Friday, February 24, 2012

air terjun bekelah

Keindahan Air Terjun Bekelah


Hutan Lipur Bekelah di Gambang sesuai dijadikan tempat bersantai dan berkelah.


AIR Terjun Bekelah yang terletak di Hutan Simpan Bekelah, Maran, Pahang cukup sesuai dijadikan tempat berkelah dan bersantai terutama kepada pengunjung yang datang bercuti ke negeri Tok Gajah ini.
Kawasan hutan lipur ini begitu popular dengan keindahan kolam mandi semula jadi hasil hakisan air terjun sejak ribuan tahun dahulu yang mana turut menjanjikan 1,001 cabaran bagi penggemar aktiviti lasak.
Keunikan Air Terjun Bekelah ialah mempunyai air terjun tujuh tingkat dengan ketinggian di antara tiga hingga 30 meter dengan suasana yang bersih, segar serta persekitarannya yang nyaman.
Malah aliran sungainya yang jernih pasti memikat hati setiap pengunjung. Pengunjung bagaimanapun perlu berhati-hati ketika mandi-manda kerana ada di kawasan-kawasan tertentu airnya sangat dalam.
Untuk ke air terjun tersebut, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan menikmati keindahan jeram dan beberapa siri air terjun yang pasti dapat memecah kesunyian.
Perjalanan ke puncak air terjun yang ketujuh agak mencabar kerana pengunjung harus melalui jalan berbatu yang curam dan licin. Namun, sejurus sampai ke puncak, perasaan penat dan lelah pasti hilang tatkala melihat pemandangan air terjunnya yang indah dan cantik.
Berhampirannya terdapat hamparan batu yang besar untuk tujuan berehat atau berkelah sambil menikmati keindahan air terjun. Jika ingin mandi manda, pengunjung dinasihatkan memakai jaket keselamatan kerana paras air di situ sangat dalam.
Bagi kaki pancing pula, ikan tengas yang terdapat di kawasan itu boleh dipancing dengan menggunakan umpan buah kelapa sawit yang direndam semalaman. Hasil yang diperoleh dapat memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada si pemancing.

Friday, February 10, 2012

tengok klip2

Pesona kelip-kelip Kampung Kuantan


Pengunjung menanti dengan penuh sabar di jeti, Kampung Kuantan, Kuala Selangor untuk menaiki sampan melihat kelip-kelip.


SUASANA di Kampung Kuantan di sebelah petang agak sepi. Sekali-sekala hanya kedengaran deruan enjin kereta dan motosikal di jalan raya.
Di kiri dan kanan ada beberapa buah rumah sama ada masih mengekalkan ciri tradisional kayu atau sejumlah kecilnya dibina dengan konkrit.
Namun suasana bertukar sebaik senja menghampiri.
Kawasan yang pada awalnya kosong, mula meriah dengan pelbagai ragam pengunjung sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara, masing-masing tidak sabar untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Keterujaan jelas terpancar di muka masing-masing sambil riuh berborak.
Setiap seorang lengkap berpakaian jaket keselamatan menunggu penuh sabar untuk menaiki sampan di jeti yang disediakan.
Biarpun agak gelap, kelibat pendayung yang begitu tenang mengharungi arus Sungai Selangor untuk membawa penumpang ke kawasan penumpuan kelip-kelip, masih dapat dilihat.
Mungkin ada antara pengunjung yang berasa agak takut untuk menaiki sampan kerana merasakan ia tidak selamat, namun jangan risau kerana bukan sehari dua mereka mengemudi kawasan itu malah sudah bertahun-tahun lamanya dan ada di antara mereka berpengalaman 40 tahun.
Setiap sampan hanya dibenarkan dinaiki empat orang sahaja. Kenapa hanya sampan digunakan dan bukan bot berkuasa enjin?
Ini kerana penggunaan sampan dapat mengelakkan pencemaran bunyi dan asap yang akan mengganggu habitat berkenaan.
Selain itu, menyusuri sungai dengan menggunakan cara tradisional ini lebih memberi kepuasan kepada pengunjung.
Tanpa adanya deruan bising enjin dan hanya bermuzikkan unggas di sekitarnya, lebih memberikan seribu kepuasan kepada pengunjung di samping dapat melihat keindahan alam kelip-kelip yang menakjubkan dalam suasana semula jadi.
'Pokok Krismas' di tepi sungai
Mengambil masa tidak sampai lima minit dari jeti untuk ke habitat kelip-kelip, pendayung akan membawa pengunjung menghampiri kawasan bertentangan (tebing sungai) di mana keajaiban semula jadi itu akan hanya dapat disaksikan sendiri oleh mata mereka.
Mungkin ada yang berasa takut tatkala menyusuri sungai itu ekoran sampan yang terumbang-ambing mengikut arus, namun semuanya berubah apabila melihat syurga kerlipan cahaya di setiap pokok Berembang yang berada di sepanjang sungai itu.
Membentuk keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, siapa sangka di tepi sungai itu terdapat pokok Krismas.
"Istimewanya, keadaan seperti ini (pokok krismas yang dibentuk daripada cahaya yang dihasilkan oleh kelip-kelip) hanya boleh dilihat di Kampung Kuantan, Brazil dan Papa New Guinea.
"Selain Kampung Kuantan, ada juga di negeri lain. Tetapi kuantitinya tak banyak seperti di sini," kata Sahar Lahajar, ketua pendayung.
Sememangnya, Kampung Kuantan yang terletak lebih kurang 9 kilometer (km) dari Kuala Selangor merupakan antara tempat wajib tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara yang ingin merasai sendiri pengembaraan unik melihat kelip-kelip.
Pokok Berembang atau Sonneratia Caseolaris, sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor, merupakan habitat serangga berukuran 6 milimeter panjang ini.
Pokok Berembang ini menjadi sumber makanan kepada kelip-kelip.
Tarikan utama kelip-kelip spesies Phteroptyx Tener yang terdapat banyak di kawasan ini terletak pada ekornya yang mengeluarkan cahaya.
Menjadikannya lebih istimewa ialah kerlipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada kadar tiga kerlipan sesaat.
Tujuan kerlipan cahaya itu adalah bagi menarik minat pasangannya. Untuk itu, kelip-kelip jantan akan mengeluarkan cahaya yang lebih terang daripada kelip-kelip betina.
Kelip-kelip ini cuma mempunyai jangka hayat enam hingga tujuh bulan sahaja dan amat sensitif dengan perubahan sekeliling.
Sahar berkata jumlah pelawat pada hari biasa agak kurang tetapi pada hujung hujung minggu boleh mencecah lebih 400 orang.
Terdapat seramai 31 pendayung di Kampung Kuantan yang kebanyakannya menjadikan ia sebagai kerja separuh masa.
Sahar berkata, masa terbaik untuk melihat kelip-kelip ini dengan jelas ialah pada waktu gelap tanpa cahaya bulan dan ketika air pasang.
"Apabila air pasang, pengunjung boleh dibawa pendayung menghampiri pokok Berembang dengan lebih dekat," katanya.
Usaha TNB, evolusi kehidupan pendayung
Dalam usaha mengekalkan ekosistem habitat kelip-kelip ini daripada mengalami ancaman kepupusan, syarikat pembekalan elektrik negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
Usaha itu ialah sebahagian daripada projek komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB.
TNB memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2008.
Ketua Hal Ehwal Komuniti TNB, Ahmad Zaki Rasid berkata, peruntukan itu membabitkan usaha menaiktaraf infrastruktur, promosi dan penyelidikan.
"Kelip-kelip ini merupakan simbol kepada TNB di mana ia adalah serangga yang mengeluarkan cahaya, begitu juga TNB yang membekalkan cahaya kepada penduduk negara ini.
"Selain itu, TNB turut menawarkan kelas bahasa asing kepada pendayung bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pengunjung luar negara," katanya.
Usaha yang dilakukan TNB ini turut membantu meningkatkan pendapatan pendayung.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Kuantan mengambil masa satu jam dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri khidmat pengangkutan awam disediakan ke tempat ini.
Mereka yang berminat boleh menaiki bas bernombor 141 dari Hentian Duta, Kuala Lumpir ke Kuala Selangor dan meneruskan perjalanan dengan teksi ke Kampung Kuantan.
Bagi mereka yang datang dari Klang, mereka boleh menaiki bas Transnasional bernombor 156 dari Hentian Bas Klang. — BERNAMA