Saturday, January 1, 2011

Ulu Salan Jerantut


Ulu Salan

Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

KeMUDAHAN yang lebih sempurna dapat memastikan alam semula jadi yang lebih terpelihara.

BERADA di Ulu Salan, Jerantut, pasti ramai yang terpegun dengan keindahan alam sekitarnya memandangkan flora dan fauna di sini sentiasa terpelihara.Air sungainya yang jernih, pasti menjadi daya tarikan ramai.

Pada masa sama, Lata Permaisuri, Lata Manik dan Lata Lebah, antara tiga khazanah Lost Waterfall yang terdapat di pedalaman Jerantut, pastinya memberi pemandangan menakjubkan.

Walaupun sebelum ini Ulu Salan jarang diterokai memandangkan untuk ke tempat ini seseorang perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda, kini sejak pendedahan kawasan ini melalui media, nama Ulu Salan mula menjadi bualan ramai.

Ekoran itu, Ulu Salan didapati sesuai dengan pelbagai aktiviti seperti merentas hutan, berkenu, tapak perkhemahan, menjalankan kajian terhadap fauna dan flora dan banyak aktiviti lain.

Keunikan yang terdapat di Ulu Salan juga tidak mustahil ia menjadi salah satu produk pelancongan setaraf dengan Taman Negara Kuala Tahan.

Memandangkan tempat ini sudah mula dikunjungi ramai termasuk para pelancong dari luar negara seperti Singapura dan sebagainya, pihak berkuasa mula melihat bahawa Ulu Salan berpotensi untuk dimajukan.

Sehubungan itu, beberapa kemudahan asas telah didirikan seperti bilik air dan surau.

Apa yang menarik, kemudahan asas yang disediakan itu tidak melibatkan sebarang kerosakan pada alam sekitar di Ulu Salan.

Namun, semua kemudahan asas itu belum mencukupi bagi menampung pelancong dalam jumlah yang besar.

Kemudahan yang belum mencukupi itu jika tidak diatasi bakal memberi impak negatif terhadap alam sekitar di Ulu Salan.

Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beberapa aktiviti penjagaan alam sekitar di Ulu Salan diadakan dari semasa ke semasa.

Ini termasuk membersihkan sampah-sarap di Ulu Salan setiap kali aktiviti pacuan tempat roda dan perkhemahan diadakan di situ.

Baru-baru ini Middle Earth yang diketuai pengarahnya, Marodzuan Abd. Ghani bersama Kelab Redah 4x4 dan Land Rover Owners Club Malaysia telah mengadakan aktiviti perkhemahan di Ulu Salan.

Tema aktiviti itu ialah 'konservasi alam, budaya dan warisan, melalui ekopelancongan.

Menurut Marodzuan, antara objektif program di Ulu Salan itu ialah memperkenalkan Jerantut dan Ulu Salan sebagai Taman Negara Malaysia.

''Aktiviti ini termasuk penjagaan alam sekitar di Ulu Salan,'' katanya.

Berikutan semakin ramai pelancong mula berkunjung ke situ, sewajarnya pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Jerantut, Jabatan Hutan dan sebagainya, memikirkan supaya kemudahan asas sedia ada ditambah.

Ini termasuk menyediakan papan-papan tanda, tangki-tangki air yang lebih besar untuk kegunaan tandas dan beberapa kemudahan sampingan bagi menarik kehadiran pelancong.

Dengan kemudahan lebih baik di Ulu Salan, kawasan ini mampu menerima kunjungan lebih ramai pelancongan tempatan dan luar negara.

Bagi mereka yang mahu merasai kelainan melancong, boleh berkunjung ke Ulu Salan dengan melayari blog Middle Earth http://onemiddleearth.blogspot, atau telefon 09-2669618 atau 012-9819145.

TAJUK

No comments:

Post a Comment