Sunday, January 9, 2011

Pulau Perhentian


Percutian bajet di pulau Perhentian

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

PENGUNJUNG tempatan turut menjadikan Pulau Perhentian sebagai destinasi percutian pilihan mereka.

MOMEN indah bersantai di tepian pantai sambil dihiburkan deruan ombak mengikat kenangan sepanjang bercuti di Pulau Perhentian baru-baru ini.

Bayu berpuput lembut serta keindahan butir-butir pasir yang melandai menambahkan lagi keasyikan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Justeru andai kata anda ingin kembali kepada kenangan manis percutian itu, berkunjung saja ke Fauna Beach Chalet yang terletak di Pulau Perhentian, Terengganu.

Di sana, pemiliknya, Suhaimi Ibrahim jelas bijak menggabungkan mencantumkan satu suasana menarik apabila keindahan alam bersatu dengan kemeriahan muzik dan menu makanan yang menggamit selera.

Ternyata hasil ilham kreatif Suhaimi atau nama panggilan pulaunya, Mie Fauna menjadikan calet itu berbeza daripada destinasi percutian pulau di negara ini.

Fauna Beach Chalet sudah 15 tahun beroperasi. Paling menarik untuk dikongsi, calet itu sering tumpuan pengunjung luar negara selain para penyelam yang obses dengan aktiviti selam.

Kalau begitu, kita lihat apa lagi kemudahan yang disediakan calet itu hingga penuh sepanjang waktu kecuali musim monsun bermula November hingga Februari.

Menjamu selera

Tarikan utama semestinya sajian yang disediakan seperti masakan Western antaranya pasta, spageti, burger, kentang goreng, fish n chip, stik dan ikan panggang.

Bagi pengunjung tempatan, jangan risau kerana pelbagai juadah tempatan menanti anda seperti pelbagai jenis menu tengah hari seperti kari ayam, daging, ikan, masak lemak, masak asam pedas, selain mihun goreng, mee goreng dan nasi goreng.

Mereka yang sukakan makanan panas dan pedas seperti sajian ala Thai juga boleh mendapatkan tom yam, ikan masam manis dan ikan masak stim.

Air minuman pula sedia membasah tekak seperti aiskrim, banana shaked, jus buah-buahan serta minuman panas.

Anda boleh memilih untuk makan di meja makan yang betul-betul berhadapan pantai.

Jelas Suhaimi, ruang menjamu selera itu cukup sesuai buat keluarga mahupun mereka yang datang makan bersama rakan-rakan.

Bagi menambahkan keindahan malam, terdapat kumpulan muzik akan menghiburkan pengunjung dengan koleksi lagu-lagu evergreen dan nostalgia setiap malam.

Bagi pengunjung yang gemarkan cabaran, mereka juga berpeluang menjelajah hutan mengelilingi pulau selama dua jam untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan.

Pengunjung juga boleh mencuba kemudahan rekreasi termasuklah bermain bola tampar, bola sepak pantai selain dapat menguji keberanian dengan memancing dan berkenu berhadapan cabaran gelora ombak.

Menurut Suhaimi, calet tersebut merupakan konsep percutian bajet dan santai di mana pengunjung tidak perlu risau dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Harga berpatutan

“Fauna Beach Chalet menawarkan harga bilik yang berpatutan serendah RM55 untuk para pengunjung. Malah jika pengunjung memilih pakej tiga hari dua malam di sini, harga yang ditawarkan serendah RM300 seorang.

“Mungkin ramai yang terkejut dengan harga ini kerana ramai sering menyangka percutian di pulau memerlukan kos yang besar walaupun hati meronta untuk ke sini,” katanya tersenyum.

Pihaknya turut mengalu-alukan sesiapa saja untuk mengambil pakej lesen menyelam di calet itu yang boleh menempatkan 80 orang pada satu-satu masa.

Pakej yang ditawarkan adalah RM1,300 meliputi makan, minum, tempat tinggal, BBQ, pengangkutan dari jeti, lesen menyelam dan aktiviti pembelajaran.

“Fauna Beach Chalet menjanjikan percutian berbaloi wang ringgit bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

“Apatah lagi kami mempunyai 33 bilik meliputi jenis banglo, calet berhawa dingin dan calet berkipas yang menanti pengunjung,” katanya.

Biarpun dianggap percutian bajet, Suhaimi menegaskan, pihaknya mementingkan tahap perkhidmatan berkualiti dan suasana damai yang eksklusif.

Ini kerana dia mahu pengunjung pulang dengan rasa berpuas hati selepas menikmati suasana rehat yang menyeronokkan.

Paling penting katanya adalah mutu perkhidmatan kakitangannya yang memberi layanan mesra mereka kepada pengunjung sepanjang masa tanpa mengira sama ada tempatan mahu luar negara.

No comments:

Post a Comment