Tuesday, March 19, 2013

nelayan resort

ARKIB : 04/02/2013

Nelayan Resort

MENIKMATI makanan laut sambil bersantai pada waktu petang.
Tidak lengkap rasanya lawatan anda jika berkunjung ke Setiu khususnya Kampung Rhu 10 jika tidak singgah menikmati keenakan makanan laut sambil 'disapa' bayu yang membelai pantai.
Sotong celup tepung, cendol pulut dan pelbagai makanan laut lainnya pasti mendorong penggemar makanan laut selalu berkunjung ke sini.
Mereka wajar memilih Nelayan Resort yang diuruskan oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, di Kampung Rhu 10 sebagai tempat penginapan pada harga yang berpatutan.
Resort tersebut sangat sesuai bagi mereka yang memilih kawasan tepi laut sebagai lokasi berehat, jauh daripada kebisingan yang menyebabkan stres setiap hari.
Namun, resort yang dibuka pada 2000 dengan anggaran pelaburan RM1.5 juta sangat sesuai untuk mana-mana organisasi yang ingin menganjurkan aktiviti beriadah sambil berkursus atau menganjurkan hari keluarga pada harga yang tidak membebankan.
Menurut penyelianya, Mohd. Shah Khairul Abd. Rahim, kemudahan penginapan yang ditawarkan terbahagi kepada bilik VIP sebanyak empat unit dan bilik standard sebanyak dua unit.
''Mereka yang ingin menginap di resort PNK, kami menawarkan bayaran RM80 sehari bagi dewasa dan RM70 sehari untuk pelajar sekolah termasuk makanan dan minuman,'' ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya baharu sahaja menyiapkan seunit pengianapan berkonsepkan dormitory empat pintu yang mampu menampung kirai-kira 120 orang pada satu-satu masa.
Bagi organisasi yang ingin menganjurkan kursus dan memerlukan dewan , pengurusan resort juga menawarkan dewan kuliah untuk tujuan tersebut.
Kemudahan lain yang ditawarkan termasuk dewan makan, bilik yang dilengkapi pendingin hawa dan bilik VIP yang dilengkapi set televisyen dan pemain cakera padat.
Di pinggir resort juga terdapat pusat penetasan yang sebelum ini beroperasi sebagai menghasilkan benih udang.
Mengenai rancangan masa depan, Mohd. Shah Khairul berkata, pihaknya akan menambah kemudahan baharu termasuk bilik tambahan, kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak serta, kemudahan permainan paint ball.
Bagi mereka yang berminat aktiviti pantai, kunjungan tersebut pastinya bermakna dengan suasana tepi laut.
Selain aktiviti pantai, pengunjung juga ditawarkan pakej homestay atau inap desa di rumah keluarga nelayan dengan pakej bayaran antara RM250 dan RM300 seorang untuk tempoh selama tiga hari dua malam.
''Pakej inap desa ini melibatkan 30 buah rumah nelayan di kawasan sekitar dengan pelbagai aktiviti seperti melawat pusat membuat batik, persembahan dikir barat, menyaksikan kelip kelip di Sungai Setiu dan juga melawat pusat kraftangan,'' ujarnya.
Selain itu, mereka juga boleh melawat beberapa aktiviti atau projek hasil laut seperti penghasilan bilis kering dan budu, projek penternakan ketam dan menyusur sungai Setiu.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Nelayan Resort PNK Setiu di talian 09-6927921 atau 09-6292251 atau emel pnksetiu@yahoo.com - LAUPA JUNUS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130204/ag_02/Nelayan-Resort#ixzz2Nw223ikI
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment