Saturday, November 10, 2012

resort kayu

Penginapan ala rimba di Philea Resort



KETIKA menjejakkan kaki ke resort seluas enam hektar di Ayer Keroh, Melaka kira-kira setahun lalu, hati Edmund Law Kian Boon, 32, terdetik seketika.
Akalnya ligat berfikir, mencari-cari jawapan. Resort kayu berkonsepkan reka bentuk kabin kontemporari yang berada di hadapannya itu seakan pernah dikunjunginya sebelum ini.
Sambil melangkah menuju ke ruang lobi, matanya leka memerhatikan persekitaran resort yang dikenali sebagai Philea Resort & Spa itu dengan lebih dekat.
Beberapa saat kemudian, ahli perniagaan perabot itu tersenyum. Nairobi, Kenya. Ya, itulah jawapan yang dicari-carinya sejak dari tadi.
"Daripada reka bentuknya yang berkonsepkan kayu seakan-akan sebuah desa di Eropah serta hutan dan landskap yang menghijau, ia mengingatkan saya sewaktu melawat di Nairobi sebelum ini.
"Apa yang membezakan, di belakang resort itu ada sebuah safari yang menempatkan haiwan-haiwan liar Afrika, tetapi harap-harap hutan di sini tak adalah," seloroh lelaki yang berasal dari Air Leleh, Melaka Tengah itu.

PANORAMA pada waktu malam di Philea Resort & Spa cukup romantis dengan kerlipan lampu berwarna-warni di sekeliling resort.


Mengakui hatinya sudah terpaut ketika kunjungan kali pertama itu, Edmund berkata, keunikan yang ditawarkan di resort itu tidak terdapat di negeri lain kecuali di Melaka.
Katanya, keunikan kayu yang digunakan sebagai dinding dan dekorasi resort menjadi tarikan utama kepada setiap pengunjung.
"Sebab itu saya selesa menjadikan resort ini sebagai lokasi perjumpaan dan penginapan rakan-rakan perniagaan saya sama ada dari dalam atau luar negara.
"Lagipun lokasinya strategik selain suasana sekelilingnya yang tenang dan mendamaikan jiwa," ujarnya.
Terletak berhampiran dengan Plaza Tol Ayer Keroh dan kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Melaka, Philea Resort & Spa menjanjikan penginapan eksklusif bertaraf enam bintang kepada pengunjung.
Mula beroperasi kira-kira dua tahun lalu, resort yang dibina dengan kos sekitar RM140 juta itu dimiliki dan diuruskan oleh Majestic Hotels & Resorts Sdn. Bhd.
Pengarah Komunikasi dan Permasaran Philea Resort & Spa, Connie Chin berkata, ia menawarkan 201 bilik secara keseluruhan meliputi 180 bilik Pavilion, 19 suite Philea dan dua unit Royal Villa.
Katanya, berbeza dengan resort-resort lain di negara ini, seluruh bangunan bilik penginapan dibina dengan menggunakan kayu pain atau rhu yang diimport dari Siberia, Rusia.
"Daripada lantai, dinding hingga ke siling termasuk hiasan dalamannya semuanya menekankan elemen kayu yang unik dan tampak semula jadi.
"Reka bentuknya diilhamkan daripada binaan rumah di Eropah. Lebih menarik, ia turut menggunakan kayu pasak seperti yang lazim digunakan oleh rumah-rumah tradisional satu ketika dahulu," katanya sambil mengakui kos penyelengaraan resort kayu lebih tinggi serta memerlukan penjagaan yang berterusan.
Selain itu, kata Connie, setiap blok direka khas untuk menghasilkan pandangan keseluruhan resort selain setiap bilik dilengkapi dan dihiasi perabot berkonsepkan elegan serta kontemporari.
Ia dilengkapi dengan kemudahan moden lain yang canggih seperti TV LCD, kemudahan Wi-Fi dan sebagainya.
Tambah Connie, resort itu turut mengetengahkan konsep 'hijau' demi kelestarian alam sekitar.

