Sunday, August 19, 2012

memburu kerbau

Buru kerbau waktu malam



SEMINGGU menjelang Syawal, suasana malam di Kampung Lukut dan Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor bertambah meriah.
Jika di kawasan lain, kebanyakan masyarakatnya sibuk dengan persiapan menyambut lebaran, lain pula ceritanya di kedua-dua perkampungan yang masih berpegang kuat pada budaya dan adat Perpatih itu.
"Kampung ini memang terkenal dengan aktiviti memburu kerbau liar terutamanya menjelang hari raya puasa.
"Boleh dikatakan hampir setiap malam selepas solat tarawih, sekumpulan pemburu akan menjalankan operasi menangkap kerbau liar.
"Kerbau yang berjaya ditangkap akan ditambat dan disembelih dua hari sebelum raya untuk dijual atau dijadikan rendang," ujar Ketua Kampung Lukut, Mohd. Noh Lawang, 60.
Begitupun, kerja menangkap kerbau liar bukan mudah. Bukan sembarangan orang boleh berdepan dengan haiwan bertanduk tajam yang panjangnya mencecah satu meter itu.
Penduduk sendiri menyifatkan tugas memburu itu ibarat meletakkan nyawa di hujung tanduk. Pemburu sentiasa berdepan dengan bahaya terjatuh daripada motosikal, ditanduk, dipijak ataupun dirempuh kerbau. Kalau silap langkah, nyawa boleh melayang.
Walaupun upah yang diperoleh tidak seberapa, ia tidak mematahkan semangat mereka.
"Memburu kerbau liar sudah menjadi hobi turun-temurun bagi kebanyakan lelaki di sini," ujar Nurul Hisham Norden yang lebih dikenali sebagai Dodot, 32.
Bercerita lanjut mengenai pemburuan kerbau liar, beliau menjelaskan, kerbau tersebut pada asalnya mempunyai tuan namun sudah kembali ke habitat asal di pinggir hutan.
Sabung nyawa
"Dahulu, hampir semua penduduk kampung mengusahakan sawah padi. Ketika itu, beribu-ribu ekor kerbau ada di kampung ini," cerita Dodot.
Oleh kerana manusia dan kerbau saling memerlukan, kerbau sangat jinak dengan tuannya. Namun, pada 1980-an, keadaan berubah. Penduduk kampung cenderung mencari kerja di bandar.
Sejak itu, fungsi kerbau mula dipinggirkan. Tanah bendang bertukar menjadi kebun kelapa sawit dan penduduk kampung lebih suka membela lembu.
Malangnya, kerbau tidak suka berkongsi habitat dengan lembu. Akhirnya, kerbau berhijrah ke pinggir hutan dan hidup secara liar di sana.
"Dahulu hubungan kerbau dengan tuannya memang akrab. Hari ini boleh dikatakan semua semua tuan kerbau tidak mengenali ternakan masing-masing," jelas Dodot.
Dalam keadaan seperti itu, peranan 'orang padang' sangat penting. Orang padang ialah istilah yang diberikan kepada individu yang memantau pergerakan kerbau-kerbau liar berkenaan.
Dodot sendiri merupakan orang padang yang dikenali ramai di Kampung Lukut dan Kampung Bukit Lintang di samping empat orang padang yang lain.

ANTARA 10 hingga 30 orang penduduk kampung ikut serta dalam setiap operasi memburu kerbau liar.


