Thursday, October 21, 2010

Jambatan Gantung Taman Negara


Jambatan gantung 530m mengujakan
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


GEMENTAR...jambatan gantung atau canopy walk antara aktiviti yang mesti anda lalui di Taman Negara.
SEBUT saja Taman Negara, pasti ramai membayangkan hutan tebal berusia 130 juta tahun di Pahang yang menyimpan 1,001 khazanah alam yang masih belum diterokai.

Khazanah tersimpan bukan sekadar kehijauan flora atau keunikan fauna, tetapi keramahan serta keunikan budaya tempatan yang menjanjikan pengalaman sukar dilupakan.


Taman Negara berkeluasan 4,315 kilometer persegi. Pelancong ke sini perlu membayar tambang 'bas air' RM1 untuk menyeberang Sungai Tembeling.

Bayaran RM5 dikenakan jika ingin mengambil gambar di Taman Negara. Ada lebih 400 spesies burung, 80 spesies kelawar, 150 spesies herpetofauna, 50 spesies ikan air tawar, 240 spesies kupu-kupu, 200 spesies haiwan mamalia dan lebih 14,000 tumbuhan untuk diterokai.


Kunjungan penulis selama tiga hari dua malam, baru-baru ini atas jemputan Mutiara Taman Negara Resort (MTN) meninggalkan pengalaman manis kerana pertama kali menjejakkan kaki ke hutan antara tertua di dunia.


MTN menawarkan pakej percutian menyeronokkan dan tiada masa untuk berehat, antaranya melakukan sesi 'water confidence' di Sungai Tembeling! Dua unit banglo, 18 chalet, 16 rumah tamu dan asrama antara penginapan di sini yang menggunakan konsep tradisional.


Restoran Seri Mutiara menawarkan pilihan makanan timur dan barat yang enak termasuk gulai tempoyak ikan patin, sambal hitam, bubur nasi, nasi lemak, pasta, spaggheti, piza dan kuih-muih.


Eksekutif Rekreasi MTN, Ramlan Jaafar, berkata percutian di Taman Negara tidak memberi sebarang makna jika tidak bermandi peluh dengan menyertai pelbagai aktiviti luar.


Beliau berkata, mereka yang berminat boleh berjalan malam dengan aktiviti 'nite jungle walk' menjadi pengalaman paling menarik apatah lagi berpeluang bertemu hidupan liar seperti tapir, rusa dan kijang.


Lampu picit menjadi panduan berjalan dalam hutan sambil mata liar memerhati pergerakan penghuni rimba, antaranya belalang kayu, kala jengking, mentadak mentadu, ular daun, kupu-kupu, labah-labah dan burung hutan.

Lebih teruja mengunjungi Taman Negara apabila merasai sendiri pengalaman melalui jambatan gantung sepanjang 530 meter.

Seronok dan gementar. Itu kata-kata yang penulis ucapkan sebaik melepasi titian gantung dengan ketinggian 50 meter itu.


Aktiviti lasak, 'water rafting' atau 'water confidence' menguji kepakaran anda mengawal diri dihanyutkan arus dingin air Sungai Tembeling.

Santuari kelah di LubukTenor sejauh tujuh kilometer dari Kuala Tahan memang menjanjikan pengalaman menarik bagi yang pertama kali ke Taman Negara.


Perjalanan menaiki bot hampir sejam mengharungi Sungai Tahan berbaloi apabila melihat ribuan kelah berenang bebas di air jernih.


Beliau berkata, pengunjung boleh berenang dan bermain dengan kelah, tetapi dilarang membawa pulang.


Jika mahu merasai pengalaman tidur beralaskan rumput berbumbungkan langit pula, MTN menyediakan tapak perkhemahan. Atau jika mahu melihat kehidupan Orang Asli suku Batek, anda boleh berbuat demikian.


"Keunikan kehidupan Orang Asli itu menjadikan mereka sebagai satu daripada tarikan utama pelancong ke Taman Negara.


"Pelancong memang teruja berkunjung ke tempat Orang Asli ini kerana mereka diajar cara menghidupkan api, menyumpit dan mengukir," katanya.


Rombongan kami sempat mengunjungi perkampungan mereka di Dedari dan Kuala Terenggan.


Antara tempat menarik lain di Taman Negara ialah air terjun Lata Berkoh, mendaki Gunung Tahan, meneroka Gua Telinga, Gua Menari, Gua Kepayang, Gua Peningat dan Gua Gajah yang terletak di Kuala Tahan.


>INFO:
- Taman Negara berkeluasan 4,315 kilometer persegi
- Hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun
- Taman Negara Pahang berkeluasan 57 peratus dan bersempadan dengan Terengganu (24 peratus keluasan Taman Negara), Kelantan (19 peratus)
- Diuruskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
- Dihuni lebih 400 spesies burung, 80 spesies kelawar, 150 spesies herpetofauna, 50 spesies ikan air tawar, 240 spesies kupu-kupu, 200 spesies haiwan mamalia dan lebih 14,000 tumbuhan
- Antara mamalia yang pernah ditemui badak, harimau belang, gajah, tapir, dan badak sumatera
- Fauna yang pernah ditemui, mentibang, musang pulut, kelawar batu putih, kucing batu, belatuk pinang muda dan 'green crested lizard'
- Resort Mutiara Taman Negara dibuka pada 1990
- Menawarkan 108 bilik dan 64 katil asrama
- Menyediakan khidmat pemandu pelancong dan bot
- Restoran Seri Mutiara menawarkan menu makanan timur dan barat


>Bagaimana ke sana:
- Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira tiga jam dan Kuantan tiga setengah jam terus ke jeti Kuala Tahan
- Hanya membayar RM1 menaiki bot ke Taman Negara
- Pengangkutan awam disediakan dari bandar Jerantut


>Maklumat lanjut boleh hubungi:
Mutiara Taman Negara
Kuala Tahan, 27000, Jerantut, Pahang
Tel: 09-2663500
Faks: 09-2661500/2662501
e-mel: book.mtn@gmail.com
atau
Pejabat Jualan Kuala Lumpur
tel:03-27822222
faks:0327822211
e-mel: cro@mutiarahotels.com

No comments:

Post a Comment