan. Terbukti ketika naik semula ke tebing, tiada lagi lebah yang mengerumuni kami sekali gus membuatkan kami selesa untuk menikmati kudap-kudapan yang dibawa.

Kami difahamkan ada orang bermain gelongsor di air terjun berkenaan, namun tiada seorang pun di antara kami yang berani mengambil risiko dan berbuat demikian. Bimbang juga kalau-kalau perkara tak diingini berlaku. Bak kata pepatah malang tidak berbau. Setelah berendam, berenang, bergambar dan meneroka air terjun berkenaan selama satu setengah jam, kami mula bersiap untuk pulang. Kami menjangkakan perjalanan pulang sudah pasti lebih pendek masanya berbanding pergi kerana laluan yang menurun dan bukannya mendaki seperti perjalanan menuju ke air terjun. Di pertengahan jalan, kami terserempak dengan Orang Asli yang sedang mengusahakan kebun mereka. Terdapat juga Orang Asli menunggang motosikal untuk membawa keluar hasil hutan seperti bunga kantan atau nama saintifiknya Pheaomeria imperialis dalam kuantiti yang agak banyak.

Masih belum tercemar langkah kami lebih laju berbanding perjalanan pergi dan dalam masa sejam, kami sudah sampai ke tempat letak kereta. Lima minit sebelum sampai ke tempat letak kereta, kami perhatikan kawasan perkelahan di Sungai Lepok ini dipenuhi oleh pengunjung. Ada yang berkhemah, mandi manda dan ada juga yang barbeku. Suasana hari minggu di kawasan perkelahan ini agak meriah dengan kunjungan mereka yang ingin bersantai di jeram pada hujung minggu bersama kawan-kawan mahupun keluarga masing-masing. Setelah kami membersihkan badan masing-masing, barulah kami pulang.

Pada mulanya saya agak keberatan untuk ke air terjun Lepok ini, bimbang kalau-kalau ia mengecewakan, mungkin kawasannya kotor, air terjun yang kecil dengan air yang kotor. Rupanya-rupanya apa yang saya bimbangkan telah terhakis sama sekali. Kawasan di sini belum tercemar dan keindahannya masih dapat dinikmati. Juraian air terjunnya agak tinggi dan cantik. Walaupun ia tidak segah air terjun Jelawang di Kelantan, air terjun Chemerong dan air terjun Lasir di Terengganu mahupun air terjun Pelangi di Pahang, ia tetap sebuah air terjun yang unik dan boleh diklasifikasikan sebagai tempat yang boleh diulang pergi kerana agak cantik, memiliki kolam yang agak luas dan paling penting, ia tidak jauh dari ibu kota yang menjadi tempat kami menetap dan bekerja. Sudah pasti, kos yang rendah diperlukan untuk ke sana.

Bagi mereka yang ingin bermalam di sini, chalet dari Syarikat Idaman Nurani mampu memberikan tempat kepada pengunjung pada kadar sewaan yang amat berpatutan manakala bagi mereka yang ingin berkhemah di kawasan air terjun, terdapat tapak perkhemahan yang boleh memuatkan sekitar 15 orang pada satu-satu masa. Mungkin saya akan kembali lagi bersama kawan-kawan lain yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana dalam masa terdekat ini. Sesiapa yang berminat untuk mengetahui tentang air terjun ini bolehlah menghubungi penulis di talian 019-2361257.

Thursday, September 23, 2010

Tidur Dalam Hutan

Hutan simpan Jambu Bongkok unik

Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my
MARANG 22 Sept. - Tidak seperti hutan-hutan simpan yang lain, Hutan Simpan Jambu Bongkok di sini merupakan kawasan hutan rendang dengan tanah mendatar yang mudah dimasuki.

Ia mempunyai keistimewaannya tersendiri yang menjadi daya tarikan malah kedudukannya tidak jauh dari Pantai Rantau Abang dan mudah dijengah dari jalan utama turut memberikan kelebihan.

