Tuesday, April 12, 2011

Perahu Tembeling


Bukan mudah buat Perahu Tembeling

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ABDUL Hamid Dahaman memasang dinding perahu menggunakan kayu hutan di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut.

JERANTUT 11 April – Penggunaan bot penambang masih menjadi pilihan sesetengah pelancong walaupun wujudnya pengangkutan darat untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

Permintaan terhadap pengangkutan sungai menjadikan perusahaan membuat perahu secara tradisional masih lagi dilaksanakan sebilangan penduduk di Hulu Tembeling dekat sini meskipun aktiviti itu semakin malap apabila hanya golongan warga emas yang mengusahakannya.

Di kalangan penduduk Hulu Tembeling, perahu dan bot penambang yang lebih sinonim dengan panggilan Perahu Tembeling, mempunyai nilai komersial tersendiri.

Kedudukan lima kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling yang dihubungkan dengan Bandar Jerantut melalui Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer merupakan antara faktor perusahaan perahu berkenaan masih ‘bernafas.’

Perahu Tembeling boleh memuatkan seramai 20 penumpang selain digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Tembeling, Sungai Kenyam, Sungai Pengau dan Sungai Sepia.

Malah, kakitangan kerajaan dari bandar Jerantut yang mengadakan lawatan kerja ke Hulu Tembeling juga menggunakan pengangkutan tradisional itu berikutan tiada jalan perhubungan darat yang pantas.

Bagaikan satu kelaziman bagi penduduk persisiran Sungai Tembeling memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot penambang.

Bagi penduduk Hulu Tembeling, memiliki sebuah bot penambang berenjin 40 kuasa kuda dianggap berprestij sama seperti mereka yang mempunyai kereta di bandar.

Pengusaha Perahu Tembeling, Abdul Hamid Dahaman, 70, memberitahu, selagi tiada jalan raya ke Hulu Tembeling, bot penambang akan terus menjadi alat pengangkutan utama ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Abdul Hamid adalah antara pengusaha yang meniti usia emas yang masih betah membuat perahu secara kecil-kecilan di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling.

Meskipun tenaga semakin lemah akibat faktor usia namun permintaan yang kerap di kalangan penduduk untuk memiliki perahu merangsangnya untuk terus melaksanakan aktiviti itu.

“Saya terpaksa melakukan kerja-kerja ini kerana ada permintaan untuk menggunakan perahu apabila ramai pelancong mengunjungi Taman Negara.

“Lagipun orang muda masa kini tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja-kerja sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, kerja-kerja membuat perahu bukanlah mudah kerana dia terpaksa masuk ke hutan mencari kayu jenis meranti dan merawan untuk dijadikan ‘lunas’ yang dipasang pada bahagian bawah perut perahu.

Menurutnya, kedua-dua jenis kayu berkenaan amat sesuai dijadikan lunas perahu kerana ia ringan dan tahan lama walaupun terendam dalam air atau bergesel dengan batu jeram ketika di dalam sungai.

“Dinding perahu dibuat daripada papan jenis pokok yang sama,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, pokok berkenaan ditebang dan dipotong dengan cermat sebelum diketam untuk dijadikan papan setebal dua hingga tiga sentimeter untuk dijadikan dinding perahu.

Setelah siap memaku dinding, katanya, proses seterusnya ialah menampal lubang di celah dinding dan lunas dengan menggunakan bahan pelekat atau gegala yang dibeli atau diperbuat daripada getah pokok damar yang juga diperoleh dari hutan.

“Jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah perahu mengambil masa selama 20 hari termasuk memasang bumbung aluminium dan enjin,” jelasnya.

Kata beliau, badan perahu perlu disapu minyak hitam supaya lebih tahan ketika berendam dalam air dan jika perlu, ia boleh dicat supaya kelihatan menarik, bergantung kepada kreativiti pemiliknya.

“Saya menjual sebuah perahu antara RM6,000 hingga RM12,000 bergantung kepada saiz dan mutu pembuatannya termasuk jenis kayu yang digunakan,” katanya.

Proses terakhir, katanya, ialah kerja-kerja menurunkan perahu yang siap dari bengkel ke sungai bagi mengesan sama ada lunas dan dinding bocor selain menentukan perimbangan badan perahu itu semasa di permukaan air dan melalui kawasan jeram.

Kerja-kerja menurunkan badan perahu ke dalam sungai, katanya, dilakukan secara bergotong-royong di kalangan penduduk kampung.

Dia berharap generasi muda masa kini mempelajari kemahiran membuat perahu kerana ia memberi pulangan pendapatan yang agak lumayan.

“Saya sanggup melatih jika ada belia yang ingin mempelajarinya,” jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, April 8, 2011

Hutan Lipur Som


Nikmati suasana kehijauan di Hutan Lipur Som

KEHIJAUAN alam dan pelbagai jenis kayu-kayan antara tarikan utama pengunjung di pusat rekreasi Hutan Lipur Som, Jerantut.

JERANTUT 7 April – Pusat rekreasi Hutan Lipur Som, Damak di sini merupakan destinasi perkelahan berasaskan hutan simpan kedua yang terdapat di daerah ini.

Terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar daerah ini, kawasan milik Jabatan Hutan Jerantut kini menjadi tumpuan ramai pengunjung pada setiap hujung minggu.

Tarikan pengunjung ke situ adalah kayu-kayan bermutu tinggi yang dipulihara oleh jabatan tersebut menerusi kajian dan pembenihan pokok berkenaan.

Kedamaian itu ditambah dengan siulan pelbagai spesies burung yang singgah ke situ dan sesuai kepada penggemar kegiatan birds watching merakamkan gambar menerusi lensa kamera masing-masing.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Parking Taman Negara


aman Negara sesak kenderaan diletak sesuka hati

KENDERAAN diletak sesuka hati di laluan pintu masuk sehingga menimbulkan kesesakan dan tidak selesa pelancong asing yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.

Saudara Pengarang,
MASALAH pelawat domestik dan individu meletakkan kenderaan sesuka hati 'menghantui' pihak lain yang kerap berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan daerah Jerantut.

Senario berkenaan amat ketara di pintu masuk ke Taman Negara di Kuala Tahan Seberang (hadapan sekolah rendah dan tempat menunggu bas) apabila kenderaan diparkir di kiri kanan jalan berkenaan yang sempit.

Keadaan itu menimbulkan kesesakan kepada pejalan kaki khususnya pelancong Barat sambil memikul beg berat ke pintu masuk dari taman itu.

Terdapat kenderaan lain memasuki laluan yang sudah sesak untuk memunggah barang atau menurunkan penumpang di pintu masuk taman berdekatan Sungai Tembeling.

Keadaan itu juga menutup langsung keceriaan pintu masuk taman yang dihiasi laluan berturap batu-bata merah, pokok bunga dan memudarkan lagi 'warna-warni' landskap taman berkenaan.

Bukan sahaja pelancong menghadapi kesesakan lalu lintas, malah, senario tersebut berlaku apabila murid sekolah rendah masuk dan keluar pintu pagar pada hari persekolahan.

Lebih menghairankan mengapa pemilik kenderaan tidak menggunakan parkir khas yang dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berdekatan laluan ke sebuah resort swasta.

Parkir berkenaan yang boleh memuatkan hampir 100 buah kenderaan pada satu-satu masa selesa dan selamat, sebaliknya langsung tidak berfungsi sepenuhnya selain beberapa kenderaan sahaja dilihat berbuat demikian.

Saya meminta PBT menempatkan petugas beruniform secara bergilir-gilir untuk memantau kenderaan yang diletakkan sesuka hati khususnya pada cuti hujung minggu.

SURI TAMAN,Jerantut