Friday, April 8, 2011

Parking Taman Negara


aman Negara sesak kenderaan diletak sesuka hati

KENDERAAN diletak sesuka hati di laluan pintu masuk sehingga menimbulkan kesesakan dan tidak selesa pelancong asing yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.

Saudara Pengarang,
MASALAH pelawat domestik dan individu meletakkan kenderaan sesuka hati 'menghantui' pihak lain yang kerap berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan daerah Jerantut.

Senario berkenaan amat ketara di pintu masuk ke Taman Negara di Kuala Tahan Seberang (hadapan sekolah rendah dan tempat menunggu bas) apabila kenderaan diparkir di kiri kanan jalan berkenaan yang sempit.

Keadaan itu menimbulkan kesesakan kepada pejalan kaki khususnya pelancong Barat sambil memikul beg berat ke pintu masuk dari taman itu.

Terdapat kenderaan lain memasuki laluan yang sudah sesak untuk memunggah barang atau menurunkan penumpang di pintu masuk taman berdekatan Sungai Tembeling.

Keadaan itu juga menutup langsung keceriaan pintu masuk taman yang dihiasi laluan berturap batu-bata merah, pokok bunga dan memudarkan lagi 'warna-warni' landskap taman berkenaan.

Bukan sahaja pelancong menghadapi kesesakan lalu lintas, malah, senario tersebut berlaku apabila murid sekolah rendah masuk dan keluar pintu pagar pada hari persekolahan.

Lebih menghairankan mengapa pemilik kenderaan tidak menggunakan parkir khas yang dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berdekatan laluan ke sebuah resort swasta.

Parkir berkenaan yang boleh memuatkan hampir 100 buah kenderaan pada satu-satu masa selesa dan selamat, sebaliknya langsung tidak berfungsi sepenuhnya selain beberapa kenderaan sahaja dilihat berbuat demikian.

Saya meminta PBT menempatkan petugas beruniform secara bergilir-gilir untuk memantau kenderaan yang diletakkan sesuka hati khususnya pada cuti hujung minggu.

SURI TAMAN,Jerantut

No comments:

Post a Comment