Wednesday, October 27, 2010

Inap Desa


PHM tingkat kempen inap desa

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Pelancong dari Sweden bersama keluarga angkat Melayu semasa menginap di inap desa Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis, baru-baru ini.

TEMERLOH 26 Okt. - Persatuan Homestay Malaysia (PHM) akan meningkatkan kempen menginap di inap desa bagi menggalakkan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Pahang.

Presidennya, Shariman Hamdan berkata, pihaknya juga akan mengadakan kempen tersebut ketika Kementerian Pelancongan mengadakan promosi di luar negara.

Katanya, ia perlu bagi menggalakkan pelancong luar bermalam di inap desa yang disediakan dengan pelbagai kemudahan.

''Pada masa ini, terdapat trend pelancong asing lebih berminat bermalam di inap desa kerana murah dan boleh mengenali budaya, makanan dan berhubung dengan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam Kelab 1Malaysia Inap Desa Murni di Kampung Desa Murni, Sanggang dekat sini baru-baru ini.

Menurut Shariman, kebanyakan pakej percutian sekolah dari luar negara juga lebih berminat bermalam di inap desa.

Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata beliau, pendapatan keseluruhan pengusaha inap desa di Pahang ialah sebanyak RM6.2 juta dengan bilangan pelancong seramai 108,798.

''Bilangan kedatangan pelancong yang menginap di inap desa di negeri ini meningkat sebanyak 18.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Daripada jumlah itu, kata beliau, 42 peratus yang menginap di inap desa adalah pelancong asing dan hanya 12 peratus pelancong domestik.

Menurutnya, promosi serta kempen galakan pelancongan perlu diadakan sebagai usaha memperkenalkan kesenian, adat dan budaya rakyat tempatan selain menjimatkan perbelanjaan mereka.

Program inap desa, kata beliau, ternyata dapat memberikan sumber pendapatan sampingan kepada penduduk tempatan.

Tambahnya, sehingga ini terdapat sebanyak 138 inap desa di seluruh negara dengan hampir 3,000 pengusaha persendirian yang menyediakan lebih 4,000 bilik.

Monday, October 25, 2010

Rumah Api 100 Tahun


Rumah Api Kuala Selangor kini 100 tahun


Tan Bee Hua (kiri) bersama suami dan anak-anaknya yang menjadi pengunjung ke-300 ceria dapat menjejakkan kaki ke aras paling tinggi Rumah Api Kuala Selangor di Bukit Malawati, Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 24 Okt. - Rumah Api Kuala Selangor di puncak Bukit Malawati di sini dibuka untuk kunjungan orang ramai sempena ulang tahun ke-100 rumah api tersebut semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia merangkap Pengerusi Lembaga Dius Api, Datuk Kapten Ahmad Othman berkata, selain menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka, rumah api itu turut berperanan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan di situ.

"Sejarah rumah api di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dan dari tahun 1826, rumah api di pesisiran pantai negara dikenali sebagai 'The Straits Settlements Lighthouses'.

"Rumah Api Kuala Selangor dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg sempena nama seorang Gabenor Belanda. Ia dibina pada tahun 1907 dan beroperasi secara rasmi pada tahun 1910.

"Dengan pembukaan rumah api ini, orang ramai boleh melihat sendiri keadaan di dalamnya selain mendapat penerangan bagaimana ia berfungsi," kata beliau selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Rumah Api Kuala Selangor di sini semalam.

Ahmad menjelaskan, ketinggian rumah api tersebut adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer.

"Lampu ini akan berpusing dan berkelip dua kali setiap 15 saat.

"Ia dijana kuasa elektrik sepenuhnya tetapi pada era awal ia beroperasi, lampu ini menggunakan minyak tanah dan generator," jelas beliau.

Tambah beliau, orang ramai yang berkunjung ke rumah api itu berpeluang menerima hadiah misteri dengan menyertai cabutan bertuah yang diadakan.

Katanya, bagi pengunjung ke 50, 100, 150, 200, 250, 300 hingga 500 pula akan diberi hadiah istimewa dan peluang naik ke tingkat paling atas rumah api yang menempatkan lampu pedoman.

"Pengunjung biasa hanya diberi peluang melawat ke lapisan pertama dan tidak dibenarkan masuk ke ruang lampu rumah api tersebut beroperasi," ujar beliau.

Sementara itu, seorang pengunjung bertuah, Tan Bee Hua yang berasal dari Kuala Selangor berasa gembira diberi peluang melihat sendiri pemandangan indah dari rumah api itu bersama keluarganya.

Saturday, October 23, 2010

Pulau Pangkor


Percutian sepanjang musim

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

Pemandangan dari sisi hadapan Pangkor Island Beach Resort menawarkan keselesaan buat pengunjung.

BULAN November dan Disember cukup sinonim dengan kedatangan musim yang lebih ketara dirasai di negeri-negeri pantai Timur.

Dengan suasana ombak besar dan laut bergelora membuatkan destinasi pelancongan terutama di pulau-pulau sekitar pantai Timur menutup operasinya.

Ketika inilah pelancong beralih ke lokasi pelancongan di sebelah pantai Barat.

Antara destinasi pilihan pelancong tempatan dan asing yang tidak terkena tempias musim tersebut adalah seperti Pulau Pangkor, yang cukup terkenal dengan keindahan pantai serta industri perikanannya.

Pulau Pangkor yang terletak di luar pesisir pantai negeri Perak, cukup strategik buat mereka yang ingin bercuti ke pulau walaupun pada musim tengkujuh.

Antara lokasi tarikan ramai ialah keindahan pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah yang boleh memberikan keamanan dan ketenangan buat pengunjung.

Pulau berkeluasan lapan kilometer persegi ini dihuni kira-kira 25,000 penduduk.

Ia menyediakan pelbagai kemudahan penginapan antaranya, Pangkor Island Beach Resort.

Resort di kawasan pulau tropika dengan keluasan 1.2 kilometer persegi itu meliputi kawasan pantai sebuah teluk persendirian dengan perairan hijau zamrud.

Resort ini merupakan pilihan terbaik buat mereka yang berminat dengan aktiviti sukan air.

Lokasi biliknya nyata strategik dan selesa bertemankan bunyi desiran ombak pantai yang nyaman lagi mengasyikkan.

Kemudahan penginapan sebanyak 258 buah bilik yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan menjadi tarikan utama buat pengunjung.

Antaranya ialah Garden Wing, Pacific Wing, Ocean Wing dan 12 vila eksklusif buat para pengunjung.

Setiap bilik Ocean Wing dan vila mempunyai anjung sendiri dengan pemandangan panorama pantai dan laut yang menyegarkan terutamanya apabila matahari mula terbit.

Setiap ruang bilik direka dengan gabungan kelengkapan moden dan aksesori warisan bangsa.

Semua bilik dilengkapi dengan penyaman udara, kunci pintu elektronik, pengering rambut, saluran televisyen 24 jam, telefon IDD, kemudahan membancuh kopi dan teh serta perkhidmatan penghantaran makanan ke bilik dengan hanya satu panggilan.

Selain itu, Pangkor Island Beach Resort juga menawarkan hidangan enak masakan gabungan tempatan dan Barat yang memikat hati dan boleh didapati di rangkaian restoran yang terdapat di dalam kawasan resort.

Antaranya seperti di Hornbill Restaurant, Pacific Terrace, Kingfisher Pool dan Golden Oriole Lounge and Bar.

Buat mereka yang suka berenang, bolehlah meluahkan waktu di kolam renang yang terdapat di resort berkenaan mahupun berenang di pantai yang luas.

Resort tersebut juga menyediakan kawasan riadah seperti permainan foosball dan pool serta gelanggang tenis, bola tampar dan bola sepak pantai diatas permintaan pengunjung.

Sukan air dari berkenu, jet ski ke perjalanan dengan menggunakan bot boleh didapati di resort berkenaan.

Pengunjung boleh juga belayar sekitar pulau itu dan peluang untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam di kawasan utara Pulau Pangkor.

Buat mereka yang sedang mencari pengembaraan yang menakjubkan boleh mencuba aktiviti selam skuba di Pulau Sembilan yang terletak berhampiran dengan Pulau Pangkor.

Selain itu, pengunjung juga boleh meluangkan masa berehat dan memanjakan diri di spa yang terletak bersebelahan dengan blok Ocean Wing.

Spa Aryani menyediakan perkhidmatan urutan secara tradisional untuk mengembalikan kesegaran otot-otot yang keletihan dari kepala ke hujung kaki dan turut menawarkan rawatan rambut, muka, sauna herba dan refleksologi kaki.

Friday, October 22, 2010

Lanjeh


Dunia unik Lundayeh
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/09/12

« sebelum selepas »



KETUA Kampung Long Pasia, Mudin Sia berehat di kawasan rumahnya.


SISTEM satelit sebelum ini membantu penduduk berhubung dengan masyarakat luar tetapi kini tidak berfungsi sepenuhnya.


GADIS Lundayeh memperagakan pakaian tradisional masyarakat itu yang selalu digunakan dalam aktiviti kebudayaan.


JALAN utama memasuki Long Pasia yang sentiasa teruk.

Long Pasia janjikan kedamaian tak ternilai

NAMA Long Pasia bukanlah asing meskipun lokasinya nun jauh di ceruk pedalaman hujung Sabah dan diselubungi pelbagai kesukaran perhubungan, termasuk soal berkomunikasi dengan orang luar. Perkampungan di Ulu Padas itu pernah mendapat liputan media berikutan tragedi 13 Mac 2009 yang meragut satu nyawa apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa 10 orang, termasuk pemandu dihanyutkan arus deras Sungai Meligan ketika dalam perjalanan ke Long Pasia.

Sungai Meligan sebenarnya hanya di pertengahan perjalanan ke Long Pasia, sebuah perkampungan di sempadan Indonesia, jauh di puncak berbukit yang menjadi kawasan penempatan masyarakat Lundayeh - satu etnik yang ada kaitan rapat dengan Murut di Sipitang dan Lun Bawang di Sarawak.

Agak mengujakan bercerita mengenai Lundayeh kerana ada sebegitu banyak keunikan, khususnya cara hidup mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan, namun mampu hidup selesa seperti orang bandar dengan kualiti kehidupan serba lengkap dan boleh dikatakan semuanya ada.

Cuma, jarak amat jauh selain kesukaran meredah perjalanan getir menyebabkan banyak kemudahan rosak dan sudah lama tidak diperbaiki. Ada pondok telefon satelit tetapi sekadar hiasan. Lapangan terbang pula terbiar dan dipenuhi semak dan lalang.

Difahamkan, masyarakat Lundayeh di Sabah memang sudah ada di Long Pasia sedari awal lagi sebelum membina beberapa penempatan baru di rumah panjang Kapan di pinggir Sipitang, Melamam yang turut didiami masyarakat Murut, Bamban, Mendolong, Batu Nuduk dan Long Mio di sekitar Tenom. Semua penempatan baru itu wujud berikutan perpindahan semua lima kelompok masyarakat Lundayeh di sekitar Long Pasia ke Batu Tujuh dekat pekan Sipitang pada 1955 atas cadangan Pegawai Daerah ketika itu. Namun, atas faktor alam dan cuaca, beberapa keluarga mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pedalaman.

Tidak sampai dua tahun, pada awal 1957, keluarga Sia Taban, iaitu bapa Ketua Kampung Long Pasia sekarang, Mudim Sia, nekad membawa seisi keluarga bersama menantunya Kaya Basar, kembali ke Long Pasia. Dua tahun kemudian, mereka dituruti dua keluarga lagi iaitu Laban Padan dan Agung Balang. Ini menjadi titik tolak awal bagaimana semua perkampungan lain terbina apabila semakin ramai mengikut jejak langkah mereka, namun tidak semuanya ke Long Pasia. Ramai juga yang sekadar mendirikan rumah di sepanjang laluan ke situ sehingga membentuk lebih banyak penempatan dengan Mendolong kini menjadi perkampungan terbesar didiami masyarakat itu.
Walau sebesar dan ramai manapun perkampungan baru itu, ia tidak dapat memadam nama Long Pasia sebagai akar pembentukan masyarakat Lundayeh di Sabah, sekali gus menyimpan banyak rahsia serta misteri untuk dijejaki dan didekati, terutama berkaitan cara hidup mereka saban hari yang bergantung sepenuhnya kepada hasil alam.

Cuaca dikaitkan antara faktor utama masyarakat itu tidak tahan tinggal di Sipitang dan lebih sanggup memilih kehidupan lama di pinggir hutan daripada dunia moden. Penulis yang melepasi tiga suku perjalanan masuk ke Long Pasia, juga sudah rasa suhu dinginnya yang menusuk hingga ke tulang.

Hendak disamakan dengan Genting Highlands atau Cameron Highlands, ia tidak sama kerana corak perubahan cuaca di Long Pasia agak pelik. Sebelum memulakan ekspedisi, beberapa orang di Sipitang turut berpesan: “Jika kemarau, sejuk malamnya lebih hebat dan tidak dapat ditahan. Orang Long Pasia sendiri jika tidur, mesti guna stokin, inikan pula kamu dari Kuala Lumpur.”

Memang benar, dan setiap kali membuka mulut, wap sejuk turut keluar. Sambil bergurau, pengiring kami di Long Pasia berkata: “Mungkin kerana itulah tidak ramai di sini merokok sebab asap asli sudah ada. Tak perlu lagi asap lain.”

Perubahan cuaca yang pelik itu dibuktikan apabila pada hari kedua, hujan lebat dan sepatutnya suhu lebih dingin berbanding pada malam sebelumnya. Anehnya pada malam itu, kami tidak perlu berselimut kerana suhunya tidak sesejuk mana. Pelik bukan? Tetapi inilah keunikan utama di Long Pasia, selain seksa meredah perjalanan lima jam dilambung jalan tanah merah yang menyakitkan.

Keunikan lain adalah modennya kehidupan di Long Pasia dan Lundayeh yang dilabelkan masyarakat Ulu pada awalnya. Dengan hampir setiap rumah dilengkapi alat elektrik solar, piring saluran televisyen berbayar yang menghiasi majoriti bumbung rumah di situ meletakkan mereka setaraf kehidupan di bandar. Apa dikisahkan kerosakan telefon satelit kerana segala urusan perhubungan dengan masyarakat itu mudah berikutan akses internet di Perpustakaan Desa. Malah majoriti remajanya ada akaun Facebook!

Di sini turut tersergam banglo yang turut dilengkapi enam bilik. Tidak hairanlah dengan kunjungan kerap pelancong, ramai sudah pandai berniaga dan menjadikan rumah mereka homestay atau inap desa.

Melihat kepada kehidupan mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu padi, lada dan pelbagai jenis sayuran. Nak dikatakan maju dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.

Tanaman secara kecil-kecilan, namun kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Tidak cukup sepinggan makan nasi di situ walaupun hanya dihidang bersama sardin dengan tiga jenis sayur. Semuanya kerana keenakan dan kelembutan nasi daripada padi yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas lada (cili api), yang ditanam sendiri. Masakan mereka ringkas tetapi menyelerakan.

Bagi mereka yang biasa dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, nyata kunjungan ke Long Pasia memberikan impak sebaliknya. Bukan sekadar sunyi sepi sejak awal pagi, malah tidak ubah seperti bumi tanpa penduduk. Cuma sesekali kedengaran bunyi salakan anjing, haiwan yang paling disayangi di situ. Kebanyakan penduduk akan berada di kebun atau berkurung dalam rumah melakukan kerja seharian. Sukar sekali untuk bertembung mereka di jalan atau di mana saja pada waktu pagi. Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli. Sekolahnya tidak begitu jauh dan agak sepi. Long Pasia memang kampung yang sunyi sepi!

Namun, itulah yang menjadikan perkampungan itu begitu unik sekali. Jauh daripada kebingitan deruman kenderaan dan hingar bingar kehidupan kota menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar diperoleh di mana-mana. Long Pasia dengan masyarakat Lundayeh berada dalam dunia mereka tersendiri.

Mahu melabelkan mereka tidak aktif juga tidak tepat kerana ramai juga yang berjaya dalam bidang sukan terutama bola sepak. Nama seperti Rony Harun, Harun Laban dan Andrew Laban bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak. Mereka berasal dan membesar dalam kehidupan di Long Pasia. Di sebalik kesunyian pagi, petangnya pula riuh rendah dengan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak, futsal dan bola tampar membabitkan kanak-kanak hinggalah ke dewasa, lelaki mahupun wanita.

Hakikatnya, Lundayeh dan Long Pasia tidak seperti digambarkan. Perjalanan memenatkan ke situ pastinya berbaloi dan ia menjadi antara penyebab utama begitu ramai pelancong gemar mengunjungi perkampungan itu dan mendekati masyarakat Lundayeh. Tidak hairan juga, ketika kunjungan kami, ada kumpulan lain turut turut berada di sana, termasuk pelancong dan penyelidik dari pelbagai agensi termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).


‘Jalan raya teruk, lapangan terbang terbiar’

JARAK 123 kilometer (km) tidak begitu lama untuk sampai di Semenanjung iaitu antara Ipoh ke Kuala Lumpur yang sekadar memakan masa lebih kurang dua jam melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Namun, dengan jarak sama, perjalanan dari Sipitang ke Long Pasia memakan masa lebih lima jam!

Kelajuan memandu di lebuh raya yang boleh mencecah 110km sejam di Semenanjung, pengalaman menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tanah merah laluan lori balak menyaksikan pecutan paling laju hanya sekitar 30km sejam, itupun sesekali ketika jalan rata dan lurus yang mungkin jaraknya cuma 100 meter.

Tak cukup dengan itu, keadaan jalan raya yang tidak rata menyebabkan perjalanan itu lebih menyeksakan. Bagaimana mahu selesa jika menurut pemandunya, sekali keluar masuk Long Pasia, pasti ada bahagian kenderaan yang rosak terutama sistem penyerap hentakan dan brek.

Pendek kata, jalan ke Long Pasia bukan setakat teruk tetapi hanya bertaraf denai. Ia laluan berlubang, memerangkap tayar kenderaan dan pencetus malapetaka. Itu saja yang sesuai untuk digambarkan. Justeru, ketika penulis kali melalui jalan itu, terasa serik untuk kembali semula ke sana.

Penulis bersimpati dengan nasib masyarakat Lundayeh di Long Pasia. Hasil tanaman yang berkualiti serta kemampuan untuk bersaing dengan orang lain tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana laluan sukar untuk ke bandar. Orang luar pun berfikir beratus kali jika mahu ke sana. Mungkin inilah puncanya kenapa peralatan yang rosak, antaranya telefon satelit di kampung itu mengambil masa bertahun untuk diperbaiki. Semuanya mungkin kerana masalah perhubungan.