Hutan Simpan Jambu Bongkok merupakan antara tiga hutan simpan tanah rawan atau beris yang masih wujud di Semenanjung.

Ia juga menjadi 'rumah' kepada beberapa jenis pokok yang tidak mungkin ditemui di hutan simpan dan ini turut menjadi tarikan kepada hutan simpan seluas 700 hektar itu.

Walaupun spesies pokok-pokok di hutan simpan itu tidaklah berusia sehingga beratus-ratus tahun namun ia masih unik dan menarik.

Pokok-pokok rendang meredup dan angin pantai menambahkan ketenangan, menjadikannya sebagai pilihan bagi pelbagai pihak untuk mengadakan aktiviti meneroka hutan, perkhemahan dan lain-lain kegiatan rekreasi.

Selain calet, kawasan untuk berkhemah disediakan tanpa dikenakan sebarang bayaran, membolehkan mereka yang berminat untuk 'berkampung' beberapa malam di sana.

Para pengunjung juga boleh menikmati kemudahan lain seperti jambatan gantung, pondok maklumat dan lorong pejalan kaki.

Penolong Pengarah Unit Rekreasi, Jabatan Perhutanan negeri, Zailani Man berkata, Hutan Simpan Jambu Bongkok wujud dari kawasan pantai menyebabkan kawasan itu memiliki pasir halus yang subur dikenali sebagai tanah rawan atau beris.

''Di Semenanjung, hanya tinggal tiga hutan simpan tanah rawan atau beris ini iaitu Hutan Simpan Mencali, Rompin, Johor; Hutan Simpan Segari Melintang, Perak dan Hutan Jambu Bongkok di sini.

''Ini kerana kebanyakan kawasan tanah beris sebelum ini telah diterokai dan dibuka untuk pelbagai aktiviti ekoran tanahnya yang subur," katanya,

Beliau memberitahu, keunikan hutan berkenaan terletak kepada himpunan spesies pokok yang terdapat di sana.

''Apa yang menariknya ia dipenuhi dengan pokok dikenali sebagai balau pasir atau nama saintifiknya shorea materialis ridl.

''Selain itu, terdapat juga pokok yang dikenali sebagai putat, kelat dan kelat jambu laut yang tumbuh di kawasan hutan lipur ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, walaupun hutan simpan itu dibuka kepada orang ramai namun pengunjung perlu mematuhi beberapa peraturan termasuk tidak boleh menebang pokok di situ.

''Pengunjung juga dilarang merosakkan kemudahan yang ada serta memastikan kawasan hutan simpan sentiasa bersih dengan tidak membuang sampah merata-rata," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menaik taraf kawasan tersebut bagi meningkatkan tarikan lebih ramai pengunjung ke hutan simpan tersebut.

''Hutan Simpan Jambu Bongkok ini terletak berhampiran Pantai Rantau Abang dan jalan utama Kuantan-Kuala Terengganu-Kota Bahru.

''Jadi ia akan memudahkan orang ramai untuk singgah dan melihat keistimewaan hutan simpan ini dengan lebih dekat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri merancang untuk membangunkan kawasan hutan simpan itu dengan memanfaatkan keunikan alam semula jadinya.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada industri pelancongan negeri terutama di Marang.

''Pembangunan yang akan dijalankan tidak akan menjejaskan alam semula jadi Hutan Simpan Jambu Bongkok.

''Kawasan yang akan terlibat dengan pembangunan ini terletak di pinggir hutan simpan ini iaitu berdekatan dengan jalan utama," jelasnya.

Beliau menambah, pembangunan itu tidak akan melibatkan sebarang penebangan pokok dan melibatkan kawasan luar hutan.

''Kawasan terlibat dalam pembangunan ini adalah sebanyak 21.6 hektar di mana tiada pokok pun hidup di kawasan itu," ujarnya.

Beliau memberitahu, sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan buat permulaan untuk menyediakan kawasan kem termasuk pejabat pengurusan dan tandas.

