Thursday, November 3, 2011

zoo taiping 2

Terpesona lihat gelagat haiwan


Gelagat memerang pastinya menarik untuk dirakamkan dengan lensa kamera.


TAIPING 2 Nov. – Menyeronokkan dan memberi banyak pengalaman. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai kepada Utusan Malaysia mengenai pengalaman mereka melawat Zoo Taiping dan Night Safari di sini baru-baru ini.
Kebanyakan mereka mengatakan, walaupun bukan kali pertama mengunjungi zoo, pengalaman berkunjung ke Zoo Taiping nyata berbeza.
Seorang pengunjung, Arizalina Ibrahim, 34, berkata, keadaan persekitaran yang redup menyebabkan mereka sekeluarga selesa untuk menjelajah ke seluruh kawasan zoo tersebut.
‘‘Ini kunjungan pertama saya ke sini dan saya cukup seronok untuk membawa anak-anak ke Night Safari bagi merasai sendiri pengalaman berjalan dengan ditemani hidupan liar yang aktif pada waktu malam.
‘‘Ini bukan sahaja pengalaman yang menyeronokkan tetapi memberikan pengetahuan kepada anak-anak saya mengenai spesies haiwan yang ada di dalam zoo ini, '' kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Mohd. Shahrir Harun, 25, yang juga baru pertama kali berkunjung ke zoo itu, berkata, tempat tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah kepada pelbagai lapisan usia.
Katanya, penerangan yang diletakkan pada setiap pagar haiwan membolehkan pengunjung mengetahui lebih mendalam mengenai sesuatu habitat.
‘‘Kunjungan ke zoo ini adalah lawatan sambil belajar. Kalau ada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara, ia pasti lebih meriah,” katanya.
Bagi seorang pelajar sekolah, Amar Asyraf Azhar, 7, pula, setiap kali berkunjung ke zoo, dia tidak akan melepaskan peluang untuk melihat reptilia seperti ular dan buaya.
‘‘Saya suka lihat ular dan buaya. Paling seronok apabila saya dapat memegang ular. Selain tengok haiwan, saya dapat ilmu dengan membaca penerangan yang tertera di setiap pagar haiwan,” katanya.

No comments:

Post a Comment