Sunday, December 5, 2010

Jerai


Kedamaian di Regency, Gunung Jerai

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my

Pemandangan indah waktu senja bakal memukau setiap pengunjung.

DAHULU Pulau Serai (nama asal Gunung Jerai) terkenal sebagai penanda arah buat pelayar-pelayar yang singgah berdagang di negeri Kedah. Tetapi kini ia lebih sinonim sebagai salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi itu.

Keagungan sejarah Gunung Jerai dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung dan legenda batu kapal kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa.

Gunung yang memiliki ketinggian 1,217 meter (3,993 kaki) dari paras laut dan terletak di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan itu sentiasa mendapat kunjungan daripada para pengembara dan pencinta alam yang ingin menerokainya tidak kira pada hari biasa atau cuti umum.

Gunung tertinggi di Kedah itu juga menyediakan kemudahan penginapan iaitu Resort Regency yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni.

Buat mereka yang ingin berkunjung ke resort tersebut hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer (km) dari kaki gunung ke puncak. Pengunjung tidak perlu mendaki kerana jalan menuju ke puncak itu boleh dilalui menggunakan kenderaan.

Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau.

Pemandangan indah di sekeliling lokasi resort berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.

Antara keistimewaan yang terdapat di resort tersebut ialah pelbagai aktiviti merentasi hutan bagi pencinta alam.

Kawasan ini juga memang tersedia dengan aset pelancongan sejarah termasuklah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, pusat peranginan Batu Pahat, Sungai Titi Hayun, Sungai Merbok yang kaya dengan hutan pokok bakau dan yang terbaru adalah penemuan batu-batu karang yang cantik di Pulau Songsong.

Malah di sekitar kawasan itu juga terdapat kesan-kesan sejarah pra-Islam iaitu Nabagraha (Gunung Jerai Tapak 9) seperti gelang granit yang dipercayai digunakan sebagai pengikat tiang bendera rumah api yang berfungsi sebagai mercu tanda buat pelayar.

Resort Regency juga menawarkan hidangan masakan pelbagai juadah yang enak termasuk masakan tradisional masyarakat setempat yang memikat hati.

Lokasi biliknya yang selesa bertemankan bunyi unggas sebagai halwa telinga sungguh mengasyikkan dan yang paling menariknya ialah apabila pengunjung datang ke sana, anda boleh merasakan kedamaian yang dipenuhi dengan suasana menyenangkan.

Pengurus resort, Jasni Mohd. Supandi berkata, resort ini mula beroperasi sejak September 2009 dengan keluasan lebih lima ekar.

“Di Regency Gunung Jerai, kami menyediakan 77 buah bilik biasa, 12 bilik duluxe dan satu bilik suite buat pengunjung dari harga serendah RM130 hingga RM500.

“Selain bilik tidur, resort ini juga menyediakan kemudahan rekreasi seperti gelanggang futsal, bola keranjang, badminton, pelbagai permainan indoor, bilik mesyuarat, surau dan ladang orkid mini. Antara aktiviti yang sesuai di jalankan di resort ini seperti aktiviti merentasi hutan dan kem bina semangat,” jelasnya.

Saturday, December 4, 2010

Bandar Ayam Kampung


Maran 'Bandar Ayam Kampung'

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

PAPAN tanda mempromosikan Maran Bandar Ayam Kampung disimpang masuk ke bandar berkenaan.

MARAN 3 Dis. - Pelbagai strategi dan pendekatan pragmatik dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan sesebuah bandar itu maju, dikunjungi dan menjadi sebutan ramai.

Antara pendekatan yang diambil adalah dengan melabelkan sesebuah bandar itu dengan nama tertentu berdasarkan keistimewaan yang terdapat di kawasan berkenaan dan seterusnya dijadikan identiti.

Sebagai contoh, bandar Temerloh amat sinonim dengan panggilan 'Bandar Ikan Patin.'

Penggemar dari seluruh negara akan berkunjung ke Temerloh hanya kerana mahu menjamu selera gulai ikan patin masak tempoyak di restoran dan kedai makan yang terkenal di daerah itu.

Memandangkan pendekatan itu amat berkesan untuk menarik lebih ramai pelancong sekali gus menjana pendapatan penduduk tempatan, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menamakan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung.'

Idea tersebut dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak selepas menyedari potensi bandar itu mampu menjadi tumpuan pelancong domestik dan asing.

Usaha tersebut bertujuan membantu penduduk menjana pendapatan melalui perniagaan restoran atau kedai makan dan golongan penternak ayam kampung di daerah ini.

Sejak dua tahun lalu, bandar ini mula diperkenalkan sebagai 'Bandar Ayam Kampung' dan ia diterima secara sepenuhnya oleh penduduk dan pengunjung yang menyokong idea bernas pemimpin kerajaan negeri itu.

Bagi pengunjung luar yang berkunjung ke bandar ini, mereka akan disambut menerusi satu papan tanda 'Maran Bandar Ayam Kampung' berhampiran lampu isyarat jalan masuk ke Maran sebagai kata-kata aluan.

Menurutnya, strategi mewujudkan 'Bandar Ayam Kampung' bertujuan menggalakkan pengguna lebih kerap datang ke Maran menikmati masakan ayam kampung sekali gus dapat menjana pendapatan penduduk.

Kerajaan negeri jelasnya, mahu imej 'Maran Bandar Ayam Kampung' terus melekat di hati pengguna sebagaimana Temerloh yang sinonim dengan panggilan 'Bandar Ikan Patin.'

''Ada penggemar dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya datang ke Temerloh hanya semata-mata mengidamkan masakan enak gulai ikan patin masak tempoyak," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Tan Mohd. Aminuddin, usaha mempromosi Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' pada 2008 dilihat tidak menepati hasrat yang dikehendaki berikutan sambutan dingin daripada pengusaha restoran dan kedai makan di sini.

Berikutan itu, tegasnya, kerajaan negeri melancarkan promosi bagi fasa kedua untuk memastikan hasrat kerajaan negeri tercapai.

Kerajaan negeri katanya, dengan sokongan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian amat komited untuk menjadikan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' kerana bandar ini memiliki kedudukan geografi yang strategik untuk dikunjungi.

Tegasnya, kerajaan negeri membina asas kukuh untuk merealisasikan hasrat itu tetapi golongan pengusaha restoran dan kedai makan perlu memberikan kerjasama penuh dengan mempertingkatkan promosi masing-masing.

''Kita mahu pengusaha kedai makan bandar ini menghidangkan menu istimewa yang berlainan dengan bandar-bandar lain di negeri ini untuk tarikan pengunjung.

''Kedatangan ramai pengunjung domestik sangat penting kerana kuasa beli mereka berbelanja dan menjamu selera di bandar Maran membantu merancakkan sektor ekonomi di sini.

''Pengusaha restoran dan peniaga kedai makan perlu proaktif mengadakan promosi menu ayam kampung tanpa mengharapkan agensi kerajaan semata-mata,'' katanya.

Sejak memperkenalkan 'Maran Bandar Ayam Kampung,' jelas Tan Mohd. Aminuddin, orang ramai termasuk dari luar daerah itu sangat ghairah berkunjung ke sini untuk menikmati pelbagai resipi masakan ayam kampung.

Katanya, kecenderungan dan minat pengunjung itu perlu dieksploitasi dengan sebaiknya supaya mereka terus berkunjung ke bandar itu untuk menjamu selera masakan ayam kampung.

Namun, beliau kecewa apabila ada pengusaha makanan di bandar itu tidak menyediakan menu masakan ayam kampung sedangkan jolokan 'Bandar Ayam Kampung' telah terkenal di serata negeri.

''Jika ada pengusaha restoran tidak konsisten menyediakan menu masakan ayam kampung, ia akan menyebabkan imej tersebut semakin malap di kalangan pengunjung luar.

''Saya ada menerima aduan daripada penggemar bahawa ada restoran atau kedai makan di sini tidak menyediakan masakan menu masakan ayam kampung sedangkan imej Bandar Ayam Kampung sudah dikenali,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia sempena Program Juara Rakyat mempromosi masakan ayam kampung fasa kedua dan jualan hasil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi tempatan terkenal, Jaafar Onn, Rohana Jalil dan Maya.

Tegas Tan Mohd. Aminuddin, dengan jolokan 'Bandar Ayam Kampung,' pengusaha restoran dan kedai makan di sini perlu merebut peluang itu untuk menyediakan menu tersebut.

Dalam pada itu, jelasnya, pengusaha kedai makan harus menjalin hubungan erat dengan pembekal atau penternak ayam kampung supaya bekalan dapat diperolehi setiap hari demi memenuhi selera pelanggan.

''Jika sesebuah restoran atau kedai makan gagal menyediakan masakan ayam kampung, ia menyebabkan pelanggan akan tawar hati untuk datang lagi.

''Keadaan lebih buruk lagi apabila pelanggan luar mempromosi keburukan bandar ayam kampung di sini,'' ujarnya.

Jika keadaan sedemikian berlaku, tegasnya, peniaga adalah golongan paling rugi kerana pelanggan akan 'lari' ke premis lain yang lebih bijak menjalankan promosi untuk melariskan produk perniagaan mereka.

Tambah beliau, ayam kampung boleh dipelbagaikan masakan seperti masak sup, ayam percik tempoyak, paprik ayam kampung, rendang kuning dan hitam ayam kampung dan rendang.

''Promosi 'Maran Bandar Ayam Kampung' fasa kedua ini diharap menjadi pemangkin kepada peniaga dan pembekal untuk meningkatkan usaha bagi mengukuhkan lagi kedudukan sebagai bandar yang menyediakan menu ayam kampung,'' katanya.

Peniaga restoran dan kedai makan juga kata Tan Mohd. Aminuddin, perlu kreatif dan inovatif bagi menarik perhatian pengunjung dan pelancong.

Monday, November 29, 2010

Lanjan


Nuansa Tropika Subak

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ZAKARIA IDRIS


KELEBIHAN berada di pinggir rimba Bukit Lanjan digunakan sepenuhnya untuk mencipta kelainan suasana di Restoran Subak. Pepohon tropika yang merendang ditambah deruan air terjun buatan ternyata mendamaikan jiwa.

Subak bermaksud sistem pengairan yang digunakan untuk mengairi kawasan sawah padi lereng bukit di Bali suatu ketika dulu. Diilham daripada konsep itu, Restoran Subak menjanjikan ketenangan seakan berada di tengah rimba yang jauh dari kesesakan kota.

Pemiliknya, Salleh Lamsah berkata, lokasi restoran di lereng bukit dikelilingi tumbuhan semula jadi memberi kelebihan kepada beliau untuk menyediakan satu premis lain daripada yang lain.

“Kebanyakan pokok di sini merupakan tumbuhan asal yang saya kekalkan. Kemudian ditambah sedikit demi sedikit dan diberi perincian untuk menghasilkan sebuah kawasan yang semula jadi,” katanya.

Mata air dari anak Sungai Penchala yang menuruni lereng bukit itu digunakan sepenuhnya pemilik untuk mencipta air terjun buatan yang mengubah suasana.

Batu-batu sungai disusun rapi, daripada aliran air yang kecil berubah menjadi sebuah air terjun yang mendamaikan. Mengalir air jernih ke dalam kolam buatan.

Jambatan kayu melintasi kolam menyerlah suasana. Tumbuhan menjalar dibiarkan bebas ‘menakluk’ hingga ke atap restoran, mencipta satu landskap semula jadi paling indah.

Bumbung dan kayu bangunan utama diambil daripada kayu lama, menjadikan ia kelihatan rustik namun tidka meminggirkan elemen moden.

Selain pokok-pokok hutan yang dikekalkan, pemilik memilih untuk menanam helicornia sebagai penyeri dan juga penghadang dari satu kawasan ke satu kawasan. Pemilihan pokok buluh dan lili kuning di pintu masuk utama menambah nilai landskap. Pokok pisang hutan yang tumbuh meliar turut dikekalkan. Beberapa pokok paku langsuir dan orkid hutan digantung untuk mencipta suasana lebih semula jadi.

Pelantar kayu mengelilingi bangunan utama menjadi tapak ruang makan utama. Begitu juga dengan gazebo panjang di lereng bukit, bak anjung rumah Melayu tradisional yang berkonsep terbuka.

Restoran Subak mampu menempatkan hingga 200 pengunjung dalam satu masa, sesuai untuk majlis kecil dan juga sederhana.

Tg Pagar


Dari Tanjong Pagar ke Wakaf Bharu

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

Keramahan Ng Yen Yen pada hari pelancaran kempen Pelancongan Kereta Api Malaysia memikat hati peserta untuk lebih mengenali negara ini.

JIKA tahun lalu hanya kira-kira 12,000 pelancong dari Singapura masuk ke negara ini jumlah itu kini meningkat secara mendadak apabila mencapai angka lebih 16,000 dalam tempoh cuma tujuh bulan pertama tahun ini.

Justeru tidak hairanlah mengapa Kementerian Pelancongan tanpa ragu mengambil langkah melancarkan kempen Pelancongan Kereta Api Malaysia di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, Singapura, awal bulan lalu.

Diberi peluang mengikuti pelancaran yang turut disertai bintang filem antarabangsa kelahiran Ipoh, Datuk Michelle Yeoh, penulis tertanya-tanya mengapa Singapura menjadi sasaran? Apakah keunikan Malaysia di mata rakyatnya.

Persoalan itu terus bermain di fikiran sebaik sahaja Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen mengucapkan selamat datang dan selamat merasai kehidupan sebenar kampung Melayu di negara ini kepada 103 pelancong Singapura pertama yang mengikuti kempen itu ke Kelantan.

Namun sebaik kereta api 16 gerabak itu bergerak meninggalkan stesen bersejarah tersebut kira-kira pukul 6.15 petang, persoalan mula terjawab. Belum pun sempat sampai ke Stesen Woodlands (pengesahan pasport), sebahagian pelancong sudah mula ke hulu ke hilir seakan cuba mengenali apa itu sebuah kereta api.

“Ini kali pertama dan saya percaya ramai lagi kawan saya yang belum pernah menaiki kereta api,” kata salah seorang peserta.

Sebaik tiba di Wakaf Bharu, Kelantan keesokan paginya, kami disajikan dengan tarian tradisional sebagai santapan mata. Nasi dagang berlaukkan kari telur, ikan dan ayam pula dihidang sebagai menu untuk bersarapan.

Mulanya, ada juga yang agak sangsi melihat nasi berwarna merah dan sedikit melekit itu.

Namun, sebaik menjamah ada di antara mereka yang terus bangun dari kerusi untuk menambah. Selesai semuanya, kami dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk ditempatkan di tiga inap desa berbeza.

Penulis bersama beberapa rakan media dan lebih 30 pelancong ditempatkan di Homestay Kubang Telaga, Bachok sementara dua kumpulan lagi tinggal di Homestay Seterpa dan Homestay Pantai Suri.

Sebaik tiba, kami diberi sambutan penuh beradat lengkap dengan persembahan silat dan paluan gendangnya. Kanak-kanak pula ceria bermain ‘kaki hantu’ mengiringi ketibaan kami, sekali gus mengagumkan para pelancong dengan kemahiran mereka menapak menggunakan dua batang kayu tanpa berpijak ke tanah.

Keesokan harinya aktiviti bermula dengan menoreh getah, selepas itu kami dibawa ke dusun rambutan dan dokong sebelum berpeluang menjala ikan dan merasai pengalaman berada di tengah bendang. Tidak ketinggalan, peserta dipertontonkan dengan kemahiran beruk terlatih bernama ‘Lah’ memetik kelapa yang dimahukan tuannya.

Berbalik kepada kesangsian penulis terhadap langkah kerajaan menyasarkan program ini kepada pelancong Singapura, aktiviti pada hari kedua memberi jawapan sepenuhnya.

Tidak lengkap jika ke Kelantan tanpa melihat sendiri bagaimana gasing uri dibuat dan dimainkan. Kami juga dipertontonkan dengan demonstrasi membuat baulu serta keris berusia ratusan tahun yang berharga puluhan ribu ringgit.

Sebelah malamnya menjadi pengalaman paling menarik buat para peserta. Para media bersama kakitangan pelancongan berganding-bahu mengadakan persandingan olok-olok untuk tatapan pelancong Singapura. Biar pun cuma olok-olok, suasananya cukup meriah. Segalanya seakan benar-benar terjadi. Siap dengan hantarannya, adat merenjis serta membawa hantaran.

Bagi pengurus sebuah agensi kerajaan di Singapura, Dr. Lee Teck Kiong, 39, perkara yang paling menarik hatinya adalah keikhlasan serta ketulusan yang disifatkannya ‘asli’ dalam hati penduduk kampung tersebut.

