Tuesday, October 19, 2010

Klasik


Motosikal klasik gegar Alor Gajah


SEBAHAGIAN daripada ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Karnival Gegar Rock Retro di Pusat Rekreasi Taman Beringin, Masjid Tanah, kelmarin.

ALOR GAJAH 18 Okt. – Kira-kira 2,000 motosikal pelbagai jenis menggegarkan Masjid Tanah bagi memeriahkan sambutan Karnival Gegar Rock Retro yang diadakan di Pusat Rekreasi Taman Beringin di sini, semalam.

Karnival anjuran Arena Entertainment itu memilih Melaka sebagai lokasi pertama siri penjelajahan selain Negeri Sembilan, Pahang dan beberapa buah negeri lain.

Program yang dianjurkan selama tiga hari itu mendapat sambutan daripada kelab-kelab motosikal retro dari Johor serta Singapura.

Pengarah Urusan Arena Entertainment, Mohd. Asri Ramli berkata, karnival tersebut bertujuan menghimpunkan kesemua motosikal klasik bagi menghidupkan nostalgia lama di kalangan golongan belia.

Menurutnya, selain menghimpunkan belia serta ahli-ahli kelab motosikal retro masing-masing, program itu dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala tidak sihat atau maksiat pada hujung minggu.

‘‘Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini golongan belia tidak sunyi dan cenderung untuk melakukan gejala yang tidak sihat.

‘‘Mereka diraikan dengan pelbagai program yang disediakan antaranya konvoi motosikal dan pertandingan motosikal tercantik,” katanya ketika ditemui pada karnival tersebut di sini semalam.

Karnival yang diadakan selama tiga hari itu turut menyediakan ceramah bertajuk gejala sosial yang disampaikan oleh penceramah, Siti Nor Bahyah Mahamood dan juga sukaneka rakyat yang disertai penduduk sekitar daerah tersebut.

Mengulas lanjut Mohd. Asri berkata, kemuncak karnival semalam berjaya mengumpulkan peminat dan ahli kelab motosikal daripada motosikal jenis kapcai hingga berkuasa tinggi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut beliau, antara kelab yang terlibat ialah Kelab Motosikal Masjid Tanah, Kelab Motosikal Sungai Udang, Kelab Retro Selatan (RSC), Kelab Motosikal Rembau, Kelab Motosikal Tampin dan Retro Malaysian Rider.

No comments:

Post a Comment