Thursday, January 27, 2011

Basin


Najib singkap 'misteri' Maliau Basin

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

Gajah Pygmy spesies gajah terkecil di dunia adalah penghuni hutan di Maliau Basin, Sabah.

SABTU ini, Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Sabah akan melawat Lembangan Maliau atau Maliau Basin, dikenali juga dengan gelaran Lost World Of Sabah.

Pada lawatan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau (MBSC) yang ditubuhkan untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan, pendidikan dan eko-pelancongan.

Perdana Menteri akan turut melancarkan SAFE Projek, kerjasama antara Yayasan Sime Darby dan Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) Royal Society.

Najib juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), IKEA, Universiti Kyoto Jepun, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan SEARRP.

Sebenarnya, lawatan pemimpin nombor satu negara itu juga merupakan pemangkin kepada usaha kerajaan Sabah untuk mencalonkan Maliau Basin yang terletak di Bahagian Pantai Timur Sabah sebagai Tapak Warisan Dunia.

Ia merupakan usaha jitu kerajaan negeri dalam memelihara dan menjaga kawasan konservasi Maliau Basin, khazanah warisan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

Langkah itu juga sebagai mengikut jejak Taman Negara Kinabalu pada tahun 2000 yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia kategori tapak semula jadi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mengulas mengenai lawatan bersejarah itu, Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul berharap melalui kunjungan Perdana Menteri itu akan dapat meraih sokongan pelbagai pihak bagi membolehkan Maliau Basin diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Ini kerana Maliau Basin mempunyai pelbagai kelebihan geografi, flora dan fauna yang amat menakjubkan. Ia juga yang sehingga kini masih menjadi misteri, tidak terusik sejak ratusan juta tahun dahulu turut mendapat pengiktirafan sebagai kawasan Perlindungan Hutan Simpan Kelas Satu oleh kerajaan negeri.

"Lawatan ini juga diharap akan dapat menarik lebih banyak dana dan kajian serta penyelidikan mengenai 'rahsia' yang masih belum terdedah dalam Maliau Basin, sekali gus mengekalkan lagi kesucian semula jadi dan kepentingannya sebagai kawasan tadahan air untuk kegunaan rakyat Sabah.

"Diharapkan juga kehadiran bersejarah Perdana Menteri ini akan menobat dan mempromosikan Maliau Basin sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan utama di dunia," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Yayasan Sabah merupakan badan yang bertanggungjawab mengelolakan pengurusan harian Maliau Basin. Pada peringkat awalnya kawasan ini merupakan sebahagian daripada kawasan konsesi balak milik yayasan itu.

Menyedari keunikan kawasan ini, pada 1981 Yayasan Sabah dengan sukarela menjadikan Maliau Basin sebagai kawasan pemuliharaan dengan tujuan penyelidikan, pendidikan dan latihan seiring dengan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, jauh di timur Maliau Basin.

Maliau Basin yang terletak di dalam 'jantung' Kepulauan Borneo menceritakan segalanya mengenai flora dan fauna hidupan prasejarah yang wujud di dalamnya.

Ia juga merupakan kawasan tadahan air yang besar dan tunggal yang dialir dari Sungai Maliau, mengalir keluar melalui gaung yang seterusnya melalui Sungai Kuamut dan berakhir ke Sungai Kinabatangan, jalan air terbesar dan terpenting di Sabah.

Maliau yang membawa maksud 'susu atau kelam' dalam bahasa suku kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya, sementara Basin pula bermakna 'tangga gergasi' yang merujuk kepada bilangan tingkat air terjun yang terdapat di situ.

Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, Maliau Basin memiliki air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter yang cukup mengasyikkan selain pokok-pokok hutannya yang tumbuh setinggi 300 hingga 1,800 meter daripada paras laut.

Tiada manusia mahupun penduduk asli tempatan pernah direkodkan tinggal di dalam kawasan Maliau Basin menyebabkan ia tidak pernah terusik malah tiada langsung maklumat daripada orang tempatan mengenainya.

Maliau Basin yang berusia lebih 100 juta tahun menyimpan pelbagai rahsia alam termasuk kepelbagaian floranya dengan penemuan baru iaitu lebih daripada 1,800 spesies seperti enam jenis periuk kera dan lebih 80 spesies orkid.

Bunga terbesar iaitu Rafflessia tengku-adlinii sempena nama orang pertama yang menemui lembangan itu juga didapati di sini. Bagi faunanya pula, kebanyakan spesies hidupan liar terancam dan jarang ditemui terdapat di sini.

Antaranya seperti Badak Sumbu Sumatera, Orang Utan, monyet Proboscis, Harimau Dahan, Beruang Malaya dan gajah paling kecil di dunia - Borneo Pygmy Elephant.

Bilangan spesies burung yang direkodkan sehingga kini melebihi 290 spesies termasuk burung Bekia dan burung Jambul. Pada dasarnya Maliau Basin menjadi hot spot kepada kepelbagaian burung dan tidak kurang satu per empat spesies dalam senarai tersebut merupakan spesies terancam atau hampir terancam dalam senarai Kesatuan Pemuliharaan Dunia (IUCN).

Bagaimanapun, kawasan hutan ini tidak mempunyai banyak spesies ikan, ia berpunca daripada airnya yang berasid tetapi masih mempunyai lebih 35 spesies amfibia.

Apa yang menariknya, ia termasuk katak yang membuat rumah di dalam periuk kera! Antara sejumlah besar invertebrata, sekurang-kurangnya dua spesies yang telah dikenal pasti oleh saintis sebagai spesies baru iaitu ketam dan lebah air.

Mengimbas kembali, misteri Maliau Basin dirungkai oleh Datuk Tengku Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood, individu pertama yang berjaya memasuki Maliau Basin dengan menuruni tali daripada helikopter pada tahun 1981.

Tengku Zainal Adlin kini Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah menemui Maliau Basin pada awal tahun 70-an, semasa beliau diminta untuk membantu Kerajaan Negeri membuat inventori di Sabah bagi mengetahui sumber kekayaan negeri itu.

Tengku Zainal Adlin yang berpengalaman sebagai juruterbang profesional dan pernah berkhidmat di Indonesia pada tahun 1950-an semasa dalam Perkhidmatan Awam Kelantan telah membuat tinjauan udara sehinggalah beliau menemui sebuah 'kawah besar'.

Bagaimanapun hanya selepas kira-kira 10 tahun selepas itu, pada tahun 1981, beliau bersama 40 saintis tempatan dapat 'turun' daripada helikopter untuk menjalankan tinjauan pertama di bahagian utara Maliau Basin.

Pasukan itu kemudian membuat tapak pendaratan helikopter bagi kemudahan di masa hadapan yang mana kali pertama mereka berjaya mendarat menggunakan helikopter adalah setahun selepas itu.

No comments:

Post a Comment