Sunday, November 20, 2011

kemaman ada zoo

'Safari Afrika' di Zoo Kemaman


Ahmad Said mendukung seekor anak singa yang diberi nama Yippa di Zoo Kemaman, Terengganu, semalam.


KEMAMAN 19 Nov. - Kerajaan negeri akan menaik taraf Zoo Kemaman di sini supaya menjadi antara zoo terbesar di negara ini termasuk mewujudkan 'Safari Afrika' sebagai tarikan terbaru kepada pengunjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, zoo berkenaan menerima 13 singa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membolehkan zoo itu dilengkapi 'Safari Afrika'.
Beliau memberitahu, haiwan berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun dan terdiri daripada tujuh jantan dan enam betina.
Selain itu, jelas Ahmad, Jabatan Perhilitan turut menyerahkan dua ekor tapir dan empat ungka yang dibawa khas dari pusat pemeliharaan di Zoo Melaka.
"Kesemua 13 singa itu merupakan haiwan yang dirampas oleh Jabatan Perhilitan di beberapa zoo di negara ini setelah didapati tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
"Sasaran Zoo Kemaman adalah untuk mencapai standard antarabangsa selain menjadi antara zoo terbesar di negara ini," katanya pada majlis penyerahan haiwan itu di sini, hari ini.
Ahmad seterusnya menjelaskan, selain 'Safari Arfika', Zoo Kemaman yang berkeluasan 120 hektar juga merancang mewujudkan sebuah 'Safari Malam'.
Justeru, jelasnya, beberapa ekor haiwan seperti zirafah dan antelop akan dibawa masuk ke zoo itu selewat-lewatnya tahun depan.
"Buat masa ini kita bawa masuk haiwan lain secara berperingkat bagi membolehkan kita menyediakan kawasan dan sangkar yang sesuai," katanya.
Katanya, Zoo Kemaman yang mula dibuka pada 2009 sehingga kini mempunyai 36 jenis mamalia termasuk harimau dan gajah, enam ekor beruang dan lebih 100 spesies burung.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, Zoo Kemaman merupakan zoo keempat di Malaysia yang menerima singa daripada jabatan itu selepas Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping di Perak.

No comments:

Post a Comment