Sunday, July 17, 2011

jom bulan madu atas pokok


Berbulan madu di 'rumah pokok'

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
utusansarawak@utusan.com.my


RUMAH pokok setinggi enam meter yang dibina sepenuhnya menggunakan kayu berlian menjadi tarikan utama di Permai Rainforest Resort, Kuching, Sarawak. - utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

SEBUT sahaja bulan madu, ramai pasangan pengantin baru pasti terbayangkan saat-saat manis yang bakal diharung sepanjang tempoh itu.

Malah, mana-mana pengantin baru pun akan tersenyum sendirian penuh makna memikirkan detik indah menyemai bibit-bibit cinta bersama pasangan.

Bagi pasangan mempelai yang inginkan pengalaman berbeza ketika berbulan madu, ruangan ini mencadangkan anda berkunjung ke Permai Rainforest Resort (Permai Rainforest) yang terletak di Santubong, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak.

Persis syurga idaman, tarikan utama resort yang dimiliki sepenuhnya oleh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) ini adalah rumah pokok setinggi enam meter dari aras tanah yang diilhamkan daripada cara hidup masyarakat Iban.

Bayangkan, berdua-duaan bersama insan tercinta pada ketinggian enam meter tanpa sebarang gangguan pengunjung lain yang lalu lalang. Yang ada cuma desiran dedaun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dan bunyi-bunyian unggas yang cukup mendamaikan jiwa.

Tambah mengasyikkan adalah pemandangan yang menjadi latar belakang rumah pokok ini, iaitu gabungan hutan hujan tropika di kaki Gunung Santubong bersama Laut Cina Selatan yang luas terbentang di hadapan mata.

Jangan risau tentang keselesaan dan keselamatan kerana dua aspek penting itu tidak pernah diabaikan pihak pengurusan. Meskipun berkonsepkan belantara dan dibina menggunakan kayu sepenuhnya, rumah ini tetap dilengkapi perabot dan kemudahan bertaraf hotel, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan di dalamnya.

Di samping tempat penginapan yang unik, resort ini turut menjanjikan pengalaman berbeza buat para pencinta alam. Melalui pakej aktiviti yang ditawarkan, para pengunjung berpeluang meneroka keindahan flora dan fauna di Taman Negara Bako, di samping 'mengintai' si hidung besar monyet Proboscis yang terdapat di situ serta menyaksikan kelibat ikan lumba-lumba dan penyu di Kepulauan Satang-Talang.

Selain itu, pengalaman mudik Sungai Salak dan kawasan paya pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip berterbangan juga mampu membuat sesiapa pun teruja. Tambah mengujakan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan Sang Bedal bersantai di sepanjang tebing sungai itu, betul-betul di hadapan mata!

Di tepi pantai pula, selain mandi-manda di laut, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah berkayak sambil menikmati keindahan alam. Bagi yang enggan bergelumang dengan pasir, mereka boleh berendam di sebuah kolam semula jadi yang terbentuk dari air sungai di kaki Gunung Santubong.

Alang-alang berada di sini, jangan lepaskan peluang untuk menyelami kesenian dan kebudayaan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik di Kampung Budaya Santubong (SCV) yang terletak bersebelahan resort ini.

Menurut Pengurus Operasi Permai Rainforest, Andan Zamahari, bagi mempelai yang ingin berbulan madu, pihaknya menawarkan dua pakej penginapan di rumah pokok berserta santapan dan layanan istimewa serba romantis serendah RM350 seorang.

No comments:

Post a Comment