Monday, October 17, 2011

jalan masjid india

Keistimewaan Jalan Masjid India




SEBUT Jalan Masjid India, pastinya terbayang keseronokan membeli-belah pelbagai jenis barangan yang ditawarkan di kawasan itu.
Tarikan-tarikan tersendiri yang terdapat di kawasan dikategorikan sebagai lubuk emas di kalangan para peniaga menjadikannya terus ‘hidup’ dan ‘bernafas’ sehingga ke hari ini.
Namun, dalam kemeriahan dan keterujaan berbelanja, mungkin ada yang ‘terlupa’ tentang kewujudan satu-satunya mercu tanda tertua di kawasan tersebut - Masjid India.
Sejarah masjid itu sendiri yang dibina oleh pedagang India Muslim yang berniaga di kawasan itu pada 1863, sudah cukup untuk menceritakan kenapa namanya Masjid India.
Aktiviti perniagaan yang bermula sejak ratusan tahun lalu tidak pernah terhenti sehingga kini dan masih dapat disaksikan kebanyakan peniaga adalah India Muslim.
Kewujudan bazar di jalan tersebut terutama ketika musim perayaan menambahkan lagi kerancakan perniagaan dan menjadikannya destinasi popular ketika musim perayaan.
Di mana ada perniagaan sudah pasti wujud kedai yang menjual makanan. Begitulah juga dengan Jalan Masjid India.
Deretan kedai Mamak serta gerai di kaki lima menjadikan jalan tersebut bukan hanya untuk perniagaan namun juga menjadi destinasi popular kepada penggemar makanan.
Apa tidaknya terdapat kedai Mamak tersebut yang telah dibuka lebih 50 tahun lalu. Bahkan mungkin juga ada yang telah wujud lebih lama dari itu namun tidak diketahui ekoran pertukaran pemilik.
Begitulah istimewanya Jalan Masjid India yang sentiasa meniti di bibir warga kota dan pelancong luar sekali gus menjadikannya sebagai destinasi ‘wajib’ dikunjungi jika berada di Kuala Lumpur.
Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan ROSALINDA MD.SAID bersama jurugambar, ZULKARNAIN MOHD SAIDIN, HAFIZ JOHARI, MOHD. AZIM ABD. RAHMAN dan IRWAN MAJID mengupas keistimewaan Jalan Masjid India yang sering diperkatakan ini.
Ikuti laporan penuh dalam S2 Utusan Malaysia, Sabtu 15 Oktober 2011 atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment