Saturday, May 5, 2012

tasik cini

ARKIB : 04/05/2012

'Selamatkan Tasik Chini'

Tasik Chini di Pekan semakin tidak terurus ketika ini.
Saudara Pengarang,
Tasik Chini yang terletak di Daerah Pekan merupakan sebuah tasik semula jadi yang indah dan menjadi tumpuan pelancong sejak dahulu lagi.
Namun tasik yang berada di kawasan hutan seluas kira-kira 5,026 hektar perlu diselamatkan sebelum ia hilang daripada 'peta minda' peminat alam semula jadi.
Terletak berhampiran Sungai Pahang, ia dikatakan terbentuk melalui pertemuan 12 saliran air yang membentuk sebuah tasik dipanggil laut oleh penduduk tempatan khususnya masyarakat Orang Asli suku kaum Jakun.
Keistimewaan Tasik Chini menarik pengarah filem Melayu lama, Allahyarham Nordin Ahmad yang memaparkan legenda atau mitos dalam bentuk filem berjudul Naga Tasik Chini.
Jika dahulu pelancong tempatan dan luar boleh melakukan pelbagai program santai dan lasak serta berekreasi di situ, ia membuka peluang pendapatan kepada penduduk tempatan menjana ekonomi melalui aktiviti perniagaan.
Kini semuanya sudah tiada lagi apabila sikap manusia yang menebas dan menggondol kawasan hutan serta perlombongan berdekatan tasik tersebut.
Hal demikian sangat mempengaruhi kualiti tasik dari segi pencemaran air, tasik yang cetek, pembiakan hidupan akuatik terganggu sekali gus hilang seri kawasan tersebut.
Penduduk asal Tasik Chini iaitu perkampungan Orang Asli Gumum sangat bimbang akan perubahan mendadak tasik semula jadi ini akibat penebangan hutan yang tidak terkawal demi mengaut keuntungan.
Pihak berkuasa perlu memantau dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan itu sehingga tidak mempedulikan khazanah yang ada di tasik tersebut.
Selamatkan Tasik Chini daripada terus diancam kemusnahan serta kepupusan flora dan fauna yang menjadi isi kecantikan jantung hati rakyat Pahang itu.

No comments:

Post a Comment