“Aktiviti paling menarik bagi kami adalah merasai suasana perkahwinan tradisional Melayu,” katanya yang hadir bersama isteri dan dua anaknya.

Bagi guru, Ainon Mohamad, 55, pengalaman berada di kampung selama tiga hari itu cukup indah.

“Segalanya cukup mengujakan. Kemesraan dapat dirasakan bersama keluarga angkat disebabkan keramahan mereka di sini.

“Saya juga tidak akan melupakan pengalaman menaiki kereta api buat pertama kali. Perjalanan selama 14 jam bagaikan tidak terasa dan sebenarnya cukup selesa,’’ jelasnya.

Beliau yang mengikuti program bersama suaminya turut mengakui betapa pengalaman berada di kampung membolehkannya merasai makanan Melayu asli yang sudah lama tidak dijamah bahkan ada di antaranya yang belum pernah dilihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang menguruskan program berkenaan, RM Travel & Tours Sdn. Bhd., Khadijah Abdul Rahman yakin produk pelancongan inap desa mempunyai masa depan yang cerah.

Keyakinan itu katanya hadir daripada pengalaman sendiri sebelum ini yang banyak membawa pelancong luar dari Belanda, Perancis, Jepun dan Korea mengikuti program-program Homestay.

“Kebanyakan maklum balas yang diterima amat baik. Lazimnya, keindahan kampung serta keramahan masyarakat desa adalah dua perkara yang amat dipuji masyarakat luar.

“Ramai di antara mereka mengakui hadir ke sini bukan untuk melihat bangunan pencakar langit atau membeli-belah.

“Tetapi mereka ke sini untuk merasai keunikan budaya, kesenian serta keindahan alam semula jadi yang hanya terdapat di kampung,” jelasnya.

Pakej yang ditawarkan bagi mengikuti program tersebut berharga di antara SG$215 (RM505) hingga SG$435 (RM1,022) termasuk kemudahan tidur dalam kereta api, makan minum di inap desa, koc hiburan yang mempunyai set karaoke untuk penumpang lebih 40 orang serta pertunjukan kesenian dan kebudayaan.

Sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi Khadijah sendiri di talian 019-5651121 atau pejabat RM Travel, 03-9131 8565 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Zoo Bagan Serai



Terhibur melihat telatah haiwan

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

Monyet-monyet kecil yang jinak akan mengambil makanan yang diberi oleh pengunjung tanpa rasa terancam.

BAGAN SERAI 28 Nov. – Melangkah sahaja ke Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort, pengunjung yang bernasib baik pasti disambut dengan bunyi suara ungka yang bersahut-sahutan.

Meneroka di dalamnya, kita akan dapati ungka berwarna kelabu kekuningan, bersuara nyaring ini tidaklah ‘seganas’ seperti yang disangka.

Malah, hati pasti terhibur melihat telatah haiwan ini yang seolah-olah tidak jemu-jemu untuk menghiburkan setiap pengunjung.

Digelar ‘ungka tangan putih’, mamalia ini merupakan antara lebih 30 spesies haiwan yang terdapat di Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort.

Hakikatnya, taman haiwan seluas kira-kira 1.2 hektar yang dibuka pada 5 September 1999 yang mempunyai tiga taman besar ini, menjadi tempat tinggal untuk pelbagai jenis hidupan berasal dari dalam dan luar negara.

Berkonsepkan mesra alam, taman-taman di sini direkabentuk menyerupai habitat asal haiwan-haiwan tersebut.

Dengan berjalan di atas pelantar yang ditinggikan, para pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan di atas kanopi pokok dengan begitu jelas.

Lebih menarik, pengunjung boleh berinteraksi dengan sesetengah haiwan jinak yang telah dilatih untuk ‘bermesra’ dengan manusia.

Bagi menjalin hubungan ‘mesra’ ini, di pintu masuk taman eko, pengunjung boleh membeli makanan haiwan pada harga yang berpatutan.

Taman pertama akan dilalui adalah Nature Trail atau jejak alam yang juga merupakan taman terbesar terdapat di sini.

Di dalam Nature Trail, pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai spesies ikan seperti koi, kalui, patin, rohu dan keli Afrika.

Selain itu, terdapat ikan arapaima atau lebih dikenali sebagai ikan naga sepanjang 2.4 meter dan ikan muncung buaya.

Di taman ini pengunjung boleh memberi makan kepada rusa jinak selain burung-burung merak yang memukau mata memandang.

Jika bernasib baik, kita dapat melihat burung merak jantan mengembangkan ekornya yang cantik untuk menarik perhatian merak betina.

Jangan terlepas peluang bergambar bersama monyet tupai kerana monyet-monyet kecil berasal dari Amerika Selatan ini sangat jinak dan comel.

Tanpa rasa terancam, monyet-monyet ini akan melompat ke bahu para pengunjung yang membawa makanan sambil mempamerkan aksi-aksi spontan.

Di antara Nature Trail dan Laluan Tropika terdapat kawasan binturong, spesies musang terbesar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara.

Haiwan ini aktif pada waktu malam tetapi jika ‘dipaksa’, dengan gaya malas, ia tetap mengambil makanan yang dihulurkan pengunjung.

Laluan Tropika adalah taman kedua terbesar di taman eko. Di sini pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat telatah ungka tangan putih.

Difahamkan, bunyi yang dikeluarkan haiwan ini boleh didengari sehingga dua kilometer jauhnya.


Pengunjung juga boleh menyaksikan para petugas memberi makanan kepada haiwan.

Tidak dinafikan, tarikan di taman eko ini juga ialah pengunjung dapat menyaksikan sendiri sesi memberi makan memerang kecil oleh kakitangan yang bertugas iaitu pada setiap pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang.

Dua spesies monyet capuchin yang aktif pada waktu malam terdapat di taman mesra alam ini ialah sugar glider dan kong kang.

Jika pengunjung melawat pada waktu siang, haiwan-haiwan ini akan tidur sahaja. Untuk melihatnya bergerak, pengunjung boleh melawat taman eko pada waktu malam dengan mengikuti program The Hoot atau kembara malam.

Sementara itu, di Taman Reptilia, pengunjung akan disambut oleh iguana yang dibenarkan bergerak bebas di dalam taman ini.

Pengunjung turut dapat melihat buaya tembaga, ular sawa batik gergasi, ular tedung selar, ular tedung senduk, ular kapak dan banyak lagi.

Selain haiwan reptilia, terdapat juga burung helang merah di sini.

Khas untuk kanak-kanak, mereka bukan sekadar boleh berinteraksi malah mempelajari mengenai haiwan-haiwan jinak di taman haiwan peliharaan.

Antara haiwan yang akan ‘melayan’ kanak-kanak di sini termasuklah arnab, tikus, tikus belanda, kambing biri-biri dan lain-lain lagi.

Kanak-kanak digalakkan untuk menyentuh dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ini bagi melahirkan sifat kasih sayang terhadap binatang.

Jangan ketinggalan menyaksikan pertunjukan haiwan setiap hari pada pukul 11.00 pagi, 12.30 tengah hari, 2.30 petang dan 4.30 petang.

Pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai aksi dan ragam burung-burung kakak tua seperti menaiki basikal, mengira dan bermain bola.

Pada penghujung pertunjukan, pengunjung boleh bergambar dengan burung-burung ini dengan bayaran hanya RM1 setiap seorang.

Program The Hoot atau kembara malam pula akan diadakan pada hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Ia bermula pukul 9.30 malam dengan pelayaran selama setengah jam di tasik Bukit Merah sebelum memasuki taman eko pertama di Malaysia ini.

Pengunjung akan dibawa berjalan dalam gelap oleh renjer bertugas dengan hanya berpandukan kepada bantuan lampu suluh dan cahaya bulan.

Bagi menyerlahkan daya tarikan taman eko ini, usaha sedang giat dijalankan untuk menambah kawasan pameran beruang, buaya dan rusa.

Kawasan pameran baru dijangka siap pada pertengahan Disember ini.

Taman eko tentunya menjanjikan pengalaman berpendidikan dan menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak.

Selain Taman Eko, Bukit Merah Laketown Resort juga mempunyai tarikan-tarikan lain seperti Pulau Orang Utan dan Taman Tema Air.

Wednesday, November 17, 2010

Beriadah


Beriadah di Putrajaya

Oleh HASHNAN ABDULLAH
Gambar ZAKI AMIRUDDIN

BerkayaK merupakan antara aktiviti yang mendapat sambutan di Tasik Putrajaya.

TASIK Putrajaya mempunyai keluasan kira-kira 400 hekter dan dibina dengan melimpahkan lembah Sungai Chuau serta Sungai Bisa.

Di tengah-tengah tasik itu dibina sebuah pulau buatan manusia yang menempatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan, termasuklah Masjid Al-Mizan (Masjid Besi) dan Istana Keadilan.

Tasik itu juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk menikmati hampir keseluruhan kawasan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu dengan belayar bersama Cruise Tasik yang beroperasi bersebelahan Masjid Putra.

Namun begitu, pihak Perbadanan Putrajaya mahu menjadikan Tasik Putrajaya itu lebih mesra orang ramai, termasuk di kalangan komuniti yang tinggal di Putrajaya itu sendiri.

''Kita mahu memberi banyak pilihan kepada orang ramai yang datang ke Putrajaya untuk menikmati keindahan panorama tasik dan seni reka bentuk bangunan kerajaan, rumah dan kawasan komersial yang ada.

''Tetapi dalam masa yang sama, kami juga mahu orang ramai memahami kenapa kita perlu menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang," kata Presidennya, Tan Sri Samsudin Osman yang ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Atas sebab itulah, Samsudin berkata, pihak perbadanan membina laluan pesisiran di sepanjang Tasik Putrajaya itu.

''Laluan itu meliputi sejauh lebih kurang 40 kilometer (km) dan ia merangkumi keseluruhan pulau buatan manusia itu iaitu kira-kira 12 km.

''Tanah besar pula, ia merangkumi dari Taman Wetland hingga ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang terletak di selatan Putrajaya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah, walaupun laluan pesisiran tasik itu adalah kawasan awam tetapi ada beberapa kawasan laluannya yang dianggap sebagai kawasan keselamatan utama.

''Maka laluan tersebut tidak disediakan sambungannya ke kawasan sedemikian," katanya ketika ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Samsudin berkata, tujuan laluan itu dibina adalah untuk rekreasi dan memudahkan orang ramai untuk akses ke Tasik Putrajaya.

Beliau berkata, ia juga untuk kerja-kerja penyelenggaraan tasik dan akses ke Gross Polutant Trap yang terdapat di kawasan berhampiran gigi air di sekeliling tasik.

''Tujuan pesisiran dibina pula adalah sebagai penampan dan penapis air larian permukaan ke Tasik Putrajaya," katanya.

Antara kaedah pengangkutan yang sesuai untuk melalui laluan pesisiran tasik itu adalah berbasikal sama ada berkumpulan atau individu.

Lebih-lebih lagi bagi kalangan mereka yang mahu menikmati kesegaran udara dan kehijauan tasik sambil beriadah bagi menyihatkan badan.

Ini kerana, berbasikal bukan hanya menjimat sumber alam tetapi amalan itu dapat menyumbang kepada kelestarian hidup manusia.

Berbanding dengan kenderaan bermotor yang mengeluarkan gas yang mencemar udara, basikal lebih mesra.

Ia juga menjimat kegunaan tanah kerana mengguna ruangan kecil berbanding dengan kenderaan bermotor.

Ditambah pula dengan laluannya yang tidak berbukit dan mempunyai lampu jalan bagi mereka yang gemar berbasikal pada waktu malam.

Tidak hairanlah, pihak Perbadanan Putrajaya telah mewujudkan wakaf di sepanjang laluan persisiran tasik itu sebagai tempat berteduh atau rehat.

Menurut Samsudin, sehingga kini terdapat 10 buah wakaf yang terdapat di sepanjang laluan itu sama ada di presint kediaman, pejabat kerajaan mahupun Taman Wetland.

''Kita tahu setiap hujung minggu dan malam minggu, ramai orang datang ke Putrajaya untuk berbasikal sama ada berkumpulan atau individu.

''Sebab itu, kita menyediakan ruang tempat letak kereta yang berhampiran dengan laluan persisiran tasik itu," katanya. Dalam masa sama, beliau menambah, pihaknya kini sedang menjalankan kajian bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan laluan itu kepada orang ramai.

''Kami mahu jadikan laluan persisiran itu sebagai destinasi utama bagi mereka yang gemar berbasikal," katanya.

Bukit Lagong


Tarikan terbaru di Bukit Lagong

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my

M. Adam bersama kambing gurun peliharaannya ‘Big Chief’ di Teratak Kuda Asli Forest Horse Riding Park, Batu Caves, Selangor.

NAMA Bukit Lagong mungkin tidak dikenali seperti Taman Hutan Lipur Kanching, Taman Rimba Komanwel dan Taman Rimba Templer Park di Selangor yang menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan alam rimba.

Namun kini tarikan destinasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Lumpur dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer itu semakin popular khususnya di kalangan peminat sukan berkuda.

Tarikan yang menanti pelawat di kawasan itu adalah Teratak Kuda Asli, Forest Horse Riding Park yang menempatkan kira-kira 30 ekor kuda daripada jenis baka Australia, New Zealand, India dan Argentina.

Mereka yang berminat tidak perlu pergi jauh untuk merasai pengalaman menaiki kuda atau mengambil lesen menunggang kuda kerana semua itu boleh dirasai di Bukit Lagong yang juga menempatkan sebuah perkampungan Orang Asli, Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Pusat Penternakan Arnab dan kolam memancing ikan.

Dengan bayaran RM5 untuk dua perjalanan (Joy Rider), anda dapat menunggang kuda sambil dibantu oleh penyelia atau jurulatih profesional yang akan mengajar seisi keluarga.

Manakala bagi yang ingin menjadi penunggang profesional bayaran berpatutan antara RM400 hingga RM800 dikenakan bagi setiap sepuluh sesi latihan yang dijalankan.

Bagaimanapun, kuda yang akan anda tunggang semua terlatih dan mempunyai pengalaman membantu anda menjadi penunggang profesional.

Tarikan terbaru itu merupakan idea dan usaha seorang peminat sukan kuda, M.Adam Waqif yang merupakan penduduk dan anak tempatan Selayang.

Adam yang merupakan peminat sukan berkuda berkata, dia pada mulanya hanya memiliki kira 10 ekor kuda sebagai hobi dan untuk tujuan latihan kecergasan kira-kira lima tahun lalu.

“Kemudian, saya terfikir dengan pengalaman dan memiliki kuda-kuda ini untuk membuka satu pusat latihan. Dari situ, bermulalah idea untuk menyediakan perkhidmatan ini.

“Pada mulanya, saya tidak mengenakan sebarang caj kerana sekadar menyediakan perkhidmatan tetap untuk anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

“Namun selepas ia menjadi satu tarikan dan permintaan daripada pengunjung di Bukit Lagong ini, saya buka kepada orang ramai dan mengenakan caj RM5 hingga RM10 untuk menunggang beberapa pusingan,” katanya.

Ayah kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia kini memiliki 30 ekor kuda terdiri dari jenis poni, padi dan kuda lumba dan bercadang untuk membeli beberapa ekor kuda lagi.

Adam berkata, kuda padi di sini lebih mudah untuk dijaga dan dikawal di dalam kandang selain lebih lasak berbanding kuda lumba.

Selain itu menurut Adam, sesi latihan untuk penunggang profesional bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari dan disambung dari 2 hingga 6 petang setiap hari bersama beberapa pembantunya.

Adam memberitahu, tahun lalu pengunjung di Bukit Lagong tidak ramai kerana tidak banyak tarikan.

Bagaimanapun katanya, pengunjung Bukit Lagong berkenaan semakin meningkat selepas perkhidmatan menunggang kuda diperkenalkan di sini.

“Sekarang, kita boleh lihat Bukit Lagong ini menjadi sesak dengan orang ramai pada waktu petang terutama semasa hujung minggu untuk mandi manda di sungai, menunggang kuda, dan memancing.

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat perkampungan Orang Asli, pusat penternakan arnab dan menyertai latihan kepimpinan di Pusat Belia Lagong.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti tunggangan kuda di Bukit Lagong boleh diperolehi dengan menghubungi Adam Waqif di talian 016-2744408, 012-3394177 atau datang ke Teratak Kuda Asli, Jalan Hutan Lipur Bukit Lagong 68100 Batu Caves, Rawang, Selangor.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: