Monday, November 28, 2011

rasa kehidupan kampung

Rasai hidup kampung
Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seramai 20 delegasi membabitkan pegawai tinggi kementerian dari Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgystan diberi peluang menyelami cara hidup masyarakat kampung di negara ini apabila dibawa berkunjung ke Inap Desa Tambak Paya, Ayer Molek, di sini, baru-baru ini.

Lawatan berkenaan salah satu pengisian delegasi terbabit untuk melihat lebih dekat mengenai kehidupan rakyat di negara ini, justeru, mereka diberi peluang melawat ke inap desa berkenaan.


Pengurus Homestay Tambak Paya, Penghulu Abu Bakar Ramlan berkata, semua delegasi terbabit adalah peserta Kursus Antarabangsa ‘Development Planning and Project Management For Central Asia’ selama dua minggu di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, antara aktiviti diperkenalkan ketika lawatan delegasi terbabit ke inap desa berkenaan ialah melihat cara hidup harian masyarakat kampung termasuk membuat pelbagai kuih tradisional seperti rempeyek, tapai ubi, tempe dan inang-inang.


Lebih bermakna lagi, katanya, delegasi berkenaan ditunjukkan cara menoreh getah dilakukan penduduk kampung yang menjalankan kerja sebagai penoreh getah.


“Kita juga membawa mereka ke rumah kampung di Tambak Paya supaya mereka dapat merasai suasana sebenar cara hidup masyarakat negara ini terutama kehidupan harian penduduk kampung,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, program lawatan setengah hari itu turut membabitkan majlis ramah mesra antara ahli jawatankuasa (AJK) inap desa dan Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Tambak Paya di Pusat Aktiviti KRT Tambak Paya, Ayer Molek.


Katanya, program berkenaan diurus oleh Pejabat Daerah Melaka Tengah di bawah pengendalian pegawai bertanggungjawab iaitu Penolong Pegawai Daerah, Mohd Yusri Zainal.

“Meskipun program lawatan itu singkat namun delegasi terbabit melahirkan kepuasan di mana mereka merasakan ia satu kelainan berbanding cara kehidupan di negara mereka sendiri.


“Sehubungan itu, kami bagi pihak inap desa dan KRT Tambak Paya merakam rasa terima kasih kepada pihak Intan dan kerajaan negeri yang membawa mereka ke sini untuk menyelami kehidupan masyarakat kampung di Malaysia sempena menghadiri kursus di sini,” katanya.


Sementara itu, pihaknya berharap lawatan dilakukan delegasi terbabit ke negeri pelancongan ini dapat membuka peluang lebih besar untuk mereka menghebahkan kepada rakyat mereka bahawa negara kita yang berbilang kaum boleh dilawati pada bila-bila masa saja.

Sunday, November 20, 2011

kemaman ada zoo

'Safari Afrika' di Zoo Kemaman


Ahmad Said mendukung seekor anak singa yang diberi nama Yippa di Zoo Kemaman, Terengganu, semalam.


KEMAMAN 19 Nov. - Kerajaan negeri akan menaik taraf Zoo Kemaman di sini supaya menjadi antara zoo terbesar di negara ini termasuk mewujudkan 'Safari Afrika' sebagai tarikan terbaru kepada pengunjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, zoo berkenaan menerima 13 singa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membolehkan zoo itu dilengkapi 'Safari Afrika'.
Beliau memberitahu, haiwan berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun dan terdiri daripada tujuh jantan dan enam betina.
Selain itu, jelas Ahmad, Jabatan Perhilitan turut menyerahkan dua ekor tapir dan empat ungka yang dibawa khas dari pusat pemeliharaan di Zoo Melaka.
"Kesemua 13 singa itu merupakan haiwan yang dirampas oleh Jabatan Perhilitan di beberapa zoo di negara ini setelah didapati tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
"Sasaran Zoo Kemaman adalah untuk mencapai standard antarabangsa selain menjadi antara zoo terbesar di negara ini," katanya pada majlis penyerahan haiwan itu di sini, hari ini.
Ahmad seterusnya menjelaskan, selain 'Safari Arfika', Zoo Kemaman yang berkeluasan 120 hektar juga merancang mewujudkan sebuah 'Safari Malam'.
Justeru, jelasnya, beberapa ekor haiwan seperti zirafah dan antelop akan dibawa masuk ke zoo itu selewat-lewatnya tahun depan.
"Buat masa ini kita bawa masuk haiwan lain secara berperingkat bagi membolehkan kita menyediakan kawasan dan sangkar yang sesuai," katanya.
Katanya, Zoo Kemaman yang mula dibuka pada 2009 sehingga kini mempunyai 36 jenis mamalia termasuk harimau dan gajah, enam ekor beruang dan lebih 100 spesies burung.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, Zoo Kemaman merupakan zoo keempat di Malaysia yang menerima singa daripada jabatan itu selepas Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping di Perak.

Thursday, November 3, 2011

zoo taiping 2

Terpesona lihat gelagat haiwan


Gelagat memerang pastinya menarik untuk dirakamkan dengan lensa kamera.


TAIPING 2 Nov. – Menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai kepada Utusan Malaysia mengenai pengalaman mereka melawat Zoo Taiping dan Night Safari di sini baru-baru ini.
Kebanyakan mereka mengatakan, walaupun bukan kali pertama mengunjungi zoo, pengalaman berkunjung ke Zoo Taiping nyata berbeza.
Seorang pengunjung, Arizalina Ibrahim, 34, berkata, keadaan persekitaran yang redup menyebabkan mereka sekeluarga selesa untuk menjelajah ke seluruh kawasan zoo tersebut.
‘‘Ini kunjungan pertama saya ke sini dan saya cukup seronok untuk membawa anak-anak ke Night Safari bagi merasai sendiri pengalaman berjalan dengan ditemani hidupan liar yang aktif pada waktu malam.
‘‘Ini bukan sahaja pengalaman yang menyeronokkan tetapi memberikan pengetahuan kepada anak-anak saya mengenai spesies haiwan yang ada di dalam zoo ini, '' kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Mohd. Shahrir Harun, 25, yang juga baru pertama kali berkunjung ke zoo itu, berkata, tempat tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah kepada pelbagai lapisan usia.
Katanya, penerangan yang diletakkan pada setiap pagar haiwan membolehkan pengunjung mengetahui lebih mendalam mengenai sesuatu habitat.
‘‘Kunjungan ke zoo ini adalah lawatan sambil belajar. Kalau ada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara, ia pasti lebih meriah,” katanya.
Bagi seorang pelajar sekolah, Amar Asyraf Azhar, 7, pula, setiap kali berkunjung ke zoo, dia tidak akan melepaskan peluang untuk melihat reptilia seperti ular dan buaya.
‘‘Saya suka lihat ular dan buaya. Paling seronok apabila saya dapat memegang ular. Selain tengok haiwan, saya dapat ilmu dengan membaca penerangan yang tertera di setiap pagar haiwan,” katanya.

zoo taiping

Zoo Taiping gamit pengunjung


Seekor buaya menyambar makanan antara gelagat haiwan yang boleh dilihat di zoo berkenaan.


TAIPING 2 Nov. - Jika ditanya tentang Taman Mergastua Sultan Idris Shah, pasti ramai yang menggelengkan kepala dan tidak tahu di manakah letaknya tempat tersebut sedangkan ia merupakan zoo tertua di negara ini.
Namun, jika disebut Zoo Taiping, sudah tentu semua fikiran terarah kepada satu-satunya zoo di utara Semenanjung yang cukup terkenal dengan program Night Safari Taiping.
Taman Mergastua sebenarnya adalah nama rasmi bagi Zoo Taiping. Tempat berkeluasan 13.6 hektar itu terletak di kaki Bukit Larut atau Maxwell Hill.
Dengan keindahan persekitaran alam semulajadinya yang dilengkapi aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora, tidak hairanlah zoo itu cukup popular kepada pengunjung.
Selain itu, Zoo Taiping juga dikenali kerana mencetuskan pembaharuan apabila memperkenalkan pameran haiwan secara terbuka dengan mengambil kira habitat asal haiwan berkenaan melalui pembinaan kandang yang sesuai.
Menurut Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus, zoo yang dibina pada 1961 itu menjadi habitat kepada lebih 1,300 ekor haiwan daripada 200 spesies ketika ini.
Katanya, antara haiwan yang menjadi tumpuan pengunjung ialah harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang dan orang utan.
''Di sini terdapat juga usaha pembiakan hidupan liar yang semakin pupus dan usaha pembiakan yang kita lakukan setakat ini terbukti berjaya.
''Antara hidupan liar yang berjaya dibiakkan termasuk harimau belang, singa, siamang, rusa, nilgai, burung kuak, gajah dan banyak lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tidak lengkap kunjungan ke Zoo Taiping jika tidak mengikuti program Night Safari Taiping yang bermula dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu.
Night Safari Taiping adalah satu produk pelancongan unik yang mempamerkan haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu khas seperti cahaya bulan.
Aksi-aksi haiwan seperti kongkang, chimpanzi, lemur perang, lemur ekor gelang, siamang dan ungka tangan putih sudah pasti mencuit hati setiap pengunjung dengan aksi nakal mereka memanjat pokok dan pagar di dalam sangkar.
Gelagat haiwan itu ternyata sekali membuktikan ia sangat aktif pada waktu malam walaupun ada sesetengahnya kelihatan sebaliknya.
''Di sini, pengunjung diminta untuk meminimumkan bunyi-bunyian atau suara supaya mereka dapat mendengar bunyi haiwan selain tidak mengganggu ketenteraman haiwan tersebut.
''Pengunjung juga dilarang membawa lampu suluh dan kamera berlampu denyar (flash) supaya tidak mengganggu haiwan di sini.
"Memberi makanan, melintas halangan, memetik tumbuh-tumbuhan juga dilarang sama sekali di kawasan tersebut," katanya.
Kelvin memberitahu, pengunjung juga boleh melihat haiwan-haiwan lain terutamanya haiwan dari luar negara seperti antelop, dubuk, kanggaru, badak sumbu putih, badak air, unta, dan kuda belang dalam pengembaraan mereka menerusi Night Safari Taiping.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: