Monday, November 8, 2010

Pulau Rebak


ARKIB : 31/10/2010

Pesona Rebak nan asyik

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Pantai memutih menghadap resort, menjanjikan kedamaian buat pengunjung.

DISCOVER your own private island.” Nota itu diterima penulis pada sepucuk surat. Ia diletakkan di atas meja konsol pada satu sudut di vila kayu tempat penulis inap.

Memegang janji yang ditawarkan, penulis ingin merasai sendiri kelainan berada di Rebak Island Resort sepanjang percutian selama tiga hari dua malam itu.

Ternyata janji tersebut dikota sewajarnya. Lewat jemputan dari lapangan terbang lagi, kemudian menaiki bot khas dari Port Langkasuka ke Pulau Rebak, kemesraan layanan sudah dapat dirasa. Pasti itu antara signatur Rebak Island Resort yang tiada tara.

Keindahan Langkawi tidak perlu diterjemahkan. Dan sebagai salah satu daripada 99 buah gugusan pulau yang membentuk jajahan legenda itu, pesona Rebak cukup memikat.

Berkeluasan 390 ekar, ia terletak kira-kira empat kilometer dari pulau utama. Pulau kecil itu dibarisi hutan hujan tropika yang dipenuhi pohon-pohon balak, herba, pandan dan pelbagai tumbuhan renek lain yang mencipta satu kanvas alam tersendiri.

Selain resort kampung dan kontemporari bertaraf empat bintang, keunikan pulau itu pastinya terletak pada marina yang menempatkan berpuluh-puluh kapal layar dan dikatakan yang terbesar di Langkawi.

Resort itu dimiliki sepenuhnya DRB-Hicom. Taj Hotel, sebuah kumpulan perhotelan terkemuka di India serta mempunyai banyak lagi cawangan di seluruh dunia, diberi tanggungjawab menguruskannya.

Tersendiri

Abadi. Perkataan itu diulang berkali-kali oleh Pengurus Besar, Samir Khanna tatkala disoal mengenai keistimewaan Rebak Island Resort jika dibandingkan dengan yang lain.

Jelas beliau, apa yang cuba diberikan oleh pihaknya kepada pengunjung adalah satu percutian yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Kami mahu pengunjung yang datang ke sini merasa bebas, tenang dan jauh dari suasana yang menyesakkan. Anda boleh lakukan apa sahaja yang anda mahu di sini, habiskan masa anda sepuasnya dan jaminan kami ketenangan milik anda,” kata beliau yang menerajui resort itu sejak tiga tahun lalu.

Lokasi paling sesuai buat pasangan yang baru berkahwin untuk memadu kasih, berada di Rebak ibarat sebuah dunia baru yang menjadi milik anda berdua.

Tidak hairanlah pulau kecil itu telah menjadi saksi termeterai ikatan sah antara dua hati beberapa pasangan sejak ia wujud lagi. Malah ketika penulis di sana sempat juga menyaksikan perkahwinan romantis sepasang pengantin dari ibu negara.

Pelbagai aktiviti turut disediakan. Pengunjung boleh sahaja menghabiskan masa di tepian pantai yang sememangnya tenang tanpa sesak dengan pengunjung. Tidak mustahil andai hanya anda sahaja yang berada di sana.

Pengunjung juga boleh memilih untuk berkayak di sepanjang Selat Senari yang memisahkan antara Pulau Rebak dan rebak Kecil. Juga disediakan basikal mengelilingi kawasan resort yang luas atau cuba aktiviti memanah.

Mahukan aktiviti lebih lasak, Rebak menawarkan ‘jungle walk’ pada waktu siang atau malam di kawasan hutan yang agak mencabar. Jangan risau mengenai keselamatan kerana pihak resort turut menyediakan juru pandu berpengalaman.

Perjalanan dari kaki bukit bersebelahan marina menuju ke Pantai Merah (pantai di sebelah Laut Andaman) mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan. Pendakian bukit secara menegak mungkin agak memenatkan, namun tatkala kaki melangkah ke pantai sunyi itu, satu perasaan kagum sukar digambarkan dengan kata-kata.

Batu kapur merah yang terhakis oleh ombak laut menghasilkan satu lukisan alam yang cukup indah. Seketika penulis berada di situ membuatkan diri tidak henti memuji keindahan alam ciptaan Ilahi. Sayangnya waktu yang kurang sesuai, paras air pasang tidak mengizinkan penulis sampai ke sebuah gua yang terbentuk akibat hakisan ombak.

Percutian lengkap

Rebak Island Resort memiliki 82 buah bilik yang terdiri daripada tujuh jenis kediaman berlainan. Anda boleh memilih sama ada menginap di bilik atau vila menghadap pantai dan Selat Senari. Atau mencuba suasana lebih sunyi di vila dikelilingi pokok asam jawa dan tumbuhan pantai yang lain.

Menjamu selera tidak sukar, Restoran Senari menawarkan pelbagai juadah istimewa tempatan dan antarabangsa. Mahu lebih santai, Minum-Minum Lounge menyediakan ruang berbual sambil didendangkan persembahan jazz yang mengasyikkan.

Atau berada di tepian pantai, menghirup jus segar yang disediakan pondok kecil Lepak. Juga menikmati makan malam romantis di tepian pantai, mungkin antara momen yang sukar dilepaskan. Melepaskan penat dan lelah, manja dan belai diri dengan urutan tradisional Melayu di Ulik Mayang Spa. Pastinya aroma minyak bunga kemboja, mawar, halia dan teh putih bisa membuatkan anda terlelap seketika.

Tidak terasa masa yang berlalu, sukar diungkap dengan kata-kata. Hanya nikmati ia sewajarnya, Rebak Island Resort tentunya percutian idaman anda.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Gua Rimau


ARKIB : 30/10/2010

Langkah pertama ke Gua Rimau

Oleh Noh Ismail

PESERTA mengabadikan kenangan di puncak pertama Gunung Gua Rimau.

NAMA Gunung Gua Rimau jarang disebut oleh penggemar aktiviti kembara di negara ini. Bahkan ramai yang tidak mengetahui di mana letaknya gunung itu.

Gunung berketinggian 889 meter dari itu terletak di sebelah selatan Gunung Belumut di Kluang, Johor. Dipercayai tiada yang pernah mendaki ke puncak itu kerana laluan yang sukar.

Selain itu cerita mengenai kewujudan sekumpulan harimau yang mendiami sebuah gua di lereng gunung itu menakutkan ramai pendaki. Dari situ jugalah datangnya nama Gunung Gua Rimau.

Baru-baru ini penulis bersama sekumpulan pendaki seramai 18 orang mengadakan Ekspedisi Sondol Gunung Gua Rimau.

Lebih manis apabila sebuah lagi gunung berjaya ditawan iaitu Gunung Belumut yang berada di tengah-tengah laluan ke puncak Gunung Dua Rimau.

Sebenarnya tidak ada jalan lain untuk sampai ke puncak Gunung Gua Rimau kecuali dengan mendaki Gunung Belumut dan bermalam di puncaknya sebelum meneruskan perjalanan pada hari kedua.

Berikut catatan pengalaman penulis selama dua hari meneroka dan menawan puncak GGR.

Hari pertama:

Awal pagi 18 pendaki yang datang dari Kulaijaya, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kuala Lumpur menyusuri trek hutan ke puncak Gunung Belumut.

Sebelum itu taklimat ringkas diberikan oleh Pegawai Hutan Lipur Gunung Belumut yang kemudian disusuli doa selamat. Hujan yang turun pada awal pagi membuatkan peserta mengatur langkah dengan lebih berhati-hati kerana laluan yang licin.

Selepas berhempas pulas selama lebih empat jam akhirnya sampai di Kem Bonsai. Di situ peserta berkhemah sebelum meneruskan cabaran menawan puncak Gunung Gua Rimau pada keesokan harinya.

Petang itu para peserta naik ke puncak Gunung Belumut yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kem Bonsai. Dari puncak Gunung Belumut jelas tersergam Gunung Gua Rimau yang bakal ditakluk.

Hari kedua:

Awal pagi selepas menikmati sarapan pagi peserta memulakan langkah yang lebih panjang dengan meninggalkan Gunung Belumut. Namun beberapa orang peserta yang kurang cergas mengambil keputusan untuk tinggal di Kem Bonsai.

Berpandukan arah kompas, peserta mengikut bearing 135 darjah menuruni lereng Gunung Belumut menuju ke bahagian genting yang mencantumkan dua gunung. Lereng yang curam, licin dan lembap cukup mencabar.

Sambil berjalan perlu ditebas semak serta rotan berduri untuk membuka laluan. Sementara rakan yang dibelakang akan mengikat reben merah putih sebagai petanda bagi memudahkan mengesan jalan semasa balik.

Cerun dan lereng Gunung Belumut setinggi kira-kira 370 meter perlu dilalui untuk tiba ke genting. Jaraknya dianggarkan lebih kurang dua kilometer. Selepas dua jam berjalan menuruni lereng akhirnya sampai di genting yang berketinggian kira-kira 730 meter dari aras laut.

Dari genting itu peserta mengikut arah 155 darjah menuju ke puncak Gunung Gua Rimau. Cabaran kali ini adalah laluan mendaki yang mencanak naik.

Sambil mendaki, tangan tidak berhenti menghayun parang menebas semak, anak-anak pokok kayu serta pokok rotan berduri.

Batu-batu besar disusuri di lereng gunung. Pada paras 830 meter kelihatan Gunung Belumut berdiri gagah di belakang. Lembah Ulu Sungai Kahang juga dapat dilihat dengan jelas dari sini.

Selepas berhempas-pulas mendaki cerun yang curam akhirnya sampai di atas permatang gunung yang agak landai dan puncak gunung sudah semakin hampir. Puncak pertama Gunung Gua Rimau akhirnya dapat ditawan selepas tiga jam lebih turun dari puncak Gunung Belumut.

Sorak ketawa peserta memecah suasana yang hening di puncak. Keadaan puncak agak luas dan lapang dan dikelilingi pokok-pokok renik. Pokok paku dipteris conjungata mendominasi keseluruhan puncak.

Bulan Madu


ARKIB : 30/10/2010

Sri Sutra tawar destinasi bulan madu

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
Gambar AIZZUL A. MAJID

Antara Lokasi pilihan bulan madu yang cukup terkenal buat pasangan pengantin baru.

Melancong ke salah satu destinasi eksotik di Asia, dengan kepelbagaian budaya yang harmoni, keindahan pantai dan alam semulajadi yang mendamaikan sudah tentu menjanjikan kenangan manis yang sukar dilupakan buat pasangan yang sedang berbulan madu.

Saat indah tersebut yang hanya dikongsi berdua tanpa gangguan dari keluarga dan rakan-rakan, tidak kurang pentingnya sebagai tanda permulaan kehidupan serba baru bersama selepas melangkah ke alam perkahwinan.

Aliran semasa berbulan madu kini cukup sinonim buat pasangan pengantin baru lebih-lebih lagi ia membantu proses peringkat awal untuk mencari keserasian hidup bersama.

Kalau dahulu, trend berbulan madu ini hanya dinikmati golongan kaya tetapi kini sesiapa juga berpeluang untuk merasai keseronokannya sama ada di dalam negara mahupun ke luar negara.

Sri Sutra Travel Sdn. Bhd. (SST)

Melihatkan trend tersebut semakin berkembang, Sri Sutra Travel Sdn. Bhd. (SST) muncul sebagai salah sebuah agensi pelancongan yang menjadi tumpuan khususnya di kalangan pasangan baru berkahwin yang ingin berbulan madu.

Sebagai salah satu agensi pelancongan terkemuka bukan saja di Asia Tenggara bahkan turut dikenali juga di bahagian Eropah dan Asia Barat, SST kini semakin giat mempromosikan pakej-pakej tersebut buat pasangan yang ingin menikmati suasana yang berlainan daripada gaya hidup biasa.

Pengarah Urusan Kumpulan, Syarikat Kumpulan Sutra Utama, Datuk Syed Mohd. Razif Al Yahya berkata, perkembangan trend bulan madu merupakan suatu yang positif.

"Bulan madu sudah menjadi trend di kalangan pasangan baru berkahwin dan ada di antara mereka memilih untuk berbulan madu ke luar negara seolah-olah menjadi trend buat golongan tersebut.

"Mungkin trend ini berlaku kerana mereka inginkan sesuatu yang lain daripada yang lain selain membawa pulang kenangan indah yang tidak akan dilupakan," katanya.

Lokasi pilihan bulan madu yang cukup terkenal buat pasangan pengantin baru di Malaysia ialah seperti Bali, Indonesia; Phuket, Thailand dan Gold Coast, Australia.

"Lokasi yang dekat dengan Malaysia dan harga yang mampu milik menjadi faktor utama mengapa destinasi tersebut jadi piliha.

"Pakej-pakej yang disediakan boleh diperoleh bermula pada kadar harga RM500 ke RM3,000 bergantung kepada lokasi pilihan.

"Pakej bulan madu yang kami tawarkan berbeza dengan pakej pelancongan biasa kerana kami selitkan elemen-elemen dan pelbagai aktiviti romantik buat pasangan baru berkongsi detik-detik indah bersama.

"Aktiviti tersebut turut diserikan lagi dengan menikmati hidangan makan malam di bawah sinaran lilin.

"Apabila mereka pulang ke bilik mereka akan menerima hadiah istimewa dari kami seperti kek, buah-buahan dan pelbagai lagi barangan yang direka khas buat mereka yang mengambil pakej bulan madu," katanya.

Untuk kemudahan pelanggan serta bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, SST menyediakan talian 03-40266655, faks 03-40266622 atau layari laman web www.srisutra.com.my.

Genting


ARKIB : 30/10/2010

i-Percutian di Resorts World Genting


I-Percutian bakal memudahkan anda untuk menempah dan membuat pembayaran sebelum percutian ke Resorts World Genting dan Awana Resort.

JIKA anda merancang untuk bercuti ke Resorts World Genting dan Awana Resort, kini perancangan tersebut

boleh dilakukan dengan lebih mudah melalui tempahan secara online di talian rasmi pusat peranginan i-Percutian.

Pengunjung boleh melakukan tempahan dengan lebih mudah, laju dan cekap sama ada untuk penginapan semalaman mahupun trip pelancongan.

Dengan i-Percutian anda boleh memenuhi kehendak dan keperluan mengikut perancangan kewangan serta membenarkan pengunjung melihat kadar harga terbaik.

Pengunjung hanya perlu memilih tarikh daftar masuk untuk hotel dan bilik. Terdapat pelbagai pilihan penginapan hotel yang disediakan dalam talian termasuk rangkaian Awana Resort bagi memenuhi keperluan saiz dan bajet kumpulan anda.

Jika anda merancang untuk bercuti bersama keluarga, Resort World Genting merupakan pilihan yang ideal dengan kemudahan bilik mewah yang selesa di Hotel Theme Park.

Antara pilihan alternatif lain, anda juga boleh memilih untuk mendaftar masuk ke Hotel First World yang menyediakan kemudahan pusat membeli-belah dan pusat hiburan.

Selepas menempah bilik, anda boleh menambahkan pilihan menyaksikan konsert ataupun pertunjukan seperti silap mata, tarian dan pelbagai jenis hiburan yang menyeronokkan di Genting Theme Park.

Di masa akan datang, lebih banyak tempahan boleh dilakukan secara online untuk memudahkan pengunjung merancang, menempah dan membuat pembayaran sebelum percutian.

Selain itu, pelanggan-pelanggan bakal dibawa ke hadapan melalui perkhidmatan mesra pengguna bercirikan berbilang bahasa.

Oleh itu, rancanglah percutian anda melalui i-Percutian untuk menikmati kadar terbaik yang ditawarkan untuk bilik, tiket pertunjukan dan taman tema.

Sila layari laman web Resorts World Genting pada www.rwgenting.com dan klik pada i-Percutian untuk sebarang pertanyaan.

Kelab Med


ARKIB : 06/11/2010

Riang bersama anak


Destinasi percutian yang dipenuhi dengan aktiviti kekeluargaan.

PERCUTIAN di Club Med sememangnya destinasi yang diimpikan oleh setiap keluarga. Kerana ini peluang menikmati keindahan resort tepi pantai yang menjanjikan seribu satu ketenangan.

Terpisah jauh di celah-celah hutan rimba, resort rangkaian percutian terkemuka Perancis di Pantai Cherating, Pahang itu menawarkan keistimewaan yang sama untuk setiap tetamu kecilnya.

Di Club Med, percutian ibu bapa yang membawa anak-anak diberikan jaminan peribadi sama seperti percutian bulan madu melalui khidmat penjagaan mengikut kanak-kanak.

Dibahagikan mengikut usia, Petit Club disediakan untuk yang berusia dua hingga tiga tahun, Mini Club Med untuk empat hingga 10 tahun manakala Club Med Passworld untuk remaja.

Bagi kanak-kanak, setibanya di Club Med, pengalaman yang menanti cukup mengasyikkan. Bukan sahaja berpeluang untuk bersuai kenal dengan kawan-kawan baru yang datang dari seluruh dunia malah mengikuti pelbagai aktiviti yang diatur dengan baik.

Permainan imaginasi di kolam renang, bergayut di buai trapez atau meloncat setinggi zirafah tanpa rasa takut adalah antara aktivitnya. Semua aktiviti dikendalikan di bawah pengawasan kakitangan Club Med berpengalaman yang dikenali dengan gelaran mesra G.O (Gracious Organisers).

Bagi yang mempunyai bayi berusia 23 bulan ke bawah, resort menyediakan kemudahan penjagaan bayi seperti katil anak dan alat memanaskan makanan untuk memastikan mereka juga menikmati percutian yang selesa.

Ia merupakan sebahagian daripada konsep all-inclusive yang bermaksud tiada kos tambahan atau tersembunyi dikenakan untuk makanan, minuman, aktiviti dan hiburan. Dengan kelebihan itu, percutian mampu dinikmati sepuas-puasnya tanpa kerisauan pada caj tambahan.

Tidak cukup dengan konsep all-inclusive, percutian di Club Med kini bertambah bernilai kerana kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun berpeluang untuk bercuti bersama ibu bapa secara percuma melalui promosi Free Kids Stay!.

Tawaran istimewa itu kini boleh dinikmati dengan membuat tempahan sehingga 30 November di Club Med Cherating atau di Pulau Bintan, Bali dan Phuket.

Promosi minimum empat hari tiga malam bersama seorang kanak-kanak bagi setiap tempahan dewasa itu bermula 1 November hingga 30 April 2011.Peluang percutian di Club Med yang memberikan penjimatan untuk ahli keluarga itu boleh diperoleh dari laman www.clubmed.com.my atau hubungi 03-2161 4599.

Inap Desa Kena Daftar

49 inap desa tidak sah

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 7 Nov. – Sebanyak 49 inap desa di Pahang didapati beroperasi secara tidak sah apabila tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idros Yahya berkata, pengusaha terbabit didapati menggunakan istilah inap desa terhadap rumah sewa milik mereka.

‘‘Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pelancong kerana inap desa di bawah Kementerian Pelancongan adalah konsep yang berbeza dengan rumah sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Pelancongan Desa peringkat negeri yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Shohaimi Md. Shah dan Pengerusi Inap Desa Sungai Lembing, Zulkefli Talib.

Menurut Idros, setiap rumah yang berdaftar untuk dijadikan inap desa akan mempunyai logo yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan dan diletakkan di hadapan premis tersebut.

‘‘Selain itu, beberapa kriteria perlu diambil kira termasuk kemudahan bilik yang disediakan, dapur dan tandas yang sentiasa berkeadaan bersih serta aktiviti setempat di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, tegas beliau, mana-mana pihak yang berhasrat mengusahakan inap desa perlu menjalani kursus asas pelancongan yang dianjurkan pihak kementerian.

Sehingga kini katanya, terdapat 12 inap desa berdaftar di negeri ini yang menerima kira-kira 11,000 pelancong sejak Januari hingga sehingga Ogos tahun ini.

Katanya, inap desa bertujuan memberi pendedahan kepada pelancong luar mengenai cara hidup masyarakat tempatan menerusi pengalaman tinggal bersama keluarga pengusaha rumah terbabit.

“Para pelancong berpeluang berinteraksi dan menyelami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Abdul Manan ketika ditemui berkata, terdapat banyak lokasi menarik di Pahang untuk dikunjungi termasuk Sungai Lembing yang terkenal dengan bekas lombong bijih timah terbesar di dunia, Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama dan Muzium Sejarah.

Menurutnya, setiap pengusaha inap desa perlu sentiasa memikirkan cara untuk menarik pelancong berkunjung ke kawasan mereka menerusi pelbagai program yang dirancang.

‘‘Dengan cara itu, pelancong akan kembali semula ke kawasan tersebut dan dapat meningkatkan taraf ekonomi pengusaha inap desa sekali gus memperkenalkan budaya serta cara hidup kita kepada orang luar,” katanya.

Terowong Terpanjang


Terowong kereta api terpanjang Asia

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Jalur Gemilang dikibarkan selepas berjaya meletupkan batu bagi penembusan Terowong Berkembar Berapit di Padang Rengas, baru-baru ini.

PADANG RENGAS 7 Nov. - Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.4 bilion mempunyai banyak binaan infrastruktur yang akan menjadi mercu tanda utama kepada projek tersebut.

Salah satu mercu tanda hebat dalam PLBE adalah Terowong Berkembar Berapit (TBB) di sini, yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara dengan jarak 3.3 kilometer.

Terowong berkembar ini mempunyai ketinggian dan kelebaran sembilan meter.

Pembinaan terowong tersebut bermula pada 4 Oktober 2009 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2011.

Pengarah Projek PLBE Ipoh-Padang Besar, Yeoh Hin Kok berkata, kerja-kerja pembangunan TBB kini siap sebanyak 70 peratus.

''Baki 30 peratus tersebut melibatkan 15 peratus kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan 15 peratus pemasangan sistem di dalam terowong," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurut Hin Kok, pembinaan TBB menggunakan tiga kaedah iaitu gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit; potong dan tutup di kawasan terbuka dan kerja-kerja mengorek di bawah Lebuh Raya Utara-Selatan.

Katanya, kerja-kerja tersebut dibuat secara cermat sehingga pengguna lebuh raya tersebut tidak merasai gegaran letupan dan gerudi.

''TBB dibina menggunakan konsep 'bor' berkembar dengan satu landasan setiap satu. Sebanyak sembilan laluan menyeberang antara terowong kanan dan kiri turut dibina bagi tujuan keselamatan jika berlaku kejadian tidak diingini.

''Pembinaan terowong ini juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrastruktur yang bertaraf dunia," tambahnya.

Beliau juga memberitahu, TBB dibina untuk membolehkan kereta api memecut pada kelajuan 260 kilometer sejam.

Projek PLBE Ipoh ke Padang Besar yang dikendalikan kontraktor utama, MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV) merupakan projek terbesar yang dilaksanakan negara ketika ini.

Selain TBB, satu lagi mercu tanda dalam PLBE Ipoh-Padang Besar adalah jejambat marin di Bukit Merah yang kini siap sebanyak 95 peratus.

Jejambat sepanjang 3.5 kilometer itu dibina merentasi Tasik Bukit Merah yang pastinya bakal menjanjikan pemandangan menarik kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila ia mula digunakan kelak.