Thursday, September 13, 2012

forest stay

ARKIB : 11/09/2012

Forest Stay janji pengalaman berbeza

SEORANG pelawat meninjau sebuah chalet jenis Dangau pada Majlis Perasmian 'Forest Stay' Taman Botanikal Ayer Keroh Melaka, baru-baru ini.
MELAKA 10 Sept. - Berbeza dengan homestay, kampungstay atau townstay yang banyak terdapat di negara ini, Forest Stay di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini menyajikan pengalaman unik untuk pengunjung menginap bersama keluarga dan beriadah dalam suasana kedamaian hutan hujan tropika tetapi di tengah-tengah bandar raya.
Kawasan hutan rekreasi seluas 100 hektar yang baru dibuka awal bulan ini, menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang ramai merasai pengalaman luar biasa tinggal di hutan rimba.
Merasai sendiri udara nyaman serta melihat kehijauan alam semulajadi di lokasi yang sangat tenteram ini, pasti mengujakan setiap pengunjung dari dalam dan luar negeri yang mahu mencari ketenangan serta lari daripada hiruk-pikuk kota.
Tidak keterlaluan dikatakan bagi para peminat alam semulajadi yang sangat menghargai kehijauan alam dan kedamaian hutan, Forest Stay merupakan lokasi paling ideal bagi mereka.
Jaraknya yang terletak kurang lima kilometer dari kawasan pelancongan Hutan Rekreasi Ayer Keroh, sekali gus memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya pada bila-bila masa.
Forest Stay dibangunkan Kumpulan Melaka Berhad (KMB), menyediakan pelbagai jenis pilihan penginapan yang boleh disesuaikan dengan aktiviti ingin dilakukan termasuk perkhemahan, program motivasi dan program jati diri.
Antara kemudahan penginapan yang disediakan termasuklah tiga buah chalet dan 24 buah dangau yang amat sesuai untuk digunakan oleh mereka sama ada secara berkumpulan atau individu.
Selain itu, terdapat juga kemudahan dua buah asrama dan tapak perkhemahan bagi aktiviti berkumpulan lebih besar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Harga ditawarkan juga amat berpatutan dengan pelbagai kemudahan serba lengkap disediakan.
Chalet satu bilik yang mempunyai beranda dan bilik air hanya berharga RM150 bagi satu malam manakala dangau yang terbahagi kepada jenis A dan B berharga RM35 hingga RM50.
RUANG tamu di sebuah chalet yang terdapat di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka.
Selain itu, tapak perkhemahan yang boleh memuatkan antara 500 hingga 700 orang pada satu-satu masa pula hanya dikenakan bayaran RM3 setiap seorang untuk satu malam.
Terdapat juga dua buah asrama yang boleh menempatkan seramai 24 orang pada satu-satu masa dengan kadar sewaan RM350 seunit.
Bagi kumpulan yang mahu menggunakan dewan makan, terdapat dua kemudahan itu yang boleh disewa dengan harga RM100 dan RM150.
Untuk menambah lagi keselesaan para pengunjung, Forest Stay juga menyediakan kemudahan lain seperti empat buah tandas, sebuah surau, sebuah padang, tempat permainan basikal lasak serta tangga kambing yang boleh digunakan seramai 40 orang.
Selain perkhemahan, pelbagai kemudahan sedia ada di Taman Botanikal boleh dimanfaatkan para penginap seperti trek joging, tempat senaman, aktiviti merentas hutan, buggy ride dan lain-lain.
Kemudahannya yang akan ditambah dari semasa ke semasa, menjadikan lokasi ini sesuai untuk semua jenis aktiviti dan tidak terhad kepada perkhemahan dan kursus sahaja.
Pengurus Forest Stay, Abdul Bahar Bahari (gambar) berkata, pengalaman dan pengurusan KMB yang baru mengambil alih hutan rekreasi itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk merasai pengalaman berbeza bermalam di situ.
"Orang ramai dari dalam dalam luar negeri ini serta pelancong luar harus datang sendiri untuk merasai pengalaman tinggal di hutan seperti ini yang pertama seumpamanya di Melaka.
"Dengan pelbagai kemudahan disediakan, kami berharap pengunjung akan berpuas hati dan dapat menjadikan Forest Stay sebagai pilihan utama masyarakat yang inginkan kelainan dan kedamaian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, terdapat juga pelbagai tempat tarikan pelancong yang terletak berhampiran lokasi Forest Stay untuk dilawati seperti Taman Tema Air Melaka Wonderland, Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Mini Malaysia, Muzium Orang Asli dan banyak lagi.
Orang ramai yang ingin berkunjung atau mahu mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi KMB di talian 06-2327880 atau e-mel kepada info@kmb.com.my.