''Sejumlah peruntukan juga akan disediakan untuk menyediakan bekalan air untuk meningkatkan kemudahan di sana.

''Bekalan air tersebut akan disambungkan dari Tanjung Jara, Dungun," ujarnya.

Tuesday, September 7, 2010

Bukit Larut

Tarikan baru di Bukit Larut

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Banglo lama yang dibina pada zaman penjajah Inggeris yang terdapat di Bukit Larut, Taiping ini juga mampu menarik perhatian pelancong.

IPOH 6 Sept. - Kawasan peranginan Bukit Larut atau Maxwell Hill di Taiping bakal menarik lebih ramai pengunjung selepas sistem kereta kabel yang akan dibina di situ siap kelak.

Projek sistem kereta kabel itu bukanlah satu perkara baru, ia sudah bertahun-tahun dirancang tetapi tertangguh kerana bantahan daripada persatuan alam sekitar dan sebahagian penduduk yang bimbang ia akan mencemarkan alam sekitar.

Namun, kerajaan negeri baru-baru ini meluluskan projek tersebut selepas kontraktor memberi jaminan tiada pembersihan hutan dilakukan dan helikopter akan digunakan untuk mengangkut bahan-bahan binaan.

Mengikut perancangan, projek tersebut dikatakan akan menelan perbelanjaan melebihi RM65 juta dan dijangka siap dalam tempoh 10 bulan dari tarikh ia dimulakan.

Sistem kereta kabel itu akan dikendalikan oleh Taiping Cabel Car Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menguruskan sistem kereta kabel di Pulau Langkawi, Kedah.

Menurut Pengerusi Eksekutif Taiping Cabel Car Sdn. Bhd., Datuk Seri Talaat Hussain, sistem kereta kabel itu bakal menggunakan teknologi serta piawaian yang ketat dari Austria dan Switzerland.

''Projek ini menawarkan pakej pelancongan terbaru kepada industri pelancongan di Perak dan diharap ia dapat menarik pelancong ke Taiping.

''Apa yang penting kita harap Taiping Cable Car dapat membuatkan projek ini bersifat mesra alam," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Talaat berkata, apabila siap kelak, sistem kereta kabel sepanjang 3.5 kilometer itu akan mempunyai 46 gondola yang mampu membawa 1,000 penumpang setiap jam.

''Kita menyasarkan sebanyak 500,000 daripada 750,000 pelancong yang datang ke Taiping akan menggunakan perkhidmatan kereta kabel ini dan kita jangka tarikan terbaru ini mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke Taiping.

''Sebelum ini kita menyediakan perkhidmatan ini di Langkawi dan didapati bilangan pelancongan meningkat dengan mendadak sehingga 200,000 hingga 300,000 dalam tempoh lima hingga enam tahun," katanya.

Dengan adanya kemudahan pengangkutan terbaru itu, tempoh perjalanan untuk sampai ke puncak Bukit Larut setinggi 1,250 cuma mengambil masa selama 11 minit berbanding 30 minit dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh Pejabat Taman Peranginan Bukit Larut di kaki bukit.

Kewujudan tarikan baru itu juga pasti mempopularkan lagi Bukit Larut yang terkenal dengan pemandangan semulajadinya yang begitu indah dan menyamankan terutamanya melihat pemandangan bandar Taiping dari puncak bukit.

Pada masa sama, pertambahan mendadak pelancong dapat membantu memajukan tarikan-tarikan pelancongan lain yang terdapat di Bukit Larut seperti inkubator pembiakan bunga tulip serta rumah banglo dan rehat yang dibina lebih sekurun lalu di pelbagai lokasi di situ.

Thursday, September 2, 2010

Taman Negara Loagan Bunut




Keindahan Taman Negara Loagan Bunut

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my

KEADAAN Loagan Bunut yang dilimpahi air. – UTUSAN/RANIA PARAN

MIRI 1 Sept. – Menyaksikan bulan penuh di langit yang menghasilkan bayang indah di permukaan tasik yang tenang adalah saat paling ditunggu-tunggu oleh pelawat jika berkunjung ke Taman Negara Loagan Bunut (TNLB) di Sarawak.

Begitu juga suasana awal pagi waktu terbitnya matahari yang diceriakan dengan suara penghuni hutan belantara akan menghasilkan perasaan teruja sambil menyusuri tasik menggunakan bot.

Terletak kira-kira 120 kilometer di tenggara bandar raya Miri, Sarawak, Loagan Bunut yang mempunyai keluasan 6.5 kilometer persegi merupakan satu-satunya tasik air tawar semulajadi yang ditemui di negeri ini.

Diwartakan pada 1990, TNLB meliputi kawasan seluas 10,736 hektar antara Sungai Tinjar dan Sungai Teru yang akan bertemu dengan kawasan tadahan Sungai Baram di bahagian hulunya.

Loagan Bunut diberi gelaran oleh penduduk asal suku Berawan bermaksud ‘tasik’ dan ‘bekal makanan’.

Apa yang menarik, tasik itu terletak di tengah-tengah kawasan taman negara itu. Kira-kira 94 peratus daripada kawasan taman negara adalah paya termasuk tasik dan hanya enam peratus iaitu di bahagian selatan adalah banjaran bukit-bukau.

Namun, tidak ramai yang mengetahui, tasik yang berusia 10,000 tahun itu akan kering kontang menjadi padang jarak padang tekukur setiap kali kedatangan musim kemarau.

Fenomena luar biasa itu boleh disaksikan antara bulan Mac hingga September setiap tahun.

Adakalanya tasik itu kering kontang beberapa kali dalam tempoh setahun. Pada paras biasa tasik ini mempunyai kedalaman empat hingga lima meter namun, parasnya boleh mencecah lebih tinggi pada musim tengkujuh.

Sebenarnya, tasik ini diairi oleh Sungai Bunut iaitu anak sungai yang berpunca dari Sungai Teru yang mengalir ke Batang Tinjar, Baram. Justeru naik turun paras air di tasik itu dipengaruhi oleh paras air sungai di Batang Tinjar.

Apabila paras air tasik di Loagan Bunut kering, penduduk tempatan boleh menggunakan motosikal ataupun kereta di tengah-tengah tasik itu.

Uniknya semasa proses pengeringan itu, pelbagai spesies ikan sungai antaranya biawan, tapah, betutu, mengalan dan mata merah yang hidup di tasik berkenaan akan berhijrah dan berkumpul di Sungai Teru sebelum menuju ke Sungai Batang Tinjar.

Kemarau berakhir, musim tengkujuh pula menyusul menyebabkan tasik itu sekali lagi dilimpahi air dari Sungai Bunut dan Batang Tinjar. Pada masa inilah ikan-ikan yang berhijrah sebelum ini berenang semula ke dalam Loagan Bunut.

Menyedari keunikannya dan pentingnya tasik itu terhadap ekosistem, pada 2001, TNLB telah dipilih sebagai tapak Projek Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari Hutan Paya Gambut Tropika dan Ekosistem Tanah Lembap yang dibiayai oleh kerajaan Malaysia dan Projek Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)/Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF).

Di bawah projek itu, TNLB dijadikan salah satu tapak penyelidikan flora dan fauna secara terperinci dilaksanakan untuk pengurusan hutan paya gambut dan ekosistem tanah lembap secara mapan di negara ini.

Sesuai dengan cirinya sebagai hutan paya gambut, TNLB menyajikan keindahan landskap dan panorama hijau yang mengasyikkan dan memang ideal untuk pengunjung yang mahu bersantai sambil menambah pengetahuan.

Ia kaya dengan kepelbagaian bio seperti 500 spesies tumbuhan berbunga termasuk orkid dan herba; 190 spesies burung; 70 jenis ikan; 20 spesies katak dan 30 spesies reptilia serta buaya spesies false gharial atau jejulong.

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, mereka berpeluang meredah hutan seakan kembali ke alam semula jadi melihat pelbagai keajaiban alam ciptaan Tuhan sambil menghargai khazanah alam yang tidak ternilai.


Tasik Loagan Bunut kering kontang setiap kali musim kemarau dari Mac hingga September setiap tahun.

Jika bernasib baik, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesies kelawar; burung liar seperti kenyalang, bangau, raja udang, binatang liar yang terlindung seperti beberapa spesies monyet; musang dan habitat babi hutan. TNLB merupakan syurga bagi kaki pancing dan peminat burung.

Oleh kerana kawasan TNLB luas, pengunjung perlu bijak membahagikan masa untuk melawat sekitar tasik dan seeloknya dapatkan panduan lawatan atau jurupandu yang disediakan pihak pengurusan taman.

Selain mengelilingi tasik, pengurusan menyediakan lima pilihan laluan pendidikan iaitu Laluan Tapang (260 meter); Laluan Belian (720m); Bukit Paron dan Laluan Hidupan Liar (2 kilometer) dan Laluan Hidrologi (2.5km) melalui hutan paya gambut.

Selain itu, pengunjung boleh menyusuri tasik menggunakan bot sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam sekitar.

Penjelajahan tasik itu bermula di jeti taman sebelum mengelilingi tasik seterusnya memasuki Sungai Bunut dan Sungai Bunan. Bayaran bergantung kepada pakej yang digunakan.

Selain keindahan alam semula jadi di kawasan tasik, Loagan Bunut turut menyediakan nilai-nilai kebudayaan yang boleh menarik ramai pelawat.

Antaranya kawasan perkuburan tradisional masyarakat kaum Berawan di Pulau Tengah iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di tengah-tengah tasik tersebut.

Kawasan perkuburan tua itu masih digunakan oleh penduduk kampung sehingga ke hari ini. Selain itu pelawat pasti teruja dengan cara tradisi menangkap ikan yang hanya diamalkan oleh kaum Berawan iaitu ‘selambau’.

Selambau adalah satu cara menangkap ikan menggunakan pukat sama ada ia dilakukan dari atas rumah di permukaan air atau menggunakan perahu. Pengunjung yang ingin menyaksikan kaedah menangkap ikan ini digalakkan datang pada bulan April hingga Ogos.

Pengunjung juga boleh mendapatkan pengetahuan mengenai pelbagai spesies ikan sungai eksotik di samping membeli dengan harga berpatutan.

Selain itu, rumah-rumah panjang kaum Berawan, Iban dan Penan yang terletak di kawasan sekitar tasik itu turut menjanjikan tarikannya tersendiri.

Untuk pengunjung yang merancang tinggal di sini beberapa hari, pengurusan taman menyediakan sebuah hostel mengandungi empat bilik, tujuh katil bertingkat setiap bilik, tempat berkhemah dan kantin.


Kaedah tradisional menangkap ikan menggunakan selambau di Loagan Bunut.

Selain itu, pengunjung boleh memilih untuk menginap di calet yang mempunyai tiga katil setiap bilik dan dilengkapi penghawa dingin.

Ataupun, pengunjung boleh bermalam di chalet yang diusahakan oleh kaum Berawan seperti Mutiara Bunut; Kumbang Leng Chalet dan Adam Lian Chalet.

Terdapat juga kemudahan rumah bot, rumah penyimpanan, loji rawatan air bagi kemudahan penginap, rumah janakuasa elektrik, pondok-pondok rehat, jeti, tempat pejalan kaki dan kawasan letak kereta yang luas serta kemudahan jalan raya berturap dari simpang masuk hingga ke ibu pejabat taman negara tersebut.

TNLB turut giat mengadakan kempen pendidikan alam sekitar dengan kerjasama sekolah, institusi pendidikan tinggi, sektor swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan.