Tuesday, October 12, 2010

Punggai


ARKIB : 10/10/2010

Mencari damai di Punggai

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

PANORAMA tenang pantai Punggai yang mendamaikankan jiwa.

NAMA pantai Punggai barangkali tidaklah terlalu popular seperti pantai Desaru, Batu Layar dan Tanjung Balau di Kota Tinggi, Johor.

Namun bagi mereka yang mencari ketenangan jiwa untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan, tidak mustahil anda akan jatuh cinta pandang pertama di pantai ini.

Di pantai Punggai ini, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah, memasak, memancing dan mandi-manda sambil menikmati keindahan air laut, langit membiru serta hembusan bayu yang mendamaikan.

Pantai yang tenang dan dikelilingi pokok kelapa itu turut memiliki tandas awam dan pondok kecil untuk kemudahan orang ramai.

Pengunjung boleh datang ke sana menerusi jaringan jalan raya sama ada dari Johor Bahru atau Mersing sebelum melalui Kota Tinggi dan Bandar Penawar.

Pembinaan pesat Lebuh Raya Senai-Desaru yang sedang rancak kini dijangka memudahkan pengunjung tanpa perlu tempoh perjalanan panjang pada masa akan datang.

Pantai Punggai juga mempunyai barisan calet menarik bagi pengunjung yang ingin bermalam di sana.

Salah satunya Chalet D'Punggai. Hanya dua perkataan yang menggambarkan keindahan pemandangan yang terdapat di calet tersebut iaitu tenang dan mendamaikan.

Pengalaman itu dapat diperolehi bila tinggal di sebuah calet berkenaan sambil menghirup udara segar serta ditemani deruan ombak yang menghempas pantai terutamanya pada waktu malam.

Ditambah pula dengan kicauan burung-burung yang riang bermain di pepohon kelapa yang meliuk-liuk bersama hembusan bayu menyamankan.

Sememangnya suasana itu merupakan tempat pelancongan yang sesuai dan menjadi pilihan bagi mereka yang ingin melarikan diri dari keriuhan bandar untuk beristirehat.

Pengurus Operasi calet itu, Rejaluddin Johari berkata, Chalet D'Punggai merupakan gabungan bangunan komersial yang menempatkan barisan kedai dan gerai makanan serta calet sebanyak 10 unit.

"Berbeza dengan calet-calet lain, Chalet D'Punggai menawarkan suasana bilik yang lebih luas dengan sentuhan hiasan dalaman menarik serta menggunakan papan kayu. Keistimewaannya adalah memiliki dua katil kembar dan satu katil bujang di dalamnya.

"Ruang tamu pula dilengkapi dengan sofa dan televisyen, manakala bahagian dapur menggambar ciri-ciri ringkas yang menonjolkan sentuhan moden bagi menjadikan suasana bilik amat selesa," katanya yang mempunyai jumlah kakitangan seramai lima orang.

Rejaluddin berkata, antara perkhidmatan dan kemudahan lain yang ditawarkan ialah bilik yang berhawa dingin, peti sejuk kecil dan kolam renang kanak-kanak.

Turut disediakan adalah kawalan keselamatan 24 jam, tempat letak kereta luas, bilik urut tradisional, kawasan perkhemahan aktiviti, surau dan sewaan peralatan BBQ.

Katanya, calet tersebut boleh menampung seramai 60 tetamu dalam satu-satu masa dan kadar penginapan yang dikenakan adalah berpatutan.

"Kadar penginapan bagi calet standard pada hari biasa dan hujung minggu ialah RM150 dan RM180, manakala bagi calet deluxe ialah RM180 dan RM210.

"Kami menjangkakan kadar penginapan akan melonjak pada tahun ini antara 35 hingga 40 peratus dengan sasaran utama ialah pengunjung dari Singapura," katanya sambil memberitahu pengunjung dari negara jiran itu kini menguasai kadar penginapan sebanyak 62 peratus sebulan.

Mengenai perancangan calet itu, beliau berkata, pembinaan bilik mesyuarat utama yang boleh menampung 100 tetamu akan bermula pertengahan tahun ini selain berhasrat menambah bilangan unit calet sebanyak 10 unit lagi.

Chalet D'Punggai mula dibuka Mac tahun lalu dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sebelum diswastakan kepada syarikatnya, Sinar Mas Marketing & Services untuk diuruskan dalam tempoh lima tahun.

Langkah Kejora itu wajar dipuji kerana secara tidak langsung telah memberi peluang kepada usahawan bumiputera untuk menceburkan diri dalam sektor pelancongan.

Maklumat lanjut mengenai Chalet D'Punggai boleh didapati dengan menghubungi pejabat jualan di 013-7220700 dan 013-7237578 atau layari laman web www.chaletdpunggai.myportal.my.

Produk pelancongan baru

Keindahan pantai Punggai merupakan satu potensi besar untuk maju dan boleh dijadikan tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain memiliki pantai landai dan tidak berombak, suntikan daya penarik yang menjadikan Punggai semakin terkenal apabila kewujudan medan ikan bakar serta restoran makanan laut.

Malah, terdapat beberapa gerai kecil makanan di sepanjang jalan menuju ke Sungai Rengit di mana auranya mampu melekat di hati pengunjung.

Ini kerana kebiasaannya pelancong gemar mencari gerai-gerai makan di luar dan berkonsep terbuka sambil menikmati hembusan angin laut pada waktu malam.

Hakikatnya, pantai Punggai kini sewajarnya menjadi alternatif kepada pantai jiran-jirannya agar kerancakan ekonomi dapat dikongsi bersama.

Biarpun hari ini, pengunjung tempatan dan asing lebih mengenali pantai Desaru dan pantai Batu Layar, keindahan Pantai Punggai tidak ada kurangnya malah setanding dengan pantai lain.

Kini, hanya masa yang menanti untuk menjadikan pantai Punggai sebagai produk dan destinasi utama bagi pelancong menghabiskan cuti pada hujung minggu.

No comments:

Post a Comment