"Beberapa hari sebelum puasa, tuan kerbau yang berhajat menjual kerbau sempena hari raya akan meminta kami menangkap kerbau milik mereka.
"Setiap orang padang mempunyai buku catatan khas yang menyimpan maklumat tentang kerbau yang dipantau termasuklah bilangan induk, kerbau jantan, anak, umur dan sama ada ia sudah bertindik atau belum," jelas Dodot.
Menurut orang padang veteran, Abdul Jalil Mustapha, 60, kerbau liar boleh dikenali melalui kesan tindik di telinganya.
Naik lori
"Kerbau hanya ditangkap jika tanda tindik di telinganya sama seperti yang dicatat dalam buku.
"Memburu haiwan ini hanya boleh dilakukan pada waktu malam kerana memburu pada siang hari sangat berisiko tinggi.
"Bukan senang untuk mengenal pasti kerbau pada waktu malam. Dalam operasi memburu kerbau liar, sudah tentu peranan orang padang sangat penting kerana merekalah yang paling mengenali kerbau tersebut," ujarnya sambil menunjukkan parut di kaki akibat tujahan tanduk kerbau.
Jelas Abdul Jalil lagi, terdapat dua cara memburu kerbau iaitu menggunakan kaedah kandang dan menajur.
"Kaedah kandang lebih banyak digunakan bagi menindik telinga anak kerbau," katanya.
Bagaimanapun, menurut seorang lagi pemburu kerbau veteran, Mohd. Zin Sadeh, 72, kaedah menajur lebih banyak dipraktikkan jika pemilik inginkan kerbaunya ditangkap hidup-hidup.
"Operasi menajur sangat berbahaya kerana pemburu terpaksa berdepan satu sama satu dengan kerbau liar itu. Mereka perlu tangkas dan bijak mengawal situasi bagi mengelakkan kemalangan," katanya.
Operasi menajur biasanya dimulakan pada pukul 11 malam dan berlarutan hingga awal pagi.
"Kami memburu kerbau yang sudah dikenal pasti melalui bentuk tindik di telinganya. Dengan menaiki motosikal, penajur akan duduk di bahagian pembonceng dan bersedia dengan sebatang buluh dengan seutas tali diikat pada hujung buluh.
"Di sini, keberanian pemburu kerbau liar akan diuji. Memandangkan kerbau suka bermain di kawasan lembah dan berlari dalam kumpulan, adakalanya kami perlu menunggang motosikal di laluan sempit dan becak.

KERBAU liar yang berjaya ditangkap ditempatkan di kandang sementara sebelum disembelih secara bergotong-royong dua hari menjelang Syawal.


"Bayangkan sahaja kalau kerbau liar yang bertanduk panjang dan runcing itu berpatah balik lalu mengejar kami. Memang lari tak cukup tanah dibuatnya.
"Adakalanya kami terpaksa menunggang motor di tengah-tengah kawanan kerbau liar demi menajur kerbau yang diingini.
"Apabila kerbau berjaya ditajur, saya akan segera mengikat tali tajur yang panjangnya kira-kira 60 meter ke batang pokok berdekatan hingga menyebabkan kerbau terpelanting," celah Dodot yang biasa memburu bersama lebih 10 rakannya.
Cabaran memburu kerbau tidak terhenti apabila kerbau berjaya ditajur, tambahnya.
"Kerbau akan ditajur buat kali kedua sebelum ditambat, ditutup mata dan dibawa keluar dari pinggir hutan dengan menaiki lori," katanya.
Hidung kerbau dicucuk dengan batang senduduk bagi memudahkannya ditarik manakala matanya ditutup bagi mengelakkannya bertindak lebih agresif.
"Ia kemudian dinaikkan ke atas lori sebelum dibawa ke kandang sementara. Bunyinya seperti mudah tetapi ada masanya kami terpaksa berhempas pulas selama lebih dua jam untuk membawa kerbau naik ke lori," ujar Dodot.
Jelas Dodot, menajur kali kedua sebenarnya jauh lebih berisiko kerana pada masa itu, penajur perlu berdepan satu sama satu dengan kerbau liar itu.
"Walaupun tanduk atau lehernya sudah ditambat, pergerakan kerbau sukar dijangka. Ia boleh meluru ke arah penajur dan risiko untuk dirempuh atau ditanduk sangat tinggi," ujarnya yang memburu kerbau liar sejak berusia 16 tahun lagi.

No comments:

Post a Comment