Tuesday, April 12, 2011

Perahu Tembeling


Bukan mudah buat Perahu Tembeling

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ABDUL Hamid Dahaman memasang dinding perahu menggunakan kayu hutan di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Jerantut.

JERANTUT 11 April – Penggunaan bot penambang masih menjadi pilihan sesetengah pelancong walaupun wujudnya pengangkutan darat untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

Permintaan terhadap pengangkutan sungai menjadikan perusahaan membuat perahu secara tradisional masih lagi dilaksanakan sebilangan penduduk di Hulu Tembeling dekat sini meskipun aktiviti itu semakin malap apabila hanya golongan warga emas yang mengusahakannya.

Di kalangan penduduk Hulu Tembeling, perahu dan bot penambang yang lebih sinonim dengan panggilan Perahu Tembeling, mempunyai nilai komersial tersendiri.

Kedudukan lima kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling yang dihubungkan dengan Bandar Jerantut melalui Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer merupakan antara faktor perusahaan perahu berkenaan masih ‘bernafas.’

Perahu Tembeling boleh memuatkan seramai 20 penumpang selain digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Tembeling, Sungai Kenyam, Sungai Pengau dan Sungai Sepia.

Malah, kakitangan kerajaan dari bandar Jerantut yang mengadakan lawatan kerja ke Hulu Tembeling juga menggunakan pengangkutan tradisional itu berikutan tiada jalan perhubungan darat yang pantas.

Bagaikan satu kelaziman bagi penduduk persisiran Sungai Tembeling memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot penambang.

Bagi penduduk Hulu Tembeling, memiliki sebuah bot penambang berenjin 40 kuasa kuda dianggap berprestij sama seperti mereka yang mempunyai kereta di bandar.

Pengusaha Perahu Tembeling, Abdul Hamid Dahaman, 70, memberitahu, selagi tiada jalan raya ke Hulu Tembeling, bot penambang akan terus menjadi alat pengangkutan utama ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Abdul Hamid adalah antara pengusaha yang meniti usia emas yang masih betah membuat perahu secara kecil-kecilan di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling.

Meskipun tenaga semakin lemah akibat faktor usia namun permintaan yang kerap di kalangan penduduk untuk memiliki perahu merangsangnya untuk terus melaksanakan aktiviti itu.

“Saya terpaksa melakukan kerja-kerja ini kerana ada permintaan untuk menggunakan perahu apabila ramai pelancong mengunjungi Taman Negara.

“Lagipun orang muda masa kini tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja-kerja sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, kerja-kerja membuat perahu bukanlah mudah kerana dia terpaksa masuk ke hutan mencari kayu jenis meranti dan merawan untuk dijadikan ‘lunas’ yang dipasang pada bahagian bawah perut perahu.

Menurutnya, kedua-dua jenis kayu berkenaan amat sesuai dijadikan lunas perahu kerana ia ringan dan tahan lama walaupun terendam dalam air atau bergesel dengan batu jeram ketika di dalam sungai.

“Dinding perahu dibuat daripada papan jenis pokok yang sama,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, pokok berkenaan ditebang dan dipotong dengan cermat sebelum diketam untuk dijadikan papan setebal dua hingga tiga sentimeter untuk dijadikan dinding perahu.

Setelah siap memaku dinding, katanya, proses seterusnya ialah menampal lubang di celah dinding dan lunas dengan menggunakan bahan pelekat atau gegala yang dibeli atau diperbuat daripada getah pokok damar yang juga diperoleh dari hutan.

“Jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah perahu mengambil masa selama 20 hari termasuk memasang bumbung aluminium dan enjin,” jelasnya.

Kata beliau, badan perahu perlu disapu minyak hitam supaya lebih tahan ketika berendam dalam air dan jika perlu, ia boleh dicat supaya kelihatan menarik, bergantung kepada kreativiti pemiliknya.

“Saya menjual sebuah perahu antara RM6,000 hingga RM12,000 bergantung kepada saiz dan mutu pembuatannya termasuk jenis kayu yang digunakan,” katanya.

Proses terakhir, katanya, ialah kerja-kerja menurunkan perahu yang siap dari bengkel ke sungai bagi mengesan sama ada lunas dan dinding bocor selain menentukan perimbangan badan perahu itu semasa di permukaan air dan melalui kawasan jeram.

Kerja-kerja menurunkan badan perahu ke dalam sungai, katanya, dilakukan secara bergotong-royong di kalangan penduduk kampung.

Dia berharap generasi muda masa kini mempelajari kemahiran membuat perahu kerana ia memberi pulangan pendapatan yang agak lumayan.

“Saya sanggup melatih jika ada belia yang ingin mempelajarinya,” jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment