Thursday, November 3, 2011

zoo taiping 2

Terpesona lihat gelagat haiwan


Gelagat memerang pastinya menarik untuk dirakamkan dengan lensa kamera.


TAIPING 2 Nov. – Menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai kepada Utusan Malaysia mengenai pengalaman mereka melawat Zoo Taiping dan Night Safari di sini baru-baru ini.
Kebanyakan mereka mengatakan, walaupun bukan kali pertama mengunjungi zoo, pengalaman berkunjung ke Zoo Taiping nyata berbeza.
Seorang pengunjung, Arizalina Ibrahim, 34, berkata, keadaan persekitaran yang redup menyebabkan mereka sekeluarga selesa untuk menjelajah ke seluruh kawasan zoo tersebut.
‘‘Ini kunjungan pertama saya ke sini dan saya cukup seronok untuk membawa anak-anak ke Night Safari bagi merasai sendiri pengalaman berjalan dengan ditemani hidupan liar yang aktif pada waktu malam.
‘‘Ini bukan sahaja pengalaman yang menyeronokkan tetapi memberikan pengetahuan kepada anak-anak saya mengenai spesies haiwan yang ada di dalam zoo ini, '' kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Mohd. Shahrir Harun, 25, yang juga baru pertama kali berkunjung ke zoo itu, berkata, tempat tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah kepada pelbagai lapisan usia.
Katanya, penerangan yang diletakkan pada setiap pagar haiwan membolehkan pengunjung mengetahui lebih mendalam mengenai sesuatu habitat.
‘‘Kunjungan ke zoo ini adalah lawatan sambil belajar. Kalau ada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara, ia pasti lebih meriah,” katanya.
Bagi seorang pelajar sekolah, Amar Asyraf Azhar, 7, pula, setiap kali berkunjung ke zoo, dia tidak akan melepaskan peluang untuk melihat reptilia seperti ular dan buaya.
‘‘Saya suka lihat ular dan buaya. Paling seronok apabila saya dapat memegang ular. Selain tengok haiwan, saya dapat ilmu dengan membaca penerangan yang tertera di setiap pagar haiwan,” katanya.

zoo taiping

Zoo Taiping gamit pengunjung


Seekor buaya menyambar makanan antara gelagat haiwan yang boleh dilihat di zoo berkenaan.


TAIPING 2 Nov. - Jika ditanya tentang Taman Mergastua Sultan Idris Shah, pasti ramai yang menggelengkan kepala dan tidak tahu di manakah letaknya tempat tersebut sedangkan ia merupakan zoo tertua di negara ini.
Namun, jika disebut Zoo Taiping, sudah tentu semua fikiran terarah kepada satu-satunya zoo di utara Semenanjung yang cukup terkenal dengan program Night Safari Taiping.
Taman Mergastua sebenarnya adalah nama rasmi bagi Zoo Taiping. Tempat berkeluasan 13.6 hektar itu terletak di kaki Bukit Larut atau Maxwell Hill.
Dengan keindahan persekitaran alam semulajadinya yang dilengkapi aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora, tidak hairanlah zoo itu cukup popular kepada pengunjung.
Selain itu, Zoo Taiping juga dikenali kerana mencetuskan pembaharuan apabila memperkenalkan pameran haiwan secara terbuka dengan mengambil kira habitat asal haiwan berkenaan melalui pembinaan kandang yang sesuai.
Menurut Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus, zoo yang dibina pada 1961 itu menjadi habitat kepada lebih 1,300 ekor haiwan daripada 200 spesies ketika ini.
Katanya, antara haiwan yang menjadi tumpuan pengunjung ialah harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang dan orang utan.
''Di sini terdapat juga usaha pembiakan hidupan liar yang semakin pupus dan usaha pembiakan yang kita lakukan setakat ini terbukti berjaya.
''Antara hidupan liar yang berjaya dibiakkan termasuk harimau belang, singa, siamang, rusa, nilgai, burung kuak, gajah dan banyak lagi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tidak lengkap kunjungan ke Zoo Taiping jika tidak mengikuti program Night Safari Taiping yang bermula dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu.
Night Safari Taiping adalah satu produk pelancongan unik yang mempamerkan haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu khas seperti cahaya bulan.
Aksi-aksi haiwan seperti kongkang, chimpanzi, lemur perang, lemur ekor gelang, siamang dan ungka tangan putih sudah pasti mencuit hati setiap pengunjung dengan aksi nakal mereka memanjat pokok dan pagar di dalam sangkar.
Gelagat haiwan itu ternyata sekali membuktikan ia sangat aktif pada waktu malam walaupun ada sesetengahnya kelihatan sebaliknya.
''Di sini, pengunjung diminta untuk meminimumkan bunyi-bunyian atau suara supaya mereka dapat mendengar bunyi haiwan selain tidak mengganggu ketenteraman haiwan tersebut.
''Pengunjung juga dilarang membawa lampu suluh dan kamera berlampu denyar (flash) supaya tidak mengganggu haiwan di sini.
"Memberi makanan, melintas halangan, memetik tumbuh-tumbuhan juga dilarang sama sekali di kawasan tersebut," katanya.
Kelvin memberitahu, pengunjung juga boleh melihat haiwan-haiwan lain terutamanya haiwan dari luar negara seperti antelop, dubuk, kanggaru, badak sumbu putih, badak air, unta, dan kuda belang dalam pengembaraan mereka menerusi Night Safari Taiping.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, October 17, 2011

jalan masjid india

Keistimewaan Jalan Masjid India




SEBUT Jalan Masjid India, pastinya terbayang keseronokan membeli-belah pelbagai jenis barangan yang ditawarkan di kawasan itu.
Tarikan-tarikan tersendiri yang terdapat di kawasan dikategorikan sebagai lubuk emas di kalangan para peniaga menjadikannya terus ‘hidup’ dan ‘bernafas’ sehingga ke hari ini.
Namun, dalam kemeriahan dan keterujaan berbelanja, mungkin ada yang ‘terlupa’ tentang kewujudan satu-satunya mercu tanda tertua di kawasan tersebut - Masjid India.
Sejarah masjid itu sendiri yang dibina oleh pedagang India Muslim yang berniaga di kawasan itu pada 1863, sudah cukup untuk menceritakan kenapa namanya Masjid India.
Aktiviti perniagaan yang bermula sejak ratusan tahun lalu tidak pernah terhenti sehingga kini dan masih dapat disaksikan kebanyakan peniaga adalah India Muslim.
Kewujudan bazar di jalan tersebut terutama ketika musim perayaan menambahkan lagi kerancakan perniagaan dan menjadikannya destinasi popular ketika musim perayaan.
Di mana ada perniagaan sudah pasti wujud kedai yang menjual makanan. Begitulah juga dengan Jalan Masjid India.
Deretan kedai Mamak serta gerai di kaki lima menjadikan jalan tersebut bukan hanya untuk perniagaan namun juga menjadi destinasi popular kepada penggemar makanan.
Apa tidaknya terdapat kedai Mamak tersebut yang telah dibuka lebih 50 tahun lalu. Bahkan mungkin juga ada yang telah wujud lebih lama dari itu namun tidak diketahui ekoran pertukaran pemilik.
Begitulah istimewanya Jalan Masjid India yang sentiasa meniti di bibir warga kota dan pelancong luar sekali gus menjadikannya sebagai destinasi ‘wajib’ dikunjungi jika berada di Kuala Lumpur.
Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan ROSALINDA MD.SAID bersama jurugambar, ZULKARNAIN MOHD SAIDIN, HAFIZ JOHARI, MOHD. AZIM ABD. RAHMAN dan IRWAN MAJID mengupas keistimewaan Jalan Masjid India yang sering diperkatakan ini.
Ikuti laporan penuh dalam S2 Utusan Malaysia, Sabtu 15 Oktober 2011 atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

sungai tekam

Promosi konsep agro pelancongan




KOLAM renang turut disediakan kepada para pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di Felda Residence Tekam, Jerantut.


SETIAP tahun, keindahan alam semula jadi negara ini memikat puluhan juta pelancong domestik dan antarabangsa, dan ia sememangnya satu anugerah Tuhan kepada Malaysia.
Dari gunung-ganang yang menyimpan khazanah alam berusia ratusan juta tahun sehinggalah ke pulau-pulau yang menawarkan lokasi selam berkelas dunia, semuanya ada di negara ini.
Namun sebenarnya, masih banyak aset yang belum dieksploitasi secara maksimum, antaranya yang berbentuk konsep agro pelancongan.
Di Australia dan Amerika Syarikat, pakej melawat ladang epal atau anggur yang menawarkan peluang kepada pengunjung memetik sendiri buah-buah berkenaan telah lama diketengahkan sebagai satu cabang pelancongan yang mendapat sambutan di negara tersebut.
Justeru, apa kurangnya negara kita yang juga memiliki buah-buahan tempatan yang enak dan istimewa. Bagi mereka yang masih tercari-cari lokasi terbaik bagi merasai sendiri pengalaman agro pelancongan, Felda Residence Tekam yang terletak di Jerantut, Pahang merupakan pilihan terbaik.
Pusat penginapan yang dikelilingi dusun buah-buahan dan ladang sawit itu terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) Sungai Tekam, Jerantut.
Sebenarnya, Felda Residence Tekam sudah lama dikenali oleh warga Felda, selain semakin menjadi pilihan kakitangan kerajaan dan swasta yang ingin berkursus dalam suasana damai sambil menikmati buah-buahan tempatan.
Di situ juga, pengunjung berpeluang melawat dusun dan ladang sawit yang mana ia satu pengalaman mengujakan, khususnya kepada anak-anak yang membesar di bandar.
Ini adalah waktunya untuk mereka mengenali lebih dekat pokok buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan, di samping kelapa sawit yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Lebih menarik, pusat penginapan ini tidak hanya menawarkan konsep agro pelancongan semata-mata, sebaliknya turut mempunyai padang golf sembilan lubang buat kaki golf melepaskan gian mereka.
Selain itu, di Felda Residence Tekam sendiri terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan resort peranginan lain seperti restoran, kolam renang, gelanggang tenis dan padang bola sepak.
Lebih istimewa, pengunjung juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti riadah seperti merentas hutan, flying fox, memancing dan berbasikal.
Pengurus Felda Residence Tekam, Mohd. Zainuddin Masduki berkata, lokasi pusat itu terletak kira-kira 190 kilometer dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.
Katanya, sejak dibuka pada 1990, Felda Residence Tekam yang terletak di kawasan seluas 2,400 hektar sememangnya mendapat sambutan yang cukup baik.
''Keseluruhannya, Felda Residence Tekam menawarkan 30 bilik executive suite, lapan bilik keluarga, tiga bilik superior, 18 bilik deluxe dan 60 calet, di samping asrama yang menyediakan 176 katil.
"Terdapat juga bilik seminar dinamakan Seroja, Melati, Melor, Anggerik dan Kemboja," katanya kepada S2.
Mohd. Zainuddin berkata, pihaknya menawarkan pakej keluarga, kumpulan dan pelajar dengan menawarkan lawatan sambil belajar ke ladang sawit atau ke gugusan gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari resort itu.
Tambahnya, para pengunjung juga berpeluang berkunjung ke Taman Negara Pahang yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.
''Felda Residence Tekam turut menjadi pilihan agensi kerajaan dan syarikat korporat untuk mengadakan seminar kerana suasananya jauh daripada kesibukan ibu kota," ujarnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

duduk di belantara

Mencari kedamaian di belantara




KEADAAN Pusat Peranginan Eco Etno Agrotourism Long Mio yang berkabus pastinya menawarkan suasana nyaman dan mempesonakan.


SUDAH bosan dengan tempat percutian yang hambar dan menyajikan suasana serta aktiviti yang sama? Ingin mencari tempat percutian berbeza dan jauh daripada kebisingan serta hiruk-pikuk kota?
Resort Eco Etno Agrotourism Long Mio di Sipitang, Sabah menjanjikan satu kelainan yang pastinya tidak disediakan oleh pusat peranginan lain.
Terletak kira-kira 123 kilometer dari pekan Sipitang, ia satu-satunya pusat peranginan paling hampir dengan Kampung Long Pasia iaitu sebuah penempatan pedalaman bagi kaum Lundayeh.
Dengan melalui jalan balak hampir empat jam, pusat peranginan terletak di tengah-tengah hutan tebal tersebut merupakan pusat peranginan yang tentunya menjanjikan pengalaman berbeza.
Malah, pengunjung yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ pasti teruja disambut dengan bunyi cengkerik dan burung serta alunan arus sungai yang memecah kesunyian.
Suasana nyaman juga pasti terasa sepanjang masa di sana. Namun, bagi yang tidak tahan kesejukan, perlulah bersedia dengan baju tebal.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Ali Hassan Hamid berkata, pusat peranginan milik PPK itu mula beroperasi pada 2008.
Katanya, pemilihan lokasi berkenaan adalah berlandaskan kepada tiga elemen iaitu ekologi, etnologi dan agro yang kaya di kawasan itu.
Keindahan alam di situ bermula seawal perjalanan melalui jalan balak sejauh 70 kilometer dengan topografi yang berbukit dan berbatu.
Keadaan jalan yang agak licin pada musim hujan juga sangat mengujakan pemandu dan penumpang.
"Malah terdapat jalan balak lama yang sesuai dijadikan trail test power bagi kenderaan pacuan empat roda dan motor cross," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata beliau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kawasan yang kaya dengan flora dan fauna itu seperti melawat perkampungan Long Pasia yang menjadi pertemuan tiga sungai iaitu dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Jelasnya, selain menikmati keindahan sungai, pengunjung juga boleh melihat kehidupan dan budaya masyarakat Lundayeh yang begitu unik.
Bagi yang meminati aktiviti mencabar, laluan denai ke Tasik Sinopong yang terletak di atas Bukit Rimau setinggi 6,500 kaki dari paras laut sentiasa menanti.
"Berjalan kaki ke sana mengambil masa lima jam melalui denai rimba yang berbukit amat menyeronokkan kerana dapat melihat pelbagai pokok dan tumbuhan unik seperti paku-pakis gergasi dan pelbagai jenis orkid.
"Selain itu, kita juga dapat melihat pelbagai serangga dan haiwan belantara seperti monyet dan rusa yang berkeliaran,'' ujar beliau.
Katanya, bagi yang meminati aktiviti air pula boleh menyusur Ulu Sungai Padas menggunakan rakit dan kayak.
Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti berkelah dan memancing di sungai yang bukan sahaja indah tetapi kaya dengan pelbagai spesies ikan termasuk ikan kelah.
Dalam pada itu, Pengurus Pusat Peranginan berkenaan, Jamil Ebrahim berkata, terdapat dua jenis bilik VIP ditawarkan iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM80 dan RM120.
Terdapat juga asrama yang boleh memuatkan 50 orang dengan harga RM25 seorang selain pelbagai kemudahan disediakan seperti bilik mesyuarat, ruang terbuka dan juga restoran.
Sesiapa yang berminat untuk mencuba pengalaman menarik tersebut, boleh menghubungi pusat peranginan terbabit di talian 087-822177 atau 019-8500001.
TAJUK-TAJUK BERITA LA

kayuh

Kayuhan malam jelajah bandar raya




Ahli kumpulan RMDMTB memulakan aktiviti berbasikal malam di Jalan Kempas Baru, Johor Bahru. - S2/Nasirruddin Yazid


Aktiviti berbasikal pada waktu malam kini sudah menjadi trend pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Tanpa mengira latar belakang, usia mahupun jantina, sukan ini semakin mendapat tempat di hati generasi muda yang dahagakan aktiviti riadah khususnya pada waktu malam.
Wartawan S2 baru-baru ini berpeluang mengikuti pengalaman berbasikal pada waktu malam bersama sebuah kumpulan yang dikenali sebagai RMDMTB dari Johor Bahru.
Bersama 20 anggota kumpulan tersebut, kami memulakan kayuhan bermula dari salah sebuah rumah ahli kelab itu di Jalan Kempas Baru pada pukul 9.30 malam.
Kayuhan kami menuju ke Jalan Datin Halimah dan beberapa laluan lain dengan sasaran Taman Seri Lanang di bandar raya Johor Bahru sebagai lokasi berkumpul dan berehat sebelum berpatah balik ke tempat permulaan.
Meskipun jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam, namun kesemua ahli yang mengikuti aktiviti itu langsung tidak menunjukkan keletihan. Sebaliknya, kami berasa segar tatkala ditiup angin malam ketika melalui Pantai Lido yang menghadap negara jiran, Singapura.
Pengasas kumpulan berkenaan, Mohd. Taib Md. Daud, 40, berkata, kegiatan berbasikal tersebut pada mulanya hanya membabitkan dirinya, adik dan anak lelakinya sejak awal tahun lalu.
"Pada mulanya kami bertiga hanya berbasikal untuk suka-suka tetapi tak sangka pula aktiviti waktu malam ini turut mendapat perhatian rakan-rakan lain.
"Selang tiga bulan berikutnya, semakin ramai yang menyertai saya bukan sahaja golongan wanita malah meliputi kaum lain seperti Cina dan India," katanya.
Mohd. Taib yang bekerja sebagai mekanik berkata, menerusi aktiviti tersebut ahlinya bukan sahaja dapat menyihatkan badan, malah dapat bertemu dengan rakan-rakan dan menambah kenalan baru dalam kalangan peminat sukan tersebut.
Kumpulan itu kini melakukan kayuhan antara dua hingga tiga jam pada setiap Selasa, Jumaat dan Ahad membabitkan perjalanan antara 30 hingga 50 kilometer.
TAJUK-TAJUK BERITA L

puncak tok wan

Berehat di puncak gunung Tok Wan


KAWASAN puncak Gunung Tok Wan dikelilingi pokok-pokok menyebabkan tiada pemandangan menarik dapat dilihat dari puncak.