Dulu Long Pasia memiliki perkhidmatan kapal terbang kecil yang khabarnya mengenakan caj RM30 untuk sekali penerbangan tetapi kini ia hanya tinggal kenangan. Tapak lapangan terbangnya sudah menjadi ladang lalang, sedangkan tiada seorangpun tahu mengapa perkhidmatan itu dihentikan. Jika kerana kos tambang rendah, mereka sanggup membayar lebih asalkan mudah untuk keluar ke bandar atas sebarang urusan dapat dijalankan.

Untuk ke Long Pasia hanya ada satu cara. Dari Kota Kinabalu, menaiki kereta sewa ke Sipitang yang memakan masa hampir tiga jam. Dari Sipitang pula, berharapkan nasib baik, ada kenderaan pacuan empat roda yang boleh ditumpang dengan bayaran antara RM50 ke RM100 untuk sekali perjalanan seorang. Itupun jika ada kenderaan dan sedia membawa anda.

Perjalanan merentasi jalan hutan balak itu melalui beberapa perkampungan kecil lain yang turut didiami masyarakat Lundayeh dan Murut iaitu Melamam, KPD, Bamban, Mendolong, Ulu Bole, Mengayam, Meligan, Iburu, Batu Nuduk dan Long Mio. Perjalanan sebaiknya dimulai pada waktu pagi kerana jika bertolak petang, kemungkinan untuk meredah gelap malam yang menjanjikan seribu bahaya serta rintangan menyukarkan.

Begitulah gambaran ringkas bagaimana ke Long Pasia. Meskipun sukar untuk ke perkampungan mereka, amat berbaloi untuk ke sana, menikmati dunia alam semula jadi, khazanah hutan daranya.

Info
Long Pasia

Terletak di Sipitang iaitu di barat daya Sabah, berhampiran Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Long Pasia bermaksid ‘mulut Sungai Merah’ dalam bahasa etnik Lundayeh.

Jarak perjalanan Sipitang- Long Pasia adalah kira-kira 123 kilometer.

Hanya boleh dihubungi menerusi jalan hutan balak.

Etnik Lundayeh

Etnik yang ada kaitan rapat dengan Murut di Sipitang dan Lun Bawang di Sarawak.

Masyarakat ini ada di Long Pasia sejak awal lagi. Malah Long Pasia menjadi akar pembentukan masyarakat Lundayeh di Sabah.

Penempatan baru etnik Lundayeh di rumah panjang Kapan, pinggir Sipitang tetapi ramai kembali ke Long Pasia.

Cara hidup mereka saban hari bergantung sepenuhnya kepada hasil alam.

Cuaca dikaitkan antara faktor utama masyarakat itu tidak tahan tinggal di Sipitang dan lebih sanggup memilih kehidupan lama di pinggir hutan daripada dunia moden.

Hampir setiap rumah dilengkapi alat elektrik solar, piring saluran televisyen berbayar yang meletakkan mereka setaraf kehidupan di bandar.

Thursday, October 21, 2010

Jambatan Gantung Taman Negara


Jambatan gantung 530m mengujakan
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


GEMENTAR...jambatan gantung atau canopy walk antara aktiviti yang mesti anda lalui di Taman Negara.
SEBUT saja Taman Negara, pasti ramai membayangkan hutan tebal berusia 130 juta tahun di Pahang yang menyimpan 1,001 khazanah alam yang masih belum diterokai.

Khazanah tersimpan bukan sekadar kehijauan flora atau keunikan fauna, tetapi keramahan serta keunikan budaya tempatan yang menjanjikan pengalaman sukar dilupakan.


Taman Negara berkeluasan 4,315 kilometer persegi. Pelancong ke sini perlu membayar tambang 'bas air' RM1 untuk menyeberang Sungai Tembeling.

Bayaran RM5 dikenakan jika ingin mengambil gambar di Taman Negara. Ada lebih 400 spesies burung, 80 spesies kelawar, 150 spesies herpetofauna, 50 spesies ikan air tawar, 240 spesies kupu-kupu, 200 spesies haiwan mamalia dan lebih 14,000 tumbuhan untuk diterokai.


Kunjungan penulis selama tiga hari dua malam, baru-baru ini atas jemputan Mutiara Taman Negara Resort (MTN) meninggalkan pengalaman manis kerana pertama kali menjejakkan kaki ke hutan antara tertua di dunia.


MTN menawarkan pakej percutian menyeronokkan dan tiada masa untuk berehat, antaranya melakukan sesi 'water confidence' di Sungai Tembeling! Dua unit banglo, 18 chalet, 16 rumah tamu dan asrama antara penginapan di sini yang menggunakan konsep tradisional.


Restoran Seri Mutiara menawarkan pilihan makanan timur dan barat yang enak termasuk gulai tempoyak ikan patin, sambal hitam, bubur nasi, nasi lemak, pasta, spaggheti, piza dan kuih-muih.


Eksekutif Rekreasi MTN, Ramlan Jaafar, berkata percutian di Taman Negara tidak memberi sebarang makna jika tidak bermandi peluh dengan menyertai pelbagai aktiviti luar.


Beliau berkata, mereka yang berminat boleh berjalan malam dengan aktiviti 'nite jungle walk' menjadi pengalaman paling menarik apatah lagi berpeluang bertemu hidupan liar seperti tapir, rusa dan kijang.


Lampu picit menjadi panduan berjalan dalam hutan sambil mata liar memerhati pergerakan penghuni rimba, antaranya belalang kayu, kala jengking, mentadak mentadu, ular daun, kupu-kupu, labah-labah dan burung hutan.

Lebih teruja mengunjungi Taman Negara apabila merasai sendiri pengalaman melalui jambatan gantung sepanjang 530 meter.

Seronok dan gementar. Itu kata-kata yang penulis ucapkan sebaik melepasi titian gantung dengan ketinggian 50 meter itu.


Aktiviti lasak, 'water rafting' atau 'water confidence' menguji kepakaran anda mengawal diri dihanyutkan arus dingin air Sungai Tembeling.

Santuari kelah di LubukTenor sejauh tujuh kilometer dari Kuala Tahan memang menjanjikan pengalaman menarik bagi yang pertama kali ke Taman Negara.


Perjalanan menaiki bot hampir sejam mengharungi Sungai Tahan berbaloi apabila melihat ribuan kelah berenang bebas di air jernih.


Beliau berkata, pengunjung boleh berenang dan bermain dengan kelah, tetapi dilarang membawa pulang.


Jika mahu merasai pengalaman tidur beralaskan rumput berbumbungkan langit pula, MTN menyediakan tapak perkhemahan. Atau jika mahu melihat kehidupan Orang Asli suku Batek, anda boleh berbuat demikian.


"Keunikan kehidupan Orang Asli itu menjadikan mereka sebagai satu daripada tarikan utama pelancong ke Taman Negara.


"Pelancong memang teruja berkunjung ke tempat Orang Asli ini kerana mereka diajar cara menghidupkan api, menyumpit dan mengukir," katanya.


Rombongan kami sempat mengunjungi perkampungan mereka di Dedari dan Kuala Terenggan.


Antara tempat menarik lain di Taman Negara ialah air terjun Lata Berkoh, mendaki Gunung Tahan, meneroka Gua Telinga, Gua Menari, Gua Kepayang, Gua Peningat dan Gua Gajah yang terletak di Kuala Tahan.


>INFO:
- Taman Negara berkeluasan 4,315 kilometer persegi
- Hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun
- Taman Negara Pahang berkeluasan 57 peratus dan bersempadan dengan Terengganu (24 peratus keluasan Taman Negara), Kelantan (19 peratus)
- Diuruskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
- Dihuni lebih 400 spesies burung, 80 spesies kelawar, 150 spesies herpetofauna, 50 spesies ikan air tawar, 240 spesies kupu-kupu, 200 spesies haiwan mamalia dan lebih 14,000 tumbuhan
- Antara mamalia yang pernah ditemui badak, harimau belang, gajah, tapir, dan badak sumatera
- Fauna yang pernah ditemui, mentibang, musang pulut, kelawar batu putih, kucing batu, belatuk pinang muda dan 'green crested lizard'
- Resort Mutiara Taman Negara dibuka pada 1990
- Menawarkan 108 bilik dan 64 katil asrama
- Menyediakan khidmat pemandu pelancong dan bot
- Restoran Seri Mutiara menawarkan menu makanan timur dan barat


>Bagaimana ke sana:
- Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira tiga jam dan Kuantan tiga setengah jam terus ke jeti Kuala Tahan
- Hanya membayar RM1 menaiki bot ke Taman Negara
- Pengangkutan awam disediakan dari bandar Jerantut


>Maklumat lanjut boleh hubungi:
Mutiara Taman Negara
Kuala Tahan, 27000, Jerantut, Pahang
Tel: 09-2663500
Faks: 09-2661500/2662501
e-mel: book.mtn@gmail.com
atau
Pejabat Jualan Kuala Lumpur
tel:03-27822222
faks:0327822211
e-mel: cro@mutiarahotels.com

Tuesday, October 19, 2010

Klasik


Motosikal klasik gegar Alor Gajah


SEBAHAGIAN daripada ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Karnival Gegar Rock Retro di Pusat Rekreasi Taman Beringin, Masjid Tanah, kelmarin.

ALOR GAJAH 18 Okt. – Kira-kira 2,000 motosikal pelbagai jenis menggegarkan Masjid Tanah bagi memeriahkan sambutan Karnival Gegar Rock Retro yang diadakan di Pusat Rekreasi Taman Beringin di sini, semalam.

Karnival anjuran Arena Entertainment itu memilih Melaka sebagai lokasi pertama siri penjelajahan selain Negeri Sembilan, Pahang dan beberapa buah negeri lain.

Program yang dianjurkan selama tiga hari itu mendapat sambutan daripada kelab-kelab motosikal retro dari Johor serta Singapura.

Pengarah Urusan Arena Entertainment, Mohd. Asri Ramli berkata, karnival tersebut bertujuan menghimpunkan kesemua motosikal klasik bagi menghidupkan nostalgia lama di kalangan golongan belia.

Menurutnya, selain menghimpunkan belia serta ahli-ahli kelab motosikal retro masing-masing, program itu dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala tidak sihat atau maksiat pada hujung minggu.

‘‘Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini golongan belia tidak sunyi dan cenderung untuk melakukan gejala yang tidak sihat.

‘‘Mereka diraikan dengan pelbagai program yang disediakan antaranya konvoi motosikal dan pertandingan motosikal tercantik,” katanya ketika ditemui pada karnival tersebut di sini semalam.

Karnival yang diadakan selama tiga hari itu turut menyediakan ceramah bertajuk gejala sosial yang disampaikan oleh penceramah, Siti Nor Bahyah Mahamood dan juga sukaneka rakyat yang disertai penduduk sekitar daerah tersebut.

Mengulas lanjut Mohd. Asri berkata, kemuncak karnival semalam berjaya mengumpulkan peminat dan ahli kelab motosikal daripada motosikal jenis kapcai hingga berkuasa tinggi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut beliau, antara kelab yang terlibat ialah Kelab Motosikal Masjid Tanah, Kelab Motosikal Sungai Udang, Kelab Retro Selatan (RSC), Kelab Motosikal Rembau, Kelab Motosikal Tampin dan Retro Malaysian Rider.

Saturday, October 16, 2010

Tip Supaya beg Tak Hilang

Tip pastikan beg tidak hilang


2010/10/06

KEHILANGAN beg ketika melancong sememangnya sangat menyakitkan hati, membuat tidak tenteram sekali gus boleh mengundang kemarahan.

Justeru, tip kali ini mungkin boleh membantu bagi memastikan beg anda tidak hilang.

1) Gantungkan tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg anda dan jangan lupa kunci. Anda mungkin boleh meletakkan mangga atau 'padlock' supaya beg tidak dibuka orang yang tidak bertanggungjawab.

2) Mendaftar masuk penerbangan seawal mungkin juga mampu memastikan beg tidak hilang. Ini kerana dengan mendaftar masuk awal, anda punya cukup masa untuk memasukkan barang ke pesawat.

3) Semak dengan pembantu penerbangan supaya dia melekatkan tag destinasi yang betul kepada beg anda. Mungkin nampak terlalu cerewet tapi ia adalah untuk kebaikan anda juga.

4) Buang segala pelekat atau tag lama yang ada pada beg anda kerana ia boleh mengundang kekeliruan.

5) Ikat reben atau pelekat dengan warna yang cerah pada beg anda untuk memudahkan anda mengenali beg terutama di tuangan tuntutan bagasi.

6) Jika anda mempunyai jadual penerbangan yang bersambung, maklumkan kepada pembantu penerbangan bahawa anda akan mengambil beg anda di destinasi terakhir.
7) Ambil beg anda sebaik anda tiba ke destinasi dengan kadar segera. Jangan tinggalkan beg di atas 'carousel' sementara anda membuat panggilan telefon atau berjalan-jalan di dalam lapangan terbang.


Pertembungan 2 sungai dari dua gunung
Oleh Suliati Asri

2010/10/13

BERPELUANG menghabiskan cuti hujung minggu di atas puncak air terjun tertinggi di Asia Tenggara sambil menikmati pemandangan flora dan fauna yang mempesona sememangnya cukup bermakna.


CANTIK...kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara menjamu pandangan mata.
sebelum - selepas



SEJUK...Kem Baha diselubungi embun pagi yang dingin.
Ditambah dengan deruan air gunung yang dingin mengalir di celahan batu bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan segala tekanan dan bebanan kerja seharian.

Ia sekali gus meninggalkan kenangan manis buat pengunjung Air Terjun Jelawang di Taman Negeri Stong, Kuala Krai, Kelantan.

Setinggi 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi eko pengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.


Bagi menikmati kedamaian dan kesejukan airnya, pengunjung perlulah berkorban sedikit tenaga mendaki dan merentas hutan lebih kurang dua jam untuk sampai ke puncak Air Terjun Jelawang itu.


Keletihan yang dirasai bagaikan hilang begitu saja tatkala sampai di Kem Baha lokasi letaknya puncak Air Terjun Jelawang yang cukup memukau itu.


Kem Baha adalah pintu masuk kepada beberapa tarikan alam semula jadi lain kerana dari tapak persinggahan itu membolehkan pengunjung menikmati kehijauan kawasan gunung di Taman Negeri Stong.


Kem Baha juga unik kerana kem itu adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar 'The Last Waterfall' oleh penduduk tempatan.


Sesuatu yang pastinya membuatkan pengunjung teruja adalah deruan air terjun Jelawang dari Kem Baha.


Ia bagaikan menjadi suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.


Bagi menikmati keindahan alam semula jadi yang hakiki di puncak air terjun itu, sebaiknya pengunjung bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau rumah rehat yang disediakan.


Ini kerana, anda pastinya berpeluang merasai kedamaian dan suasana yang menarik ketika petang dan malam termasuk melihat matahari terbenam yang cukup memukau.


Ditambah lagi dengan kesejukan embun pagi di Hutan Simpan Kekal itu, pengunjung pasti liat untuk bangun pagi.

Namun, bagi yang sukakan panorama indah matahari terbit, jangan lepaskan peluang melihatnya di puncak air terjun tertinggi di Asia Tenggara itu selain memberi kelainan dan cukup mempesona.


Pengunjung pastinya terpaku melihat kecantikan cahaya yang dipersembahkan sang suria dan mungkin ada yang merasakan ia bagaikan diulit mimpi.

Selain panorama matahari terbit dari atas puncak air terjun itu pengunjung juga dapat melihat pemandangan Kampung Jelawang dan kehijauan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai khazanah belum terusik.


Selepas menikmati pemandangan mempesona dan indah, aktiviti mandi-manda pula mengambil tempat.

Berbanding tempat lain, Air Terjun Jelawang itu unik bukan sekadar panorama biasa malah airnya mengalir dari tebing batu tinggi.


Anda juga berpeluang menyaksikan pelbagai aksi yang dipertunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam dan ada juga yang hanya mandi di gigi air.

Bagi yang mahukan kelainan, aksi meluncur dari atas puncak air terjun mungkin boleh dicuba.

Acara meluncur itu juga antara yang paling popular dalam kalangan pengunjung dan ia tidak lengkap tanpa aksi itu.

Di samping bersantai dan bermandi-manda di situ, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.


Justeru, bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi serta merasai kedinginan air terjun yang menakjubkan, kunjungan ke Air Terjun Jelawang pasti tidak sia-sia.


Segala tekanan dan masalah yang dihadapi hilang selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalam membantu melegakan hati gundah.


>INFO
> Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara
> Mengambil masa dua jam pendakian untuk sampai ke puncak air terjun
> Unik kerana airnya bukan 'terjun' sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.
> Kem Baha adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar 'The Last Waterfall' oleh penduduk.
> Pelbagai spesies tumbuhan seperti bunga terbesar di dunia, rafflesia dan pokok palma serta orkid yang turut menjadi tarikan


Bagaimana ke sana:
> Pengunjung yang tidak menaiki kenderaan persendirian boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api ke kawasan berkenaan.

Jika berkereta api, pengunjung sama ada dari Tumpat atau Kuala Lumpur boleh turun di stesen kereta api Dabong sebelum menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan bot.

Selepas itu, pengunjung boleh menaiki kereta sewa di seberang sungai untuk ke Gunung Stong.

Pengunjung juga boleh menggunakan khidmat kereta sewa terus dari bandar Kota Bharu atau Gua Musang untuk ke kawasan berkenaan.

Thursday, October 14, 2010



Sejarah kubu tentera British

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Satu sudut pandangan kubu kebal di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. - utusan/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 13 Okt. - "Bukan kubu Jepun, malah bukan juga monumen peringatan sejarah, tetapi ia adalah tinggalan sebenar kubu-kubu kebal yang dibina tentera British pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu."

Demikian kata Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Datuk Salleh Mohd. Akib, merujuk kepada binaan kubu-kubu konkrit lama berusia 70 tahun yang masih kedapatan di beberapa daerah di negeri ini.

Kebanyakan binaan konkrit itu berbentuk segi sembilan dan ia diperbuat daripada campuran simen dan pasir sungai dengan kerawat besi, sementara ketebalan dinding melebihi 0.3 meter dan keluasan pula lebih 18 meter persegi.

Salleh berkata, ramai di kalangan masyarakat hari ini keliru dan membuat andaian bahawa kubu-kubu tersebut atau 'pill boxes' adalah kubu tentera Jepun, padahal ia dibina lebih awal oleh tentera British untuk membedil Jepun.

Beliau berkata, kubu perlindungan dan 'pos' pemerhatian itu didirikan pada 1940 di beberapa lokasi strategik terutama di pantai bahagian utara sepanjang Tumpat ke Bachok yang terdedah luas menghala Laut China Selatan bagi mempertahankan negeri Kelantan daripada serangan musuh semasa Perang Dunia Kedua.

Katanya, kubu-kubu kebal tersebut mempunyai signifikan penting dalam sejarah kerana ia dibina khusus hasil maklumat risikan yang menjangka Jepun menyerang Tanah Melayu melalui negeri ini.

"Perang Dunia Kedua berlaku antara tahun 1939 hingga 1945 dan ia bermula apabila salah satu negara daripada pakatan kuasa 'Axis' iaitu Jerman menyerang negara-negara di Eropah.

"Selain Jerman, pakatan tersebut turut disertai Itali dan Jepun dan mereka memusuhi negara-negara kuasa bersekutu terdiri daripada perikatan negara-negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China.

"Risikan penjajah British menghidu bahawa Tanah Melayu akan diserang melalui Kelantan lalu mereka membuat persediaan awal dengan mendirikan puluhan kubu-kubu kebal bagi mempertahankan negeri," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Risikan British itu ternyata tepat apabila menyaksikan Pantai Sabak, Pengkalan Chepa dekat sini, menjadi medan pertama perang.

Kapal Jepun mula kelihatan pada malam 7 Disember 1941 dan tembakan pertama dilepaskan selepas pukul 12 tengah malam.

Menurutnya, angkatan tentera Jepun seramai 5,200 orang dari Rejimen Ke-56 Divisyen 18 yang dipimpin Pemerintah Tentera Darat, Mejar Jeneral Hiroshi Takumi itu datang dengan lima kapal pengangkut dan pembinasa.

Katanya, tentera Inggeris yang berkubu di Pantai Sabak memberikan tentangan hebat menghalang tentera Jepun mendarat tetapi Jepun dapat menewaskan pertahanan di pantai tersebut, seterusnya menguasai Pengkalan Chepa dan seluruh Kota Bharu jatuh ke tangan mereka pada 9 Disember 1941.

Tokoh sejarah dan pendidikan itu sedang dalam proses akhir menyiapkan buku bertajuk Kubu Kebal British di Kelantan yang bakal diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Jepun.

Salleh berkata, pembinaan kubu kebal secara agresif hanya dilakukan di Kelantan berbanding negeri lain seperti Pahang dan Pulau Pinang yang mempunyai beberapa kubu kebal sahaja.

Bagaimanapun katanya, sebahagian besar kubu seperti yang terdapat di Pantai Sabak dan pesisir pantai di Bachok sudah ditenggelami air dan berada jauh ke dalam laut akibat hakisan pantai yang berlaku sejak tahun 1942 lagi.

Katanya, tentera British bukan sahaja mendirikan binaan konkrit itu di tepi pantai tetapi ia turut dibina di sekitar landasan kapal terbang seperti di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa; Gong Kedak, Pasir Putih dan di Lalang Luas, Machang yang pada hari ini merupakan kawasan taman perumahan.

Beliau berkata, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah sebenar kubu-kubu yang dibina tetapi tinjauan pasukan Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri sebelum ini mengesan hampir 30 kubu kebal masih wujud termasuk sebuah yang dijumpai berdekatan jambatan landasan kereta api di Manek Urai, Kuala Krai.


Ismail Shafie di hadapan kubu kebal berdekatan Pasar Pengkalan Chepa.

Selain itu, katanya, mereka mengesan 12 kubu kebal di sepanjang pesisir pantai Bachok yang dibina satu hingga satu setengah kilometer antara satu sama lain, sebuah di Pantai Sabak, sebuah berdekatan hotel ternama tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu, sebuah di Pantai Dalam Rhu, Tumpat, dua di Machang, dua di Pasir Putih dan lapan di Pengkalan Chepa.

"Tentera yang ditempatkan di kubu-kubu kebal ini adalah tentera British berketurunan India-Punjab yang dibekalkan dengan senjata seperti mesingan ringan dan berat serta senapang jenis MK-4 dan MK-5.

"Tiap-tiap pasukan yang mengawal kubu terdiri antara lima sehingga 10 orang dan mereka diberikan arahan supaya memberi tentangan sengit kepada tentera Jepun. Tujuannya supaya dapat memberi masa kepada pegawai tentera dan orang berbangsa Inggeris di Kelantan lari ke Singapura.

"Menurut cerita orang kampung yang tinggal berdekatan kubu, ada di kalangan tentera India-Punjab itu dirantai kakinya oleh pegawai British supaya mereka tidak dapat melarikan diri," katanya.

Salleh berkata, dari sebelah dalam, sebahagian kubu-kubu kebal itu didapati mempunyai ketinggian lebih dua meter dan ini memberi ruang kepada tentera India-Punjab untuk mengawal kubu sambil berdiri.

Katanya, pintu kubu dibina secara serong dengan adang pintu khas bagi mengelak tembusan peluru dari sudut hadapan manakala setiap penjuru atau segi mempunyai lubang-lubang khas yang keluasannya cukup untuk penggunaan senjata dan melihat pergerakan musuh dari jauh.

Jelasnya, di ruang dalaman kubu pula terdapat konkrit dinding di tengah-tengah sebagai kelebihan tempat berlindung semasa pertempuran dan memberi sedikit keselesaan kepada tentera untuk bersandar dan meletakkan barang-barang serta senjata mereka.

"Namun setiap kubu mempunyai sedikit perbezaan pada tinggi rendah dan keluasan dinding tengah bergantung kepada keadaan geografi tempat kubu dibina, kegunaan senjata berbeza serta jumlah askar yang ditempatkan.

"Misalnya, jika di tempat lain atap kubu biasanya adalah lapisan konkrit yang rata tetapi kubu kebal di jambatan kereta api Manek Urai yang menghadap Sungai Lebir mempunyai atap seperti bumbung rumah," katanya.

Salleh berkata, peranan kubu-kubu kebal itu sewajarnya diingati kerana peristiwa pendaratan tentera Jepun pada 8 Disember 1941 tidaklah semudah yang disangka kerana tentangan sengit daripada tentera yang berada di kubu kebal berkenaan.

Beliau berkata, tentera Jepun yang terlibat dilaporkan pernah memberitahu bahawa jika tentera British bertahan lebih lama, tentera Jepun mungkin tewas disebabkan serangan dari kubu kebal dan juga kewujudan pagar kawat berduri yang menjadi benteng utama pertahanan di pantai.

Sementara itu, salah satu tinggalan kubu kebal ini boleh dilihat di tepi jalan sebelum Pasar Pengkalan Chepa kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Lokasi kubu kebal itu mudah dikenal pasti kerana diperindahkan dengan pagar batu oleh Jabatan Warisan Negara sejak 2006 bagi tarikan pelancong dan peminat sejarah.

Pesara polis, Ismail Shafie, 67, yang ditemui di situ berkata, usaha tersebut baik bagi mengingatkan generasi muda tentang sejarah Perang Dunia Kedua dan bagi memastikan tapak kubu kebal itu tidak 'tewas' kepada arus pemodenan.

"Tetapi kalau boleh pihak bertanggungjawab menambah lagi kemudahan dengan meletakkan papan kenyataan yang boleh memberi maklumat tentang sejarahnya kepada pengunjung dan juga orang lalu lalang di kawasan ini," katanya.

Tuesday, October 12, 2010

Punggai


ARKIB : 10/10/2010

Mencari damai di Punggai

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

PANORAMA tenang pantai Punggai yang mendamaikankan jiwa.

NAMA pantai Punggai barangkali tidaklah terlalu popular seperti pantai Desaru, Batu Layar dan Tanjung Balau di Kota Tinggi, Johor.

Namun bagi mereka yang mencari ketenangan jiwa untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan, tidak mustahil anda akan jatuh cinta pandang pertama di pantai ini.

Di pantai Punggai ini, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah, memasak, memancing dan mandi-manda sambil menikmati keindahan air laut, langit membiru serta hembusan bayu yang mendamaikan.

Pantai yang tenang dan dikelilingi pokok kelapa itu turut memiliki tandas awam dan pondok kecil untuk kemudahan orang ramai.

Pengunjung boleh datang ke sana menerusi jaringan jalan raya sama ada dari Johor Bahru atau Mersing sebelum melalui Kota Tinggi dan Bandar Penawar.

Pembinaan pesat Lebuh Raya Senai-Desaru yang sedang rancak kini dijangka memudahkan pengunjung tanpa perlu tempoh perjalanan panjang pada masa akan datang.

Pantai Punggai juga mempunyai barisan calet menarik bagi pengunjung yang ingin bermalam di sana.

Salah satunya Chalet D'Punggai. Hanya dua perkataan yang menggambarkan keindahan pemandangan yang terdapat di calet tersebut iaitu tenang dan mendamaikan.

Pengalaman itu dapat diperolehi bila tinggal di sebuah calet berkenaan sambil menghirup udara segar serta ditemani deruan ombak yang menghempas pantai terutamanya pada waktu malam.

Ditambah pula dengan kicauan burung-burung yang riang bermain di pepohon kelapa yang meliuk-liuk bersama hembusan bayu menyamankan.

Sememangnya suasana itu merupakan tempat pelancongan yang sesuai dan menjadi pilihan bagi mereka yang ingin melarikan diri dari keriuhan bandar untuk beristirehat.

Pengurus Operasi calet itu, Rejaluddin Johari berkata, Chalet D'Punggai merupakan gabungan bangunan komersial yang menempatkan barisan kedai dan gerai makanan serta calet sebanyak 10 unit.

"Berbeza dengan calet-calet lain, Chalet D'Punggai menawarkan suasana bilik yang lebih luas dengan sentuhan hiasan dalaman menarik serta menggunakan papan kayu. Keistimewaannya adalah memiliki dua katil kembar dan satu katil bujang di dalamnya.

"Ruang tamu pula dilengkapi dengan sofa dan televisyen, manakala bahagian dapur menggambar ciri-ciri ringkas yang menonjolkan sentuhan moden bagi menjadikan suasana bilik amat selesa," katanya yang mempunyai jumlah kakitangan seramai lima orang.

Rejaluddin berkata, antara perkhidmatan dan kemudahan lain yang ditawarkan ialah bilik yang berhawa dingin, peti sejuk kecil dan kolam renang kanak-kanak.

Turut disediakan adalah kawalan keselamatan 24 jam, tempat letak kereta luas, bilik urut tradisional, kawasan perkhemahan aktiviti, surau dan sewaan peralatan BBQ.

Katanya, calet tersebut boleh menampung seramai 60 tetamu dalam satu-satu masa dan kadar penginapan yang dikenakan adalah berpatutan.

"Kadar penginapan bagi calet standard pada hari biasa dan hujung minggu ialah RM150 dan RM180, manakala bagi calet deluxe ialah RM180 dan RM210.

"Kami menjangkakan kadar penginapan akan melonjak pada tahun ini antara 35 hingga 40 peratus dengan sasaran utama ialah pengunjung dari Singapura," katanya sambil memberitahu pengunjung dari negara jiran itu kini menguasai kadar penginapan sebanyak 62 peratus sebulan.

Mengenai perancangan calet itu, beliau berkata, pembinaan bilik mesyuarat utama yang boleh menampung 100 tetamu akan bermula pertengahan tahun ini selain berhasrat menambah bilangan unit calet sebanyak 10 unit lagi.

Chalet D'Punggai mula dibuka Mac tahun lalu dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sebelum diswastakan kepada syarikatnya, Sinar Mas Marketing & Services untuk diuruskan dalam tempoh lima tahun.

Langkah Kejora itu wajar dipuji kerana secara tidak langsung telah memberi peluang kepada usahawan bumiputera untuk menceburkan diri dalam sektor pelancongan.

Maklumat lanjut mengenai Chalet D'Punggai boleh didapati dengan menghubungi pejabat jualan di 013-7220700 dan 013-7237578 atau layari laman web www.chaletdpunggai.myportal.my.

Produk pelancongan baru

Keindahan pantai Punggai merupakan satu potensi besar untuk maju dan boleh dijadikan tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain memiliki pantai landai dan tidak berombak, suntikan daya penarik yang menjadikan Punggai semakin terkenal apabila kewujudan medan ikan bakar serta restoran makanan laut.

Malah, terdapat beberapa gerai kecil makanan di sepanjang jalan menuju ke Sungai Rengit di mana auranya mampu melekat di hati pengunjung.

Ini kerana kebiasaannya pelancong gemar mencari gerai-gerai makan di luar dan berkonsep terbuka sambil menikmati hembusan angin laut pada waktu malam.

Hakikatnya, pantai Punggai kini sewajarnya menjadi alternatif kepada pantai jiran-jirannya agar kerancakan ekonomi dapat dikongsi bersama.

Biarpun hari ini, pengunjung tempatan dan asing lebih mengenali pantai Desaru dan pantai Batu Layar, keindahan Pantai Punggai tidak ada kurangnya malah setanding dengan pantai lain.

Kini, hanya masa yang menanti untuk menjadikan pantai Punggai sebagai produk dan destinasi utama bagi pelancong menghabiskan cuti pada hujung minggu.