Saturday, October 16, 2010



Pertembungan 2 sungai dari dua gunung
Oleh Suliati Asri

2010/10/13

BERPELUANG menghabiskan cuti hujung minggu di atas puncak air terjun tertinggi di Asia Tenggara sambil menikmati pemandangan flora dan fauna yang mempesona sememangnya cukup bermakna.


CANTIK...kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara menjamu pandangan mata.
sebelum - selepas



SEJUK...Kem Baha diselubungi embun pagi yang dingin.
Ditambah dengan deruan air gunung yang dingin mengalir di celahan batu bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan segala tekanan dan bebanan kerja seharian.

Ia sekali gus meninggalkan kenangan manis buat pengunjung Air Terjun Jelawang di Taman Negeri Stong, Kuala Krai, Kelantan.

Setinggi 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi eko pengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.


Bagi menikmati kedamaian dan kesejukan airnya, pengunjung perlulah berkorban sedikit tenaga mendaki dan merentas hutan lebih kurang dua jam untuk sampai ke puncak Air Terjun Jelawang itu.


Keletihan yang dirasai bagaikan hilang begitu saja tatkala sampai di Kem Baha lokasi letaknya puncak Air Terjun Jelawang yang cukup memukau itu.


Kem Baha adalah pintu masuk kepada beberapa tarikan alam semula jadi lain kerana dari tapak persinggahan itu membolehkan pengunjung menikmati kehijauan kawasan gunung di Taman Negeri Stong.


Kem Baha juga unik kerana kem itu adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar 'The Last Waterfall' oleh penduduk tempatan.


Sesuatu yang pastinya membuatkan pengunjung teruja adalah deruan air terjun Jelawang dari Kem Baha.


Ia bagaikan menjadi suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.


Bagi menikmati keindahan alam semula jadi yang hakiki di puncak air terjun itu, sebaiknya pengunjung bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau rumah rehat yang disediakan.


Ini kerana, anda pastinya berpeluang merasai kedamaian dan suasana yang menarik ketika petang dan malam termasuk melihat matahari terbenam yang cukup memukau.


Ditambah lagi dengan kesejukan embun pagi di Hutan Simpan Kekal itu, pengunjung pasti liat untuk bangun pagi.

Namun, bagi yang sukakan panorama indah matahari terbit, jangan lepaskan peluang melihatnya di puncak air terjun tertinggi di Asia Tenggara itu selain memberi kelainan dan cukup mempesona.


Pengunjung pastinya terpaku melihat kecantikan cahaya yang dipersembahkan sang suria dan mungkin ada yang merasakan ia bagaikan diulit mimpi.

Selain panorama matahari terbit dari atas puncak air terjun itu pengunjung juga dapat melihat pemandangan Kampung Jelawang dan kehijauan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai khazanah belum terusik.


Selepas menikmati pemandangan mempesona dan indah, aktiviti mandi-manda pula mengambil tempat.

Berbanding tempat lain, Air Terjun Jelawang itu unik bukan sekadar panorama biasa malah airnya mengalir dari tebing batu tinggi.


Anda juga berpeluang menyaksikan pelbagai aksi yang dipertunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam dan ada juga yang hanya mandi di gigi air.

Bagi yang mahukan kelainan, aksi meluncur dari atas puncak air terjun mungkin boleh dicuba.

Acara meluncur itu juga antara yang paling popular dalam kalangan pengunjung dan ia tidak lengkap tanpa aksi itu.

Di samping bersantai dan bermandi-manda di situ, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.


Justeru, bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi serta merasai kedinginan air terjun yang menakjubkan, kunjungan ke Air Terjun Jelawang pasti tidak sia-sia.


Segala tekanan dan masalah yang dihadapi hilang selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalam membantu melegakan hati gundah.


>INFO
> Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara
> Mengambil masa dua jam pendakian untuk sampai ke puncak air terjun
> Unik kerana airnya bukan 'terjun' sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.
> Kem Baha adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar 'The Last Waterfall' oleh penduduk.
> Pelbagai spesies tumbuhan seperti bunga terbesar di dunia, rafflesia dan pokok palma serta orkid yang turut menjadi tarikan


Bagaimana ke sana:
> Pengunjung yang tidak menaiki kenderaan persendirian boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api ke kawasan berkenaan.

Jika berkereta api, pengunjung sama ada dari Tumpat atau Kuala Lumpur boleh turun di stesen kereta api Dabong sebelum menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan bot.

Selepas itu, pengunjung boleh menaiki kereta sewa di seberang sungai untuk ke Gunung Stong.

Pengunjung juga boleh menggunakan khidmat kereta sewa terus dari bandar Kota Bharu atau Gua Musang untuk ke kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment