Tuesday, January 4, 2011

Lubuk Kelah


Sungai Tembeling lubuk ikan kelah

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ZAHARUDDIN Nong (kiri) bersama petugas santuari bermain dengan spesies ikan kelah di kolam Melantai Dua, Taman Negara Kuala Tahan. - utusan/Haris Fadilah Ahmad

JERANTUT 3 Jan. - Menangkap ikan kelah dan spesies air tawar lain memang sinonim dengan penduduk di persisiran Sungai Tembeling kerana ia sumber rezeki harian selain aset tarikan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan dan kawasan Hulu Tembeling di sini.

Ada juga yang 'memburu' ikan kelah di kawasan sungai kecil di hutan Hulu Tembeling iaitu Sungai Pengau di Kampung Pagi; Sungai Sepia (Kampung Gusai) dan Sungai Kenyam di Taman Negara Kuala Tahan.

Selain itu, ikan kelah dan spesies lain diternak secara saintifik di Lubok Tenor dan Melantai Dua di Taman Negara Kuala Tahan oleh pengusaha tempatan berasaskan Sistem Tagal iaitu kaedah tangkap dan lepas yang menjadi tarikan ramai pengunjung.

Bagi kaki pancing di Sungai Tembeling dan Sungai Kenyam, tumpuan bukan sahaja aktiviti menangkap ikan kelah tetapi pemandangan alam sekitar dan aliran anak sungai yang masih lagi terpelihara sehingga memberi ketenangan kepada mereka yang mengunjungi tempat itu.

Kegiatan menangkap ikan kelah atau nama saintifiknya 'Tor Tambroides' dan spesies air tawar lain kebiasaannya dilakukan di lubuk Sungai Tembeling, Sungai Sepia, Sungai Pengau, di Taman Negara Kuala Tahan manakala Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai di Hutan Lipur Pengau, Hulu Tembeling.

Ikan kelah antara 'ikon' spesies air tawar yang menjadi kegemaran orang ramai kerana keenakan rasa isinya setelah dimasak dengan masakan asam tempoyak, pais tempoyak dan dibakar.

Jadi, tidak hairan jika satu kilogram ikan kelah berharga antara RM120 dan RM140 serta mencecah sehingga ribuan ringgit bagi seekor ikan.

Spesies ikan tersebut bukan hanya terdapat di sungai negeri ini sahaja tetapi juga popular di India dan negara Asia Selatan.

Sementara itu, fenomena 'ikan berlaga' menimbulkan kepercayaan penduduk tempatan pada musim kemarau menandakan punca rezeki mereka melimpah apabila turun ke sungai untuk menangkap ikan kelah dan ikan temoleh yang asyik berlaga.

Sebenarnya, keunikan ikan berlaga memperlihatkan perlakuan kelah jantan yang melanggar badan kelah betina dan spesies ikan temoleh pula memudahkan pasangannya bertelur.

Setiap kali bertelur, ikan kelah biasanya mengeluarkan 15,000 dan 30,000 biji telur dan daripada jumlah itu hanya 10 peratus membesar dengan sempurna serta menjadi induk.

Sebagai Omnivor, makanan utama ikan itu adalah rumpai air, alga, serangga, katak, ikan kecil dan buah-buahan yang terjatuh ke dalam sungai.

Spesies yang dikenali di kalangan kaki pancing sebagai 'ikan raja' atau 'raja sungai' itu boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dengan beratnya antara dua kilogram (kg) hingga tujuh kilogram.

Menurut penduduk tempatan, sisik ikan kelah yang lebar sebesar ibu jari boleh digoreng dan dikunyah seperti makanan keropok.

Di Lubuk Tenor dan Melantai Dua di sini pelawat boleh berenang, menangkap dan bermain ikan berkenaan yang jinak dengan memberi pelet makanan kepada kumpulan ikan tersebut.

Selain itu, ikan tersebut dan spesies lain keluar dari habitat lubuk untuk mencari makanan buah-buahan seperti buah neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai berkenaan pada musim panas.

Kebiasaannya, umpan buah-buahan makanan dan serangga menjadi pilihan kaki pancing untuk dipasang pada mata kail dan Aran (dahan pokok kecil dipasang tali dan mata kail di tepi sungai) bagi menangkap ikan air tawar.

TAJUK-TAJUK B

No comments:

Post a Comment