Tuesday, May 24, 2011

Mandi Manda

Mandi-manda sampai pagi!

Oleh AZMAN MD. NOOR

KEBIASAANNYA, kita mengelak untuk berendam di dalam air untuk sebarang aktiviti mandi-manda. Namun berbeza dengan pengunjung di kolam ini. Mereka gemar berendam sampai ke pagi! Begitulah keunikan Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dekat Baling, Kedah.

Ia menjadi tarikan penduduk di utara Semenanjung sebagai destinasi mandi-manda dalam kolam-kolam air panas yang terdapat di situ.

Disebabkan keistimewaan itu, lokasi ini menjadi tumpuan pengunjung waktu malam yang akan terus bersantai di situ sehingga ke pagi. Ini kerana hanya pada waktu itulah, pengunjung dapat merasai kesegaran berendam di dalam air panas.

Pusat rekreasi ini diselia oleh Majlis Daerah Baling (MDB) yang menyediakan kemudahan dan prasarana serba lengkap sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di daerah itu.

Mengikut rekod MDB, kehadiran pengunjung mencecah antara 2,000 hingga 3,500 orang pada malam minggu dan cuti perayaan.

Pusat rekreasi ini mula 'dikerumuni' pengunjung seawal pukul 9 malam dengan waktu kemuncak menjelang detik 12 tengah malam.

Tinjauan S2 mendapati suasana kolam-kolam air panas sepanjang waktu itu adalah meriah apabila pengunjung sama ada kecil atau besar mula 'melabuhkan' badan untuk berendam dalam tempoh tertentu demi menikmati kehangatan asli air panas yang mengandungi bahan sulfur.

Teknik dan prosedur yang perlu dipatuhi pengunjung ialah perlahan-lahan memasukkan kaki terlebih dahulu ke dalam kolam agar sesuai dengan suhu badan.

Jika tersalah teknik atau terburu-buru terjun ke dalam kolam air panas, tidak mustahil pengunjung boleh menghadapi masalah kejutan badan.

Lebih menarik, pengunjung boleh memilih kolam mana mengikut kesesuaian kerana setiap kolam mempunyai tahap suhu yang berbeza.

Selain itu, terdapat juga pengunjung yang sekadar bersantai duduk di tepi kolam untuk menghirup bayu malam sambil 'ditemani' kepulan asap nipis yang muncul dari permukaan air panas.

Menurut pengurus pusat rekreasi tersebut, Afif Shaari, kawasan berkeluasan 2.8 hektar itu turut memiliki calet, dometri, kedai serta gerai makanan.

"Kami juga menawarkan kemudahan penginapan untuk pengunjung yang mahu mandi sampai ke pagi," katanya.

Seorang pengunjung, Everilda Stanilus, 19, dari Keningau, Sabah, teruja dengan pusat air panas ini yang memiliki keistimewaan tersendiri.

Katanya, tempat mandi khusus untuk wanita, kanak-kanak dan dewasa membolehkan pengunjung mandi sepuas hati di situ.

Rakannya, R. Nisya, 19, mengakui seronok bersantai di pusat rekreasi tersebut kerana kolam-kolamnya mempunyai suhu air yang sesuai dengan penerimaan tubuh.

"Selain mandi-manda, kami juga boleh menginap di calet yang disediakan," katanya yang pertama kali mengunjungi pusat rekreasi tersebut.

No comments:

Post a Comment