Sunday, January 9, 2011

Pulau Perhentian


Percutian bajet di pulau Perhentian

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

PENGUNJUNG tempatan turut menjadikan Pulau Perhentian sebagai destinasi percutian pilihan mereka.

MOMEN indah bersantai di tepian pantai sambil dihiburkan deruan ombak mengikat kenangan sepanjang bercuti di Pulau Perhentian baru-baru ini.

Bayu berpuput lembut serta keindahan butir-butir pasir yang melandai menambahkan lagi keasyikan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Justeru andai kata anda ingin kembali kepada kenangan manis percutian itu, berkunjung saja ke Fauna Beach Chalet yang terletak di Pulau Perhentian, Terengganu.

Di sana, pemiliknya, Suhaimi Ibrahim jelas bijak menggabungkan mencantumkan satu suasana menarik apabila keindahan alam bersatu dengan kemeriahan muzik dan menu makanan yang menggamit selera.

Ternyata hasil ilham kreatif Suhaimi atau nama panggilan pulaunya, Mie Fauna menjadikan calet itu berbeza daripada destinasi percutian pulau di negara ini.

Fauna Beach Chalet sudah 15 tahun beroperasi. Paling menarik untuk dikongsi, calet itu sering tumpuan pengunjung luar negara selain para penyelam yang obses dengan aktiviti selam.

Kalau begitu, kita lihat apa lagi kemudahan yang disediakan calet itu hingga penuh sepanjang waktu kecuali musim monsun bermula November hingga Februari.

Menjamu selera

Tarikan utama semestinya sajian yang disediakan seperti masakan Western antaranya pasta, spageti, burger, kentang goreng, fish n chip, stik dan ikan panggang.

Bagi pengunjung tempatan, jangan risau kerana pelbagai juadah tempatan menanti anda seperti pelbagai jenis menu tengah hari seperti kari ayam, daging, ikan, masak lemak, masak asam pedas, selain mihun goreng, mee goreng dan nasi goreng.

Mereka yang sukakan makanan panas dan pedas seperti sajian ala Thai juga boleh mendapatkan tom yam, ikan masam manis dan ikan masak stim.

Air minuman pula sedia membasah tekak seperti aiskrim, banana shaked, jus buah-buahan serta minuman panas.

Anda boleh memilih untuk makan di meja makan yang betul-betul berhadapan pantai.

Jelas Suhaimi, ruang menjamu selera itu cukup sesuai buat keluarga mahupun mereka yang datang makan bersama rakan-rakan.

Bagi menambahkan keindahan malam, terdapat kumpulan muzik akan menghiburkan pengunjung dengan koleksi lagu-lagu evergreen dan nostalgia setiap malam.

Bagi pengunjung yang gemarkan cabaran, mereka juga berpeluang menjelajah hutan mengelilingi pulau selama dua jam untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan.

Pengunjung juga boleh mencuba kemudahan rekreasi termasuklah bermain bola tampar, bola sepak pantai selain dapat menguji keberanian dengan memancing dan berkenu berhadapan cabaran gelora ombak.

Menurut Suhaimi, calet tersebut merupakan konsep percutian bajet dan santai di mana pengunjung tidak perlu risau dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Harga berpatutan

“Fauna Beach Chalet menawarkan harga bilik yang berpatutan serendah RM55 untuk para pengunjung. Malah jika pengunjung memilih pakej tiga hari dua malam di sini, harga yang ditawarkan serendah RM300 seorang.

“Mungkin ramai yang terkejut dengan harga ini kerana ramai sering menyangka percutian di pulau memerlukan kos yang besar walaupun hati meronta untuk ke sini,” katanya tersenyum.

Pihaknya turut mengalu-alukan sesiapa saja untuk mengambil pakej lesen menyelam di calet itu yang boleh menempatkan 80 orang pada satu-satu masa.

Pakej yang ditawarkan adalah RM1,300 meliputi makan, minum, tempat tinggal, BBQ, pengangkutan dari jeti, lesen menyelam dan aktiviti pembelajaran.

“Fauna Beach Chalet menjanjikan percutian berbaloi wang ringgit bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

“Apatah lagi kami mempunyai 33 bilik meliputi jenis banglo, calet berhawa dingin dan calet berkipas yang menanti pengunjung,” katanya.

Biarpun dianggap percutian bajet, Suhaimi menegaskan, pihaknya mementingkan tahap perkhidmatan berkualiti dan suasana damai yang eksklusif.

Ini kerana dia mahu pengunjung pulang dengan rasa berpuas hati selepas menikmati suasana rehat yang menyeronokkan.

Paling penting katanya adalah mutu perkhidmatan kakitangannya yang memberi layanan mesra mereka kepada pengunjung sepanjang masa tanpa mengira sama ada tempatan mahu luar negara.

Perlis


Kuala Kangsar aset pelancongan

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Istana Iskandariah yang mula dibina pada tahun 1930.

APAKAH uniknya Kuala Kangsar? Adakah kerana ia sebuah bandar diraja atau ada faktor lain yang melambai-lambai tetamu dari dalam dan luar negara untuk singgah ke bandar yang terletak di tebing Sungai Perak itu.

Terletak kira-kira 48 kilometer dari bandar raya Ipoh, bandar diraja itu mempunyai aset pelancongan yang tidak dimiliki negeri-negeri lain, sekali gus menjadikan ia begitu eksklusif kepada penduduk negeri Perak.

Justeru, setiap kali diajukan soalan kepada orang luar yang berkunjung ke bandar diraja Kuala Kangsar mengenai apa yang mereka tahu tentang bandar tersebut, jawapan yang diterima adalah 'labu Sayong'.

Ini diakui oleh pemilik Win Kraf di Kampung Sayong Tengah, Sayong, Kuala Kangsar, Ridzuan Hamli, 44.

Menurutnya, setiap kali pengunjung singgah di Win Kraf, beliau akan melontarkan pertanyaan kepada pengunjung iaitu: "Apa yang kamu tahu tentang Kuala Kangsar?'' Jawapan yang diterima adalah, "Labu Sayong...Kami datang nak tengok dan beli labu Sayong di tempat ia dihasilkan. Selain dapat beli pada harga murah, kami juga dapat jalan-jalan di sekitar Kuala Kangsar."

Penulis yang merupakan anak kelahiran Kampung Sungai Ati, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak, turut bangga mendengar jawapan itu.

"Orang Sayong yang mula-mula buat labu ini di Kampung Kepala Bendang. Pada mulanya, kaum wanita di kampung ini buat labu untuk menyimpan air minum. Kini, produk itu telah dijadikan cenderahati, perhiasan dalaman rumah dan lampu tidur,'' katanya yang telah mengusahakan labu Sayong sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, tidak lengkap kunjungan ke Kuala Kangsar jika tidak singgah ke bangunan-bangunan lama yang penuh dengan nilai-nilai sejarah perkembangan institusi diraja Perak seperti Istana Iskandariah, Istana Kenangan dan Istana Hulu.

Istana Iskandariah di puncak Bukit Chandan dibina berasaskan seni bina Islam dan Asia Barat. Ia dinamakan sempena nama Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari 1918 hingga 1938.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Sayong adalah pusat pentadbiran diraja Perak sebelum berpindah ke Bukit Chandan.

Pemindahan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 (Sultan Perak ke-28, 1887-1916). Sebelum itu, Sayong menjadi tempat raja-raja Perak bersemayam iaitu mulai dari zaman Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah 1 (1528-1549). Ketika itu, istana sultan dibina di tebing kanan mudik Sungai Perak iaitu dari hilir Sungai Perak sehingga ke Sayong.

Tradisi itu dipecahkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 apabila baginda memindahkan tempat persemayaman dari Sayong ke Bukit Chandan yang terletak di tebing kiri Sungai Perak.

Di situ, baginda membina Istana Negara untuk raja-raja bersemayam, Istana Cinta Berahi untuk Tengku Permaisuri dan Istana Kasar Makmur untuk Raja Perempuan.

Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30, 1918-1938), Istana Negara diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Istana Iskandariah pada 1930. Pembinaan memakan masa tiga tahun.

Sementara menunggu Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan yang keseluruhannya dibuat daripada kayu tanpa menggunakan paku.

Istana itu kini telah dijadikan Muzium Diraja Perak. Istana Cinta Berahi pula telah dijadikan Sekolah Raja Perempuan Mazwin, manakala istana lain telah dirobohkan.

Selain itu, ikon bandar diraja Kuala Kangsar yang juga popular adalah Masjid Ubudiah. Terletak berdekatan Istana Iskandariah, ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1.

Baginda bernazar jika sembuh daripada satu penyakit yang serius, baginda akan membina sebuah masjid dan apabila sembuh, maka Masjid Ubudiah mula dibina pada 26 September 1913.

Pembinaan terpaksa ditangguhkan apabila bekalan batu marmar dari Itali terputus ekoran meletusnya Perang Dunia Pertama.

Baginda tidak sempat melihat masjid ini siap kerana meninggal dunia setahun sebelumnya. Ia dibuka secara rasmi pada 1917 ketika era pemerintahan Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah (Sultan Perak ke-29, 1916-1918).

Selain itu, turut menjadi tarikan adalah Maktab Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali MCKK (Malay College Kuala Kangsar).

Ia merupakan sekolah asrama pertama di Tanah Melayu dan terletak di Jalan Tun Abdul Razak.

Pembinaan MCKK diinisiatifkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 yang begitu tertarik dengan konsep pendidikan di Barat.

Pada mulanya, MCKK yang dibina pada 1905 khusus untuk anak-anak daripada keluarga elit, tetapi kini dibuka kepada semua anak Melayu.