KAYU jenis pine yang digunakan di Philea Resort & Spa didatangkan khas dari Rusia.


"Tangga pada setiap bilik dan pagar misalnya diperbuat daripada lebih 8,000 keping kayu landasan kereta api, manakala bangkai kapal pula telah diubah suai dan dijadikan perabot di bahagian lobi.
"Di samping itu, kami juga turut menanam lebih 3,000 pokok di sekeliling resort sekali gus memberi suasana redup yang menyejukkan pandangan," jelasnya.
Kunjungan anda pasti tidak sempurna jika tidak menjengah ruang restoran dan kafe yang disediakan di resort itu. Sama ada pilihan sama ada di Cravo Cravo Nusantara, Bayu Cabana, ChillOut Bar dan Tropics Lounge, ia pasti tidak menghampakan.
"Selain menawarkan penginapan yang selesa, kami juga menghidangkan seleksi hidangan Asia dan antarabangsa yang enak dan menyelerakan.
"Sebut apa sahaja, semuanya pasti terhidang di depan mata. Di sini anda akan sentiasa kekenyangan," kata Junior Sous Chef, Mohd. Nizam Yusop.
Mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun dalam bidang kulinari, Mohd. Nizam kini bertanggungjawab mengendalikan Bayu Cabana, sebuah restoran berkonsepkan terbuka berhampiran kolam renang.
"Sambil menjamu selera aneka hidangan Barat dan stimbot yang ditawarkan, pengunjung pasti terpesona menikmati panorama kolam renang dan air terjun yang dihiasi lampu-lampu indah pada waktu malam," katanya.
Bagi yang mahu membelai tubuh dalam suasana yang tenang dan mendamaikan, atur saja langkah ke Tanjung Wellness Spa yang terletak di hujung resort.
Terdapat beberapa vila yang disediakan khusus bagi tujuan itu, setiap satunya dilengkapi bilik mandi dan bilik persalinan untuk keselesaan dan privasi pengunjung.
Pengurus Tanjung Wellness Spa, Alice Joutin berkata, spa itu menawarkan pelbagai jenis urutan untuk semua peringkat usia, jantina dan keperluan tubuh badan.
Tidak ketinggalan khidmat rawatan spa seperti stim, jakuzi, skrub dan sebagainya.
"Di sini kami mengetengahkan urutan Bali kerana ia menggabungkan kesemua teknik urutan dengan tekanan jari terhadap titik-titik tubuh badan untuk melegakan kesakitan atau menyegarkan tubuh badan," katanya.



Tambah Alice, ketika ini, pihaknya mempunyai empat ahli terapi profesional yang berkhidmat sepenuh masa.
"Pelanggan kami tidak terhad dalam kalangan pengunjung di resort sahaja, ada juga yang pelanggan dari luar yang datang kerana mahu mendapat perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung Haizren Mohd. Esa, 29 berkata, Philea Resort & Spa merupakan penginapan percutian yang mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Kata Haizren, sebaik melangkah kaki ke ruang balkoni, pengunjung pasti berasa terpukau melihat panorama menghijau di sekelilingnya.
"Di samping itu, deruan air terjun yang mengalir di hadapan resort membuatkan pengunjung seolah-olah berada di rimba.
"Semua faktor ini, pastinya menjadi tarikan kepada penggemar alam semula jadi, malah kepada mereka yang ingin bercuti dan bebas daripada hingar-bingar kota," katanya yang berasal dari Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Bagi Mohd. Khairuz Alu, 42, pula, kedudukan resort yang terletak di Ayer Keroh begitu strategik kerana dikelilingi beberapa tarikan pelancongan dan pusat beli-belah yang terkenal di negeri itu.
"Jika berasa bosan pengunjung boleh melawat ke Zoo Melaka, Taman Mini Malaysia dan Asean, Taman Buaya, Taman Rama-Rama atau sekadar beriadah di Hutan Simpan berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment