Friday, September 24, 2010


Tenang di air terjun Lepok
Oleh ASRUL EFFENDI ABIDIN

Kawasan di sini belum tercemar dan keindahannya masih dapat dinikmati. Juraian air terjunnya agak tinggi dan cantik.

MEMBUAT keputusan untuk berkhemah pada saat-saat akhir atau sehari sebelum ekspedisi adalah perkara yang biasa dilakukan oleh pendaki atau mereka yang menggemari aktiviti luar.

Namun, pilihan lokasi pada saat akhir biasanya berdekatan dan hanya memakan masa setengah hari hingga dua hari sahaja. Kami juga tidak terkecuali daripada melakukan perkara yang sedemikian. Bermula dengan sembang kosong di bilik latihan pejabat, akhirnya kami berlima dari Affiliation Team (Affiliation) memutuskan untuk menjejaki air terjun Lepok di Hulu Langat, Selangor pada keesokan harinya. Berbekalkan log yang dimuat turun dari laman web http://www.bintang3.net/ dan maklumat tentang air terjun ini melalui e-mel daripada rakan kami, Nije, akhirnya kami membuat keputusan untuk ke sana. Air terjun ini adalah permulaan bagi Sungai Lepok. Ada yang memanggilnya Sungai Lepor atau Sungai Lepoh. Namun, mengikut rujukan dalam peta Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (cetakan 2003), sungai yang dicatatkan di lokasi yang akan kami tuju ialah Sungai Lepok. Tiada persiapan rapi diperlukan. Hanya sedikit kudap-kudapan bagi mengalas perut ketika berjalan di dalam hutan sahaja yang kami sediakan.

Menyusuri denai hutan Seawal pukul 7 pagi, kami berlima berkumpul di stesen komuter Bandar Tasik Selatan. Dari situ, kami menaiki kereta Syahmi dan bergerak menuju ke kampung Hulu Pangsoon. Apabila melalui pekan Batu 9 Cheras, kami berhenti untuk sarapan. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke simpang kampung Hulu Pangsoon yang terdapat papan tanda arah ke ASLI Adventure di sebelah kiri jalan raya. Kami masuk menyusuri simpang itu dan selepas memandu selama kira-kira 10 minit, kami sampai di tempat letak kereta. Di kanan kami terdapat sungai dan di seberang sungai itu pula, terdapat tapak perkhemahan yang agak luas dan boleh digunakan untuk melakukan kegiatan motivasi ataupun kem gerak kerja luar. Memandangkan kami meletak kereta di atas tanah persendirian, RM2 telah dikenakan sebagai bayaran.

Pada pukul 9 pagi, kami yang telah siap dengan pakaian mendaki dan berbekalkan beg galas kecil masing-masing mula menyusuri denai. Denai yang dilalui ini tidak lama. Ini kerana selepas itu, kami meniti sebuah jambatan kecil. Seketika kemudian, sekali lagi kami melintasi jambatan setelah melewati sebuah pondok buruk yang telah roboh menyembah bumi. Kami mula menapak di laluan yang sedikit mencanak dan saya merasakan seolah-oleh mendaki ke Kem Lolo di kaki Gunung Nuang. Di pertengahan jalan, kami terserempak dengan seorang makcik Orang Asli bersama dua orang anaknya yang sedang mengupas rebung. Kami melalui bawah rimbunan buluh dan meneruskan pendakian dengan menyusuri ladang getah dan hutan.

Tidak lama kemudian, kami berjumpa satu cabang kecil ke kanan dan kemudian, kami terus menempuh laluan utama. Setelah setengah jam berjalan, akhirnya kami menemui cabang denai yang sama besar saiznya. Di kiri denai akan membawa kami menuruni bukit manakala di kanan pula arah mendaki. Kami mengambil cabang kanan dan terjumpa paip air bersaiz melebihi satu pemeluk. Di sini juga, kami menjumpai pokok tepus tanah daripada genus zingiber sp. yang tumbuh melata. Apa yang menarik tentang pokok ini ialah bunganya berbentuk seperti mikrofon. Akhirnya kami sampai di satu kawasan lapang yang mana pokok-pokok hutan telah ditebang dan ditanam dengan pokok buahan- buahan dan sayur - sayuran serta tanaman kontan seperti pisang. Pada anggapan kami, sudah tentu pokok-pokok ini ditanam oleh keluarga Orang Asli yang tinggal berdekatan sebagai sumber makanan mereka.

Suasana nyaman, tenang Kami meneruskan langkah dan mula mendaki bukit yang agak mencanak. Peluh jantan mula menitik. Sesekali kami meneguk air yang dibawa kerana kehausan. Nasib kami agak baik kerana laluan yang mencanak ini tidak terlalu panjang. Kira-kira pukul 10.30 pagi, kami sampai di sebuah pondok buruk seakan rumah tinggal milik penjaga pam air di situ. Di sinilah, penanda kepada permulaan denai menuju terus ke air terjun Lepok. Kami mula menyusuri sungai bagi mencari air terjun yang agak tinggi. Saya berdoa di dalam hati agar air terjun ini tidak mengecewakan kami.

Kira-kira lima minit kemudian, kami sampai di air terjun yang berbentuk zig zag dan berketinggian sekitar 15 meter. Jelas terbayang wajah kegembiraan dan senyuman puas Zahimi, Khairul dan Joe kerana dapat menjejaki air terjun ini. Bunyi hempasan terjunan air begitu mendamaikan. Suasananya begitu nyaman dan tenang. Masing-masing meluahkan rasa puas hati dan berbaloi dapat sampai ke sini.

Sebaik tiba di sini, kami mula memeriksa diri...kalau-kalau ada pacat yang melekat di betis atau kaki masing-masing. Terdapat beberapa ekor pacat yang sempat hinggap pada kaki kami dan telah gemuk kekenyangan.

Di kawasan ini juga, terdapat banyak lebah (apis.sp) yang gemar menghisap garam daripada peluh, menyebabkan kami semua terpaksa menanggalkan baju masing-masing yang masih dibasahi peluh. Lebah-lebah terus mengerumuni baju kami bagi menghisap peluh yang melekat pada baju. Walaupun baju telah ditanggalkan, namun masih terdapat beberapa ekor lebah mengerumuni tubuh kami. Untuk mengelak daripada terus diserang lebah, kami berendam di dalam air bagi membersihkan badan. Terbukti ketika naik semula ke tebing, tiada lagi lebah yang mengerumuni kami sekali gus membuatkan kami selesa untuk menikmati kudap-kudapan yang dibawa.

Kami difahamkan ada orang bermain gelongsor di air terjun berkenaan, namun tiada seorang pun di antara kami yang berani mengambil risiko dan berbuat demikian. Bimbang juga kalau-kalau perkara tak diingini berlaku. Bak kata pepatah malang tidak berbau. Setelah berendam, berenang, bergambar dan meneroka air terjun berkenaan selama satu setengah jam, kami mula bersiap untuk pulang. Kami menjangkakan perjalanan pulang sudah pasti lebih pendek masanya berbanding pergi kerana laluan yang menurun dan bukannya mendaki seperti perjalanan menuju ke air terjun. Di pertengahan jalan, kami terserempak dengan Orang Asli yang sedang mengusahakan kebun mereka. Terdapat juga Orang Asli menunggang motosikal untuk membawa keluar hasil hutan seperti bunga kantan atau nama saintifiknya Pheaomeria imperialis dalam kuantiti yang agak banyak.

Masih belum tercemar langkah kami lebih laju berbanding perjalanan pergi dan dalam masa sejam, kami sudah sampai ke tempat letak kereta. Lima minit sebelum sampai ke tempat letak kereta, kami perhatikan kawasan perkelahan di Sungai Lepok ini dipenuhi oleh pengunjung. Ada yang berkhemah, mandi manda dan ada juga yang barbeku. Suasana hari minggu di kawasan perkelahan ini agak meriah dengan kunjungan mereka yang ingin bersantai di jeram pada hujung minggu bersama kawan-kawan mahupun keluarga masing-masing. Setelah kami membersihkan badan masing-masing, barulah kami pulang.

Pada mulanya saya agak keberatan untuk ke air terjun Lepok ini, bimbang kalau-kalau ia mengecewakan, mungkin kawasannya kotor, air terjun yang kecil dengan air yang kotor. Rupanya-rupanya apa yang saya bimbangkan telah terhakis sama sekali. Kawasan di sini belum tercemar dan keindahannya masih dapat dinikmati. Juraian air terjunnya agak tinggi dan cantik. Walaupun ia tidak segah air terjun Jelawang di Kelantan, air terjun Chemerong dan air terjun Lasir di Terengganu mahupun air terjun Pelangi di Pahang, ia tetap sebuah air terjun yang unik dan boleh diklasifikasikan sebagai tempat yang boleh diulang pergi kerana agak cantik, memiliki kolam yang agak luas dan paling penting, ia tidak jauh dari ibu kota yang menjadi tempat kami menetap dan bekerja. Sudah pasti, kos yang rendah diperlukan untuk ke sana.

Bagi mereka yang ingin bermalam di sini, chalet dari Syarikat Idaman Nurani mampu memberikan tempat kepada pengunjung pada kadar sewaan yang amat berpatutan manakala bagi mereka yang ingin berkhemah di kawasan air terjun, terdapat tapak perkhemahan yang boleh memuatkan sekitar 15 orang pada satu-satu masa. Mungkin saya akan kembali lagi bersama kawan-kawan lain yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana dalam masa terdekat ini. Sesiapa yang berminat untuk mengetahui tentang air terjun ini bolehlah menghubungi penulis di talian 019-2361257.

No comments:

Post a Comment