Monday, October 25, 2010

Rumah Api 100 Tahun


Rumah Api Kuala Selangor kini 100 tahun


Tan Bee Hua (kiri) bersama suami dan anak-anaknya yang menjadi pengunjung ke-300 ceria dapat menjejakkan kaki ke aras paling tinggi Rumah Api Kuala Selangor di Bukit Malawati, Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 24 Okt. - Rumah Api Kuala Selangor di puncak Bukit Malawati di sini dibuka untuk kunjungan orang ramai sempena ulang tahun ke-100 rumah api tersebut semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia merangkap Pengerusi Lembaga Dius Api, Datuk Kapten Ahmad Othman berkata, selain menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka, rumah api itu turut berperanan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan di situ.

"Sejarah rumah api di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dan dari tahun 1826, rumah api di pesisiran pantai negara dikenali sebagai 'The Straits Settlements Lighthouses'.

"Rumah Api Kuala Selangor dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg sempena nama seorang Gabenor Belanda. Ia dibina pada tahun 1907 dan beroperasi secara rasmi pada tahun 1910.

"Dengan pembukaan rumah api ini, orang ramai boleh melihat sendiri keadaan di dalamnya selain mendapat penerangan bagaimana ia berfungsi," kata beliau selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Rumah Api Kuala Selangor di sini semalam.

Ahmad menjelaskan, ketinggian rumah api tersebut adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer.

"Lampu ini akan berpusing dan berkelip dua kali setiap 15 saat.

"Ia dijana kuasa elektrik sepenuhnya tetapi pada era awal ia beroperasi, lampu ini menggunakan minyak tanah dan generator," jelas beliau.

Tambah beliau, orang ramai yang berkunjung ke rumah api itu berpeluang menerima hadiah misteri dengan menyertai cabutan bertuah yang diadakan.

Katanya, bagi pengunjung ke 50, 100, 150, 200, 250, 300 hingga 500 pula akan diberi hadiah istimewa dan peluang naik ke tingkat paling atas rumah api yang menempatkan lampu pedoman.

"Pengunjung biasa hanya diberi peluang melawat ke lapisan pertama dan tidak dibenarkan masuk ke ruang lampu rumah api tersebut beroperasi," ujar beliau.

Sementara itu, seorang pengunjung bertuah, Tan Bee Hua yang berasal dari Kuala Selangor berasa gembira diberi peluang melihat sendiri pemandangan indah dari rumah api itu bersama keluarganya.

No comments:

Post a Comment