MCKK berjaya melahirkan nasionalis Melayu yang hebat seperti Dato Onn Jaafar, Yang di-Pertuan Agong Pertama, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar dan banyak lagi.

Terdahulu, sebuah sekolah Inggeris iaitu Sekolah Clifford telah dibuka di Kuala Kangsar pada 1897. Sultan Yusuf Izuddin Shah (1948-1963) dan Sultan Idris al-Mutawakkil Alaihi Shah (1963-1984) pernah belajar di sekolah ini.

Kemangkatan Sultan Idris al-Mutawakkil Alaihi Shah menyebabkan Raja Muda Perak ketika itu, Raja Tun Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak ke-34 dengan gelaran Sultan Azlan Muhibuddin Shah. Ketika itu baginda berusia 56 tahun.

Dilahirkan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak, baginda memerintah sehingga hari ini dan mencipta sejarah sebagai Sultan Perak yang mempunyai kelayakan akademik dan menyandang jawatan tertinggi dalam bidang kehakiman.

Mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham dan Lincoln Inn London, baginda pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan (1973-1978), Hakim Besar Malaya (1979-1982) dan Ketua Hakim Negara mulai 1982 sehingga baginda dilantik sebagai Sultan Perak pada 1984.

Perkahwinan baginda dengan Tuanku Bainun Mohd Ali telah dikurniakan lima cahaya mata iaitu Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Azureen, Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Memetik kenyataan dari buku bertajuk Cempaka Sari (Sejarah Kesultanan Negeri Perak) oleh M.A.Fawzi Basri cetakan pertama 1986, "Kekekalan sistem beraja sehingga kini adalah atas kekukuhan tradisinya dan juga sokongan bulat orang Melayu yang terus menjunjung kedaulatan raja-raja."

Justeru, jangan biarkan sesiapa mengganggu gugat kedaulatan institusi raja. Daulat Tuanku.

TAJUK-TAJUK BERITA LA

Tuesday, January 4, 2011

Lubuk Kelah


Sungai Tembeling lubuk ikan kelah

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ZAHARUDDIN Nong (kiri) bersama petugas santuari bermain dengan spesies ikan kelah di kolam Melantai Dua, Taman Negara Kuala Tahan. - utusan/Haris Fadilah Ahmad

JERANTUT 3 Jan. - Menangkap ikan kelah dan spesies air tawar lain memang sinonim dengan penduduk di persisiran Sungai Tembeling kerana ia sumber rezeki harian selain aset tarikan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan dan kawasan Hulu Tembeling di sini.

Ada juga yang 'memburu' ikan kelah di kawasan sungai kecil di hutan Hulu Tembeling iaitu Sungai Pengau di Kampung Pagi; Sungai Sepia (Kampung Gusai) dan Sungai Kenyam di Taman Negara Kuala Tahan.

Selain itu, ikan kelah dan spesies lain diternak secara saintifik di Lubok Tenor dan Melantai Dua di Taman Negara Kuala Tahan oleh pengusaha tempatan berasaskan Sistem Tagal iaitu kaedah tangkap dan lepas yang menjadi tarikan ramai pengunjung.

Bagi kaki pancing di Sungai Tembeling dan Sungai Kenyam, tumpuan bukan sahaja aktiviti menangkap ikan kelah tetapi pemandangan alam sekitar dan aliran anak sungai yang masih lagi terpelihara sehingga memberi ketenangan kepada mereka yang mengunjungi tempat itu.

Kegiatan menangkap ikan kelah atau nama saintifiknya 'Tor Tambroides' dan spesies air tawar lain kebiasaannya dilakukan di lubuk Sungai Tembeling, Sungai Sepia, Sungai Pengau, di Taman Negara Kuala Tahan manakala Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai di Hutan Lipur Pengau, Hulu Tembeling.

Ikan kelah antara 'ikon' spesies air tawar yang menjadi kegemaran orang ramai kerana keenakan rasa isinya setelah dimasak dengan masakan asam tempoyak, pais tempoyak dan dibakar.

Jadi, tidak hairan jika satu kilogram ikan kelah berharga antara RM120 dan RM140 serta mencecah sehingga ribuan ringgit bagi seekor ikan.

Spesies ikan tersebut bukan hanya terdapat di sungai negeri ini sahaja tetapi juga popular di India dan negara Asia Selatan.

Sementara itu, fenomena 'ikan berlaga' menimbulkan kepercayaan penduduk tempatan pada musim kemarau menandakan punca rezeki mereka melimpah apabila turun ke sungai untuk menangkap ikan kelah dan ikan temoleh yang asyik berlaga.

Sebenarnya, keunikan ikan berlaga memperlihatkan perlakuan kelah jantan yang melanggar badan kelah betina dan spesies ikan temoleh pula memudahkan pasangannya bertelur.

Setiap kali bertelur, ikan kelah biasanya mengeluarkan 15,000 dan 30,000 biji telur dan daripada jumlah itu hanya 10 peratus membesar dengan sempurna serta menjadi induk.

Sebagai Omnivor, makanan utama ikan itu adalah rumpai air, alga, serangga, katak, ikan kecil dan buah-buahan yang terjatuh ke dalam sungai.

Spesies yang dikenali di kalangan kaki pancing sebagai 'ikan raja' atau 'raja sungai' itu boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dengan beratnya antara dua kilogram (kg) hingga tujuh kilogram.

Menurut penduduk tempatan, sisik ikan kelah yang lebar sebesar ibu jari boleh digoreng dan dikunyah seperti makanan keropok.

Di Lubuk Tenor dan Melantai Dua di sini pelawat boleh berenang, menangkap dan bermain ikan berkenaan yang jinak dengan memberi pelet makanan kepada kumpulan ikan tersebut.

Selain itu, ikan tersebut dan spesies lain keluar dari habitat lubuk untuk mencari makanan buah-buahan seperti buah neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai berkenaan pada musim panas.

Kebiasaannya, umpan buah-buahan makanan dan serangga menjadi pilihan kaki pancing untuk dipasang pada mata kail dan Aran (dahan pokok kecil dipasang tali dan mata kail di tepi sungai) bagi menangkap ikan air tawar.

TAJUK-TAJUK B

Saturday, January 1, 2011

Ulu Salan Jerantut


Ulu Salan

Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

KeMUDAHAN yang lebih sempurna dapat memastikan alam semula jadi yang lebih terpelihara.

BERADA di Ulu Salan, Jerantut, pasti ramai yang terpegun dengan keindahan alam sekitarnya memandangkan flora dan fauna di sini sentiasa terpelihara.Air sungainya yang jernih, pasti menjadi daya tarikan ramai.

Pada masa sama, Lata Permaisuri, Lata Manik dan Lata Lebah, antara tiga khazanah Lost Waterfall yang terdapat di pedalaman Jerantut, pastinya memberi pemandangan menakjubkan.

Walaupun sebelum ini Ulu Salan jarang diterokai memandangkan untuk ke tempat ini seseorang perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda, kini sejak pendedahan kawasan ini melalui media, nama Ulu Salan mula menjadi bualan ramai.

Ekoran itu, Ulu Salan didapati sesuai dengan pelbagai aktiviti seperti merentas hutan, berkenu, tapak perkhemahan, menjalankan kajian terhadap fauna dan flora dan banyak aktiviti lain.

Keunikan yang terdapat di Ulu Salan juga tidak mustahil ia menjadi salah satu produk pelancongan setaraf dengan Taman Negara Kuala Tahan.

Memandangkan tempat ini sudah mula dikunjungi ramai termasuk para pelancong dari luar negara seperti Singapura dan sebagainya, pihak berkuasa mula melihat bahawa Ulu Salan berpotensi untuk dimajukan.

Sehubungan itu, beberapa kemudahan asas telah didirikan seperti bilik air dan surau.

Apa yang menarik, kemudahan asas yang disediakan itu tidak melibatkan sebarang kerosakan pada alam sekitar di Ulu Salan.

Namun, semua kemudahan asas itu belum mencukupi bagi menampung pelancong dalam jumlah yang besar.

Kemudahan yang belum mencukupi itu jika tidak diatasi bakal memberi impak negatif terhadap alam sekitar di Ulu Salan.

Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beberapa aktiviti penjagaan alam sekitar di Ulu Salan diadakan dari semasa ke semasa.

Ini termasuk membersihkan sampah-sarap di Ulu Salan setiap kali aktiviti pacuan tempat roda dan perkhemahan diadakan di situ.

Baru-baru ini Middle Earth yang diketuai pengarahnya, Marodzuan Abd. Ghani bersama Kelab Redah 4x4 dan Land Rover Owners Club Malaysia telah mengadakan aktiviti perkhemahan di Ulu Salan.

Tema aktiviti itu ialah 'konservasi alam, budaya dan warisan, melalui ekopelancongan.

Menurut Marodzuan, antara objektif program di Ulu Salan itu ialah memperkenalkan Jerantut dan Ulu Salan sebagai Taman Negara Malaysia.

''Aktiviti ini termasuk penjagaan alam sekitar di Ulu Salan,'' katanya.

Berikutan semakin ramai pelancong mula berkunjung ke situ, sewajarnya pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Jerantut, Jabatan Hutan dan sebagainya, memikirkan supaya kemudahan asas sedia ada ditambah.

Ini termasuk menyediakan papan-papan tanda, tangki-tangki air yang lebih besar untuk kegunaan tandas dan beberapa kemudahan sampingan bagi menarik kehadiran pelancong.

Dengan kemudahan lebih baik di Ulu Salan, kawasan ini mampu menerima kunjungan lebih ramai pelancongan tempatan dan luar negara.

Bagi mereka yang mahu merasai kelainan melancong, boleh berkunjung ke Ulu Salan dengan melayari blog Middle Earth http://onemiddleearth.blogspot, atau telefon 09-2669618 atau 012-9819145.

TAJUK

Wednesday, December 22, 2010

Universal Studio


Keunikan tujuh zon Universal Studio
Oleh Suliati Asri
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PERCUTIAN KELUARGA...Universal Studio Singapore menawarkan pelancongan untuk seisi keluarga.
PERCUTIAN KELUARGA...Universal Studio Singapore menawarkan pelancongan untuk seisi keluarga.

MENAIKI 'roller coaster' berkelajuan tinggi dalam kegelapan di Revenge of the Mummy cukup menggerunkan dan hanya jeritan mampu dilakukan bagi menghilangkan ketakutan.

Dengan berkelajuan tinggi dan trek yang menjunam serta pusingan 360 darjah, ia pasti membuatkan sesiapa saja menjerit ketakutan dan berasa gerun, tetapi seronok.


Itulah pengalaman penulis bersama teman menaiki Revenge of the Mummy di Zon Ancient Egypt, Universal Studio Singapore (USS), Singapura, baru-baru ini.

sebelum selepas

* Foto

COMEL...walaupun belum dibuka, watak animasi Madagascar menanti pengunjung.
* Foto

JURASSIC PARK...mencabar.
* Foto

CANTIK...selain menawarkan keseronokan, istana Far Far Away sesuai untuk sesi bergambar.

Di situ terdapat lebih 18 permainan dan tarikan bertaraf dunia menanti pengunjung di taman tema pertama Universal Studio di Asia Tenggara.


Belumpun memasuki USS, kemeriahan sudah dirasai di hadapan pintu masuk Universal Studio.


Kebanyakan pengunjung mengambil peluang bergambar berlatarbelakangkan 'trade mark' universal studio, acara wajib jika ke sana.

Menawarkan tujuh zon menarik untuk diterokai, Hollywood adalah zon pertama menyambut kedatangan pengunjung. Anda seperti berada di Hollywood kerana setiap bangunan yang ada mengadaptasi bentuk bangunan khas Hollywood.


Selain menempatkan kedai cenderahati, pengunjung boleh melihat persembahan 'Live Show Monster Rock' di Pantages Hollywood Theater.

Puas bergambar di Zon Hollywood, kami ke zon watak dalam animasi itu iaitu Alex, Marty, Melman dan Gloria yang comel serta lucu iaitu di Zon Madagascar.


Bagaimanapun, kami sedikit kecewa kerana Zon Madagascar ditutup dan hanya berpeluang bergambar di hadapannya.


Perjalanan diteruskan ke zon animasi popular, Shrek.


Di Zon Far Far Away, kami berpeluang menyaksikan aksi Shrek menyelamatkan Puteri Fiona di Shrek 4D Adventure. Percikan air, tiupan angin dan tempat duduk yang bergerak membuatkan pengembaraan Shrek 'hidup'.


Kemudian, kami menaiki roller coaster mengeliling dunia Far-Far Away dengan Enchanted Airways selain Magic Potion Spin dan Donkey Live.


Di Zon The Lost World, ia bagaikan membawa pengunjung ke dunia dinosaur. Ia terbahagi kepada dua kawasan, Jurassic Park dan WaterWorld.


Di Jurassic Park, penulis dan beberapa rakan sempat menaiki Jurasic Park Rapids Adventure yang mencabar.


Selain cabaran menyusuri sungai yang memiliki arus yang deras sehingga menyebabkan pelampung dinaiki melanggar tebing sungai buatan, percikan air dan curam yang boleh membuatkan baju basah, menunggu giliran untuk melakukannya juga satu daripada cabarannya. Ini kerana terlalu ramai pengunjung, kami terpaksa menunggu kira-kira sejam sebelum melakukan permainan itu. Namun, penantian itu berakhir dengan keseronokan.


Selain Jurasic Park Rapids Adventure, antara tarikan di The Lost World termasuk WaterWorld, Canopyflyer, Amber Rock Climb dan Dino-Soarin.


Zon Ancient Egypt, zon yang cukup penulis gemari. Ia ibarat menjelajahi Mesir kuno dengan piramid serta patung yang berdiri gagah.


Di Zon Ancient Egypt ini, pengunjung dicabar melawan ketakutan dengan menaiki roller coaster berkelajuan tinggi, berhenti dan mengundur secara tiba-tiba, dengan suasana di dalam gua yang gelap di Revenge of the Mummy.


Jika tidak mahu memasuki Revenge of the Mummy, Treasure Hunter juga sedia untuk membawa mencari harta karun dengan menaiki jip tua ala Indiana Jones.


Sci-Fi City adalah zon keenam yang akan dilalui di USS. Bagaimanapun, Sci-Fi City yang menawarkan tiga permainan iaitu roller coaster tinggi dengan dua landasan yang bergerak serentak, tetapi berlawan arah iaitu Battlestar Galactica Cyclon & Battlestar Galactica Human dan Accelerator belum dibuka kepada pengunjung.


Jika mahu merasai pengalaman membikin filem ala pengarah Steven Spielberg dalam studio perfileman, Light! Camera ! Action di New York adalah zon terakhir di USS.


Lights, Camera, Action! membawa pengunjung melihat sendiri 'special effect' luar biasa yang membuatkan anda seperti benar-benar di tengah badai dengan angin kuat serta kapal yang terbakar hingga akhirnya sebuah kapal besar tiba-tiba masuk dan menghentam dek tempat pengunjung berdiri. Berada di Zon New York seperti pengunjung berada di kota itu dengan menyusuri jalan apabila ada banyak deretan kedai di kanan kiri jalan.


Di zon itu juga, pengunjung berpeluang mengabadikan kenangan 'bergambar' bersama pelakon terkemuka dunia dari zaman silam seperti Charlie Chaplin dan Marilyn Monroe.


Selepas mengelilingi tujuh zon, kami membeli-belah di kedai cenderahati di Zon Hollywood.


Sehari suntuk di taman tema USS memang memenatkan, tetapi berbaloi dengan pengalaman yang mungkin sukar diungkap dengan kata-kata.


Jika mahu ke taman tema USS, sebaiknya anda membeli tiket secara 'online' bagi mengelak kesesakan atau kehabisan tiket di kaunter.

Thursday, December 16, 2010

Pahang Barat


Program Pengembaraan ke Pahang Barat

Oleh WAN YUSLINA WAN MUDA
utusanpahang@utusan.com.my

Peserta mengalami sendiri keindahan hutan Mossey yang menjanjikan cabaran dan keseronokan mendaki kepada pelancong di Gunung Brinchang, Cameron Highlands.

KUANTAN 15 Dis. - Pahang memiliki pelbagai khazanah alam semula jadi yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan para penduduk di negeri ini.

Kelebihan yang ada oleh negeri ini turut dijadikan sebagai produk pelancong untuk membolehkan pelancongan tempatan dan asing menikmati keindahan alam flora dan fauna.

Malah ia juga turut menjana ekonomi penduduk tempatan yang dapat menjual produk tempatan sekali gus memperkenalkan budaya tradisional kepada pelancong khususnya pelancong asing.

Bermula daripada permintaan atau keperluan pelancong apabila meninggalkan tempat inilah wujudnya rangkaian aktiviti perniagaan dan perkhidmatan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam industri pelancongan.

Industri pelancongan meliputi semua bentuk perniagaan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan khusus untuk keperluan serta permintaan pelancong.

Melihat kepada perkembangan itu, Tourism Malaysia Negeri Pahang menganjurkan program lawatan suaikenal dan pembelajaran yang dikenali sebagai 'Pengembaraan ke Pahang Barat'.

Program berlangsung selama empat hari itu disertai pengusaha agensi pelancongan dari Pahang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor, operator pelancongan dan juga media tempatan.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abd. Rahman berkata, langkah menganjurkan program itu untuk memperkenalkan laluan baru dari Sungai Koyan, Pos Betau iaitu Pahang Barat ke Cameron Highlands.

Katanya, kehadiran pihak-pihak terbabit akan dapat mempromosi dan mendedahkan produk-produk pelancongan yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.

"Semua peserta terbabit dibawa meninjau dan merasai sendiri pengalaman bermalam dengan melakukan aktiviti-aktiviti di kampung inap desa di samping melihat potensi peluang perniagaan yang terdapat di sekitar Pahang Barat," katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama menyertai program itu ialah Timbalan Pengarah Domestik Tourism Malaysia, Raja Normala Raja Samsudin; Timbalan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Negeri Pahang, Adi Din Hussain dan Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Shariman Hamdan

Amran berkata, pengalaman yang bakal dilalui oleh peserta di setiap lokasi sepanjang perjalanan ke Cameron Highlands berbeza dan menarik.

"Cameron Highlands merupakan lokasi pelancongan yang popular di Malaysia yang menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.

''Dengan adanya laluan baru tersebut, bilangan pelancong tempatan akan bertambah terutamanya penduduk Pantai Timur," katanya.

Jelasnya, beberapa destinasi menarik terdapat di Cameron Highlands seperti taman rama-rama, ladang strawberi, lebah dan ladang teh yang luas.

Selain itu, pengunjung juga akan menikmati pemandangan yang menakjubkan di Mossey Forest yang terletak di Gunung Brinchang.

Dalam pada itu, Amran memberitahu, inap desa Kampung Sungai Pasu, Raub dan Kampung Kuala Medang, Lipis mempunyai potensi untuk dikembangkan dari sudut pelancongan.

Jelasnya, Kampung Sungai Pasu adalah antara inap desa yang aktif di Pahang dengan keindahan landskap, keceriaan dan kebersihannya mampu menimbulkan suasana damai dan memukau perasaan.

Selain itu, katanya, kampung tersebut turut mempamerkan pelbagai ciri kehidupan tradisional dan memperkenalkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakan oleh penduduk kampung itu sendiri.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin, program seperti ini amat penting bagi mempromosikan Kampung Sungai Pasu dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, sejak terlibat dalam program inap desa dua tahun lalu kampung tersebut mendapat sambutan menggalakkan sama ada orang tempatan, pelajar institut pengajian tinggi dan juga pelancong asing.

"Sejak beroperasi ia sudah menerima pelancong dari Eropah, Korea, Jepun, Indonesia, China dan Taiwan," katanya.

Katanya, pencapaian itu adalah membanggakan apabila pelancong dari seluruh dunia memilih berkunjung ke kampung tersebut berbanding lokasi menarik di negeri ini.

Dalam pada itu, program Inap Desa Kampung Kuala Medang yang diasaskan pada tahun 1999 tidak kurang hebat dan merupakan salah satu pusat pelancongan yang amat berjaya di Pahang.

Pengerusi Inap Desa Kuala Medang, Mohd. Razaki Abd. Razak berkata, pelancong akan berpeluang sendiri melihat dan bermain permainan tradisional yang semakin dilupai.

"Pelancong juga boleh mencuba sendiri untuk membuat gasing secara tradisional tanpa menggunakan sebarang teknologi.

"Selain itu, pelancong turut dibawa melawat kampung tradisi, menikmati buah-buahan, menyelusuri sungai dengan bot dan memancing ikan di kolam yang telah disediakan khusus untuk pengunjung," katanya.

Saturday, December 11, 2010

Taman Negara





Mencintai keajaiban isi Taman Negara
Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my


TATKALA pemanduan memasuki pintu masuk Taman Negara Pahang (TNP) Merapoh, jangkaan mengenai jisim hutan yang berusia lebih 130 juta tahun ini mungkin meleset.

Bagi mereka yang tidak pernah mengunjunginya, TNP ibarat sebuah lukisan yang tidak dapat dilihat isi kandungannya. Aktiviti rekreasi yang dirancang pengunjung pasti akan jauh lebih menarik daripada jangkaan dan imaginasi.

Kepelbagaian dan nilai flora serta fauna yang terdapat di TNP begitu tinggi berbanding pengetahuan yang dimiliki sesiapa pun. TNP yang memiliki kekayaan mega diversiti menampung kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung dan 80 spesies kelawar. Itu hanyalah jumlah yang direkodkan setakat ini.

Menurut Penguasa TNP, Abdul Kadir Abu Hashim, lima spesies utama yang dilindungi di bawah program konservasi Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ialah gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

“Taman Negara Pahang menjadi salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia,” jelas beliau.

Aktiviti konservasi yang terbabit termasuklah membina laluan hidupan liar bagi mengelakkan pertembungan dengan laluan manusia sehingga mengakibatkan kematian.

“Jabatan kami turut membina terowong untuk laluan hidupan liar seperti gajah di bawah lintasan trek kenderaan bagi mengelakkan kemalangan.

“Perancangan untuk membina laluan untuk hidupan liar dengan menyambungkan Taman Negara dengan Banjaran Titiwangsa juga sedang disusun bagi membolehkan hidupan liar di kedua-dua kawasan bertemu dan membiak,” katanya pada program Kembara Bersama Media Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di TNP baru-baru ini.


FLORA dan fauna bukan sekadar cantik dalam pandangan mata, malah perlu difahami maksud kewujudannya dalam hidup manusia.

Selain itu katanya, aktiviti pemburuan haram turut disekat terutama membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan. Hidupan liar seperti harimau yang bernilai ratusan ribu ringgit seekor menerima ancaman hebat untuk tujuan perdagangan haram.

“Jabatan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menyekat aktiviti haram di dalam Taman Negara Pahang termasuk membabitkan kehadiran pendatang asing tanpa izin,” jelas beliau.

Sementara itu, aktiviti program Kembara Bersama Media dan NRE berpeluang menyelusuri khazanah TNP melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Program dua hari berkenaan membawa rombongan kira-kira 35 orang peserta dalam kalangan media dan kakitangan NRE merentasi hutan, melawat santuari ikan kelah, menyertai aktiviti tubing dan safari malam.

Kenal spesies

Bagi mereka yang tidak berkemampuan mendaki gunung, aktiviti berjalan di hutan melalui rentis-rentis atau laluan khas yang disediakan merupakan salah satu cara mengenali spesies tumbuh-tumbuhan yang telah ditandakan dengan lebih dekat.

Antara rentis-rentis yang ada ialah Rentis Interpretif, Rentis Palas, Rentis Gua Gajah, Rentis Gua Peningat, Rentis Bumbun Rimau dan Rentis Berkenu.

Dalam kembara berkenaan, para peserta dibawa melalui Rentis Palas yang menjadi laluan pelbagai hidupan liar dan yang paling kerap ditemui ialah spesies gajah.

Menurut renjer TNP, Mohd. Asrul Ardullah, kehadiran haiwan liar dapat dikesan melalui tinggalan tapak kaki, najis dan kubang. Tanda tinggalan yang dapat dilihat dengan jelas sepanjang Rentis Palas ialah tapak kaki gajah.

Kewujudan haiwan liar juga dapat dikesan melalui kamera khas yang dipasang pada batang pokok. Tujuan pemasangan kamera bukan sahaja untuk mengenal pasti spesies-spesies di hutan berkenaan tetapi juga bagi tujuan bancian dan kajian.

“Kamera yang dipasang akan mengambil gambar secara automatik apabila terdapat objek melaluinya, termasuk manusia dan kenderaan,” jelasnya.

Tambah Asrul, selain memahami tabiat hidupan liar, pengunjung juga berpeluang mendekati spesies pokok-pokok yang hidup meliar. Setiap satunya mempunyai nilai yang tinggi di pasaran seperti tongkat ali dan gaharu.

“Pokok gaharu mengeluarkan bau yang wangi apabila dibakar dan mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan minyak gaharu yang berharga ribuan ringgit bagi setiap kilogram, bergantung kepada grednya,” katanya.

Spesies pokok lain yang ditemui di situ ialah meranti kepong, rambutan hutan, palas, keruing mempelas, penaga lilin, bintangor lekok, nyatoh sidang, tongkat ali, gaharu, bekak, minyak beruk, keruing gombang, mata ketam dan ara pencekik.

Santuari ikan sensitif


SPESIES labah-labah dan serangga adalah antara kumpulan terbesar dalam piramid hidupan hutan.

Santuari ikan kelah yang terletak di Lubuk Tenor, Kuala Tahan dan Kuala Juram, Merapoh adalah sebahagian tempat menarik yang dilawati. Ia merupakan kawasan peliharaan ikan kelah dan dilindungi daripada aktiviti penangkapan ikan.

Pemuliharaan ikan kelah adalah supaya ia terus wujud di habitat asalnya. Ia menjadi kegilaan kaki pancing kerana kerakusannya merembat umpan pada mata pancing dan berharga tinggi di pasaran.

Di santuari itu, para peserta dibenarkan memberi ikan makan dengan tangan. Ikan-ikan berkenaan sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

Menurut kakitangan santuari berkenaan, ikan-ikan kelah yang terdapat di situ akan datang apabila loceng dibunyikan, menandakan waktu makan sudah tiba serta tidak akan lari apabila berada di dalam kumpulan manusia yang ramai.

Keadaan air sungai yang jernih memudahkan kelah dilihat walaupun ia dikategorikan sebagai spesies ikan yang sensitif. Namun, ikan kelah di santuari itu agak jinak dengan pengunjung.

“Pengunjung dapat memegang ikan kelah yang berenang dengan laju melawan arus untuk mendapatkan makanan yang ditaburkan.

“Selain itu, aktiviti berenang dan mandi bersama ikan kelah juga dibenarkan. Ikan-ikan yang ditangkap menggunakan tangan mestilah dilepaskan semula,” katanya.

Dalam pada itu, ikan kelah yang mendapat jolokan Raja Sungai mempunyai isi yang enak sehingga sisiknya boleh digoreng dan dimakan seperti keropok menyebabkan harga bagi sekilogram kelah boleh mencapai ribuan ringgit.

Safari malam

Tidak seperti pengalaman di zoo, peluang untuk melihat haiwan liar secara dekat merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana hanya mereka yang bernasib baik sahaja dapat bertembung dengan haiwan-haiwan liar berkenaan.


PARA peserta program cuba menyentuh ikan-ikan kelah yang jinak di santuari dekat Lubuk Tenor.

Pengalaman itu sekali gus mengujakan peserta program kembara tersebut meskipun peluang menemui haiwan yang diancam kepupusan seperti gajah dan harimau sangat tipis.

Dalam lawatan sekitar pukul 11 malam itu, para peserta menaiki pacuan empat roda merentasi laluan safari malam untuk melihat flora dan fauna dalam suasana berbeza.

Perasaan takut bertukar seronok apabila para peserta berjaya melihat kelibat burung hantu dan kucing batu. Bagaimanapun, haiwan berkenaan beredar dengan segera apabila menyedari kehadiran manusia dan lampu suluh.

Menurut renjer yang terbabit, haiwan liar sensitif dengan cahaya lampu kenderaan menyebabkan peluang melihat haiwan liar agak tipis.

“Haiwan liar akan beredar apabila disuluh dengan lampu atau apabila mereka berasa terancam,” katanya pada perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam setengah itu.

Sememangnya program kembara ini adalah antara cara terbaik buat para peserta mendekati elemen biologi seterusnya memahami sistem ekologi belantara dan tabiat ‘penghuninya’.

Apabila manusia semakin menghargai komponen sains kehidupan tersebut, keseimbangan boleh wujud antara ruang ciptaan manusia dan juga alam semula jadi yang menjadi khazanah negara.