Saturday, March 26, 2011

Kemboja


Menyelongkar keajaiban Kemboja

Teks dan gambar ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my

PINTU masuk ke kuil Bayon menampilkan satu daripada seni bina Angkor yang paling diminati pelancong.

Kepuasan memilih destinasi kini diperhebatkan dengan tawaran tiket penerbangan yang semakin murah. Dengan sedikit perbelanjaan, percutian ke Kemboja misalnya antara yang menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan.

Di kalangan pelancong antarabangsa, Kemboja telah lama dikenali sebagai destinasi paling popular di rantau ini. Bagi mereka, melancong ke Asia Tenggara tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke negara Angkor Wat itu. Kemboja mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Phnom Penh dan Siem Reap.

Namun anda tidak mungkin menikmati segala keseronokan yang tersimpan di negara itu dengan hanya satu kunjungan. Bagi yang melawat buat kali pertama, tarikan yang menjadi keutamaan semestinya Angkor Wat di Siem Reap. Berdiri teguh sebagai satu daripada keajaiban dunia, kota purba yang berusia ribuan tahun itu menjadikan bahagian di barat laut negara itu lokasi persinggahan utama. Pintu masuk di Siem Reap mewakili lebih 50 peratus daripada kemasukan pelancong ke Kemboja.

Hal itu menjadikan tambang penerbangan ke Siem Reap lebih mahal berbanding ke ibu kotanya, Phnom Penh. Bagaimanapun, mendarat di Phnom Penh tetap memberikan percutian yang menarik jika dilakukan dengan betul.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, perkhidmatan teksi motosikal (tut-tut) boleh didapati pada harga kira-kira RM63 untuk ke pusat bandar. Jika bernasib baik, anda akan disapa oleh pemandu berketurunan Champa yang fasih berbahasa Melayu.

Kesibukan kota di pinggir Sungai Mekong itu bertali-arus dengan penunggang motosikal yang memberi gambaran awal cara hidup lebih dua juta masyarakat Khmer.

Di bandar bekas jajahan Perancis itu, penginapan boleh didapati daripada harga RM30 hingga RM62 semalaman. Lokasi terbaik untuk bermalam mungkin di sepanjang persiaran Sisowath Quay yang mengadap Sungai Tonle Sap.

Pada hujung minggu, kemeriahan di kawasan waterfront itu berterusan sehingga lewat mala.

Bagi yang ingin merasai kelainan berada di negara orang, hidangan eksotik seperti hidangan kala jengking, belalang, labah-labah, cengkerik dan ular boleh didapati pada harga beberapa dolar di sepanjang jalan utama itu.

Di celah-celah bandar yang sesak itu, tumpuan pelancong adalah Istana Phnom Penh (Royal Palace), Pasar Seni, Pasar Rusia, Pagoda Perak dan Monumen Kemerdekaan. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk ke Wat Phnom, kuil di atas bukit yang memberi nama kepada bandar itu.

Di pinggir bandar Phnom Penh, Tapak Peringatan Choeung Ek atau Killing Field antara lokasi yang wajib dikunjungi. Sekolah yang dijadikan pusat tahanan rejim Pol Pot itu menempatkan kira-kira 8,000 tengkorak daripada tiga juta pembunuhan di seluruh Kemboja sekitar tahun 1975 hingga 1979.

Bagi mereka yang berminat untuk melancong ke Kemboja, Penerbangan Malaysia (MAS) terbang ke Phnom Penh sembillan kali seminggu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment