Saturday, May 5, 2012

lipur terenggun

ARKIB : 04/05/2012

Selenggarakan kemudahan Hutan Lipur Terenggun

Persekitaran tasik di Hutan Lipur Terenggun yang mula tercemar perlu dinaik taraf untuk menarik orang ramai melakukan kegiatan memancing dan berekreasi.
Saudara pengarang,
SAYA seorang pelawat yang kerap singgah di Hutan Lipur Terenggun, berdekatan Jalan Lipis ke Merapoh, Lipis semasa pulang ke Kelantan.
Sejak mula dibuka beberapa dekad lalu, kawasan rekreasi berkenaan menjadi tempat persinggahan pelancong luar dan tempatan untuk kegiatan riadah serta melepaskan penat lelah selepas memandu pada jarak jauh.
Hutan Lipur Terenggun meliputi kawasan seluas 23 hektar terletak tujuh kilometer dari bandar Kuala Lipis dan sering disinggahi pelawat untuk beriadah khususnya mereka yang tinggal berdekatan.
Hutan berkenaan bukan sahaja pusat rekreasi penduduk setempat, tetapi menjadi lokasi kegiatan sukan lasak, perkhemahan, pengembaraan dan memancing.
Ketika singgah di pusat rekreasi berkenaan bersama keluarga minggu lalu, saya terkejut melihat laluan refleksologi, taman permainan, wakaf, tandas dan surau terbiar dan sebahagian besar daripada kemudahan itu rosak kerana tidak diselenggarakan dengan sempurna.
Agak menghairankan kawasan kolam yang menjadi tempat tumpuan memancing kini terbiar dilitupi rumput-rampai dan sampah-sarap di permukaan air.
Melalui Rakan Pahang ini, saya berharap pihak berwajib memberi tumpuan pembangunan pusat rekreasi berkenaan dan menaik taraf landskap agar persekitaran itu lebih kondusif.
Usaha tersebut perlu dilaksanakan segera kerana penduduk bandar Kuala Lipis tidak ada satu tempat kemudahan riadah yang nyaman berikutan pembangunan perumahan dan premis perniagaan semakin rancak di bandar ini.
Langkah membaik pulih pusat rekreasi itu dapat menarik penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis yang terletak bersebelahan kawasan tersebut melaksanakan kegiatan riadah dan luar kampus.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi bantuan wakil rakyat perlu menaik taraf kemudahan di situ untuk istirehat dan perkelahan bersama keluarga atau rakan-rakan.

No comments:

Post a Comment