Monday, December 19, 2011

janda baik

Teratak Malaya janjikan ketenangan


Reka bentuk calet yang bercirikan rumah kampung menanti pengunjung bersantai bersama keluarga.


SEKIRANYA anda masih tercari-cari lokasi percutian hujung tahun terutama musim cuti persekolahan ketika ini, apa kata berkunjung ke Janda Baik terletak di daerah Bentong.
Janda Baik merupakan salah satu kawasan tanah tinggi sesuai untuk bercuti bersama keluarga serta orang tersayang terutama mereka yang ingin melupakan sejenak kesibukan kerja dan kesesakan di kota.
Kawasan yang menjadi aset pelancongan Pahang itu menyediakan banyak inap desa, resort dan calet bermula dari kategori standard hingga ke eksklusif.
Calet Teratak Malaya merupakan salah satu lokasi percutian di Janda Baik yang menjanjikan ketenangan dan kedamaian dengan keindahannya yang berkonsepkan alam rimba.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur, tempat tersebut menyediakan 18 calet dan dua rumah pokok yang direka khas menggunakan kayu dan buluh oleh pemiliknya, Wan Abdul Malik Wan Hamat.
Lokasinya yang strategik berlatar belakang bukit dan sungai sudah pasti memukau mata memandang dan meredakan segala kepenatan bekerja.
Calet dibina di atas tanah seluas dua hektar itu bagaikan rumah dalam taman dengan dikelilingi pepohon menghijau dan bunga pelbagai warna serta kolam ikan yang menjanjikan kelainan selain ruang biliknya ringkas dan amat selesa.
Teratak Malaya yang baru berusia dua tahun menawarkan harga berpatutan dari RM120 hingga RM350 untuk satu malam termasuk sarapan pagi mengikut jenis calet.
Bagi mereka yang ingin menjamu selera di calet tersebut, pihak pengurusan turut menyediakan tempahan makan tengah hari dan malam mengikut cita rasa pengunjung.

selain tumbuhan hijau, aliran sungai di kawasan calet turut menarik perhatian pengunjung.


Selain menikmati keindahan alam, pengunjung boleh menikmati kedamaian hidup di kampung dan meredah hutan untuk ke kawasan air terjun serta pelbagai aktiviti lasak termasuk permainan paintball.
Menariknya, Teratak Malaya juga menyediakan bilik khas untuk mereka yang baru bergelar raja sehari dan pengunjung boleh mandi sungai serta memberi makanan kepada ikan di kolam yang terletak di hadapan calet.
Bagi kaki pancing pula, sungai berhampiran Teratak Malaya amat sesuai untuk mereka menguji kepakaran masing-masing menaikkan ikan sungai yang bersaiz besar.
Teratak Malaya juga menawarkan kemudahan bagi agensi-agensi kerajaan atau syarikat korporat yang mahu mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga.
Terdapat enam bangunan asrama, dewan serbaguna yang boleh memuatkan 300 orang, bilik seminar untuk 100 orang, bilik mesyuarat, dewan makan dan surau.
Kawasan tersebut juga sering dijadikan tempat perkhemahan peringkat sekolah rendah dan menengah termasuk dari luar Pahang kerana lokasinya yang luas.
Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar, anda tidak perlu risau kerana tempat itu terletak 25 kilometer dari Genting Highlands.