Biasanya lokasi berdekatan tempat tinggal menjadi tumpuan. Bagi mereka yang menetap di Kuala Lumpur dan sekitarnya, mendaki Bukit Broga dan Gunung Tok Wan mungkin menjadi pilihan.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota, kawasan perbukitan itu menjadi tumpuan orang ramai yang kadangkala jumlahnya mencecah ratusan orang pada satu-satu masa.
Bagi yang tidak gemarkan kesesakan orang ramai yang memenuhi keempat-empat puncak Bukit Broga, apa kata lajak sedikit langkah anda menuju ke puncak Gunung Tok Wan.
Namun untuk sampai ke gunung berketinggian 675 meter (2,214 kaki) dari paras laut (dpl) itu, kita perlu tiba dahulu di puncak Bukit Broga pada ketinggian 400 meter (1,312 kaki) dpl.
Bersama Zaki Zakaria, 44, yang menjadi jurupandu arah, penulis meredah hutan belantara bagi menjejaki puncak Gunung Tok Wan baru-baru ini.
Pendakian kami bermula pada pukul 7.00 pagi dan satu jam kemudian, kami tiba di puncak Bukit Broga. Kami berehat seketika sebelum memasuki sempadan hutan. Trek yang ditempuh agak lembap, manakala suasana sekitar sedikit suram kerana peratusan cahaya matahari yang sampai ke lantai hutan agak sedikit.
Keadaan itu membuatkan persekitaran redup. Dalam pendakian ini, kami menemui sepohon pokok besar yang memiliki akar berselirat. Namun, di kebanyakan kawasan, tiada pemandangan menarik dapat dilihat.
Selepas menuruni beberapa puncak bukit termasuk di kawasan cerun yang disediakan kemudahan tali, kami kemudiannya tiba di satu kawasan berbatu yang diselimuti lumut.
Di situ, kami terdengar bunyi aliran air. Kami tidak mempunyai masa untuk mencari punca aliran air kerana bimbang terlewat tiba di puncak.
Kelihatan di hadapan kami adalah satu cerun yang agak menegak. Kami mengambil giliran untuk melepasi cerun tersebut. Perjalanan diteruskan dan kami tiba di puncak sekitar pukul 9.45 pagi. Kelihatan sekumpulan anak muda sedang duduk berehat di bangku kayu. Tiada pemandangan menarik dapat dilihat, sekadar belantara menghijau.
Kami bertegur sapa dan berbual mesra, sambil menikmati bekalan makanan dan minuman yang dibawa dari rumah. Selesai bergambar bersama mereka, kami menyusun langkah menuruni gunung sekitar pukul 10.15 pagi. Dalam perjalanan menuruni gunung, kami kerap berhenti untuk merakamkan keindahan bunga-bunga liar yang cantik.
Kami tiba semula di puncak Bukit Broga tepat pukul 12.00 tengah hari kala matahari terpacak di langit. Walaupun dipanah sang mentari, kami tetap meluangkan masa untuk merakamkan gambar kawasan perbukitan yang dilitupi lalang yang menghijau.
Selesai bergambar, kami meredah terik mentari menuruni bukit yang lengang. Hanya ada dua tiga orang pendaki masih berada di puncak bukit untuk bergambar.
Dek kerana panas mentari, kami berlari-lari anak menuruni cerun bukit menuju kawasan hutan. Teduhan daripada pokok menyejukkan semula kulit kami yang 'hampir' terbakar tadi.
Sebaik sahaja tiba di kawasan ladang sawit iaitu tempat permulaan mendaki Bukit Broga, kami terus menuju ke gerai milik Ezuan Che Yem, 31. Di gerainya, kami membasahkan tekak dengan air kelapa yang sejuk. Beliau hanya membuka gerai pada cuti hujung minggu dan gerainya turut dikunjungi pendaki pelbagai kaum. Ini kerana selain menjual minuman sejuk, beliau juga menyajikan menu ringkas seperti sandwic.
Memandangkan Bukit Broga semakin banyak menerima kunjungan ramai, maka setiap pendaki perlu menjaga kebersihan di bukit tersebut.
Ini kerana terdapat pendaki yang tidak bertanggungjawab membuang plastik pembungkus makanan dan botol mineral di merata tempat. Sikap itu hendaklah dihentikan kerana jika tidak, kawasan perbukitan yang indah itu akan menjadi tempat longgokan sampah sarap!
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN