Wednesday, December 8, 2010

Cari Damai


Keliling dunia cari kedamaian

Rencana dan gambar AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

Marie Kuter bersama Michael Pauluzzi yang meninggalkan negaranya untuk mengembara ke seluruh dunia.

BERITA pergolakan dan jenayah yang berlaku di seluruh dunia menimbulkan tanda tanya adakah dunia masih selamat untuk didiami.

Atas desakan itu, sepasang kekasih dari Perancis meninggalkan tanah air untuk mencari kebenaran mengenai apa yang dilaporkan dan mencari negara paling selamat untuk didiami.

Selagi tidak memperoleh jawapan sebenar mereka bertekad untuk terus mengembara mengelilingi dunia.

Itulah yang dinyatakan oleh Marie Kuter, 27, dan pasangannya, Michael Pauluzzi, 30, dari Perancis selepas mengembara sejak enam bulan lalu.

‘‘Dari Perancis, kami terus ke New Zealand dan Australia. Di Australia, kami membeli sebuah pacuan empat roda yang kami jadikan tempat tinggal,’’ katanya ketika ditemui di Hutan Ulu Salan, Jerantut, Pahang.

Mereka berdua merupakan antara lebih 80 peserta Merdeka Challenge 2010 yang bermula di Jerantut dan berakhir di Ulu Salan.

Program itu adalah kerjasama antara Jabatan Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Majlis Daerah Jerantut dan pengendali pacuan empat roda, Middle Earth. Turut serta adalah Kelab Redah 4X4 dan Land Rover Owners Club Malaysia.

Menurut Marie, mereka berdua pada mulanya menyewa rumah di Perancis dan sering tertanya-tanya apabila didedahkan dengan berita pergolakan, pergaduhan, jenayah dan sebagainya.

Katanya, ada antara berita-berita itu seolah-olah menggambarkan banyak negara di dunia sudah tidak selamat.

‘‘Akhirnya kami berpendapat untuk keluar mengembara untuk melihat sendiri keadaan di tempat orang. Selain itu, kami juga mahu mencari sebuah negara yang aman dan selamat.

‘‘Walaupun tidak memiliki penginapan yang tetap tetapi dengan kenderaan ini kami mahu jadikan ia sebagai rumah bergerak,’’ katanya.

Ekoran itu, pasangan berkenaan memulakan pengembaraan ke New Zealand. Dari New Zealand mereka terus merantau ke Australia.

Di Australia, Marie dan Michael membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai kira-kira RM30,000. Dari Australia, mereka meneruskan perjalanan bersama kenderaan mereka ke Malaysia.

Di Malaysia, melalui Land Rover Owners Club Malaysia, pasangan itu telah mengikuti beberapa program eko-pelancongan termasuk ke Ulu Salan.

Sementara itu, Michael pula berkata, dia terkejut sebaik sahaja tiba di Malaysia kerana masyarakatnya yang berbilang kaum begitu mesra dan menghormati tetamu dari luar.

Katanya, dia tidak menyangka bahawa Malaysia yang dihuni majoriti penduduk beragama Islam berbeza sekali seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak mengenai sikap orang Islam.

‘‘Di sini (Malaysia), masyarakatnya hidup aman damai dan saling hormat-menghormati.

‘‘Apa yang digambarkan oleh sesetengah pihak mengenai Islam dan keganasan amat berbeza sekali apabila saya dan Marie tiba di sini.

‘‘Hati kami tertarik dengan kehidupan masyarakat di sini. Kami juga tidak ada masalah untuk bergaul dengan masyarakat Malaysia,’’ katanya.

Di Malaysia, Michael dan Marie kemudian mengubah suai kenderaan mereka dengan dibuat tempat tidur di bahagian belakang dengan kos RM10,000.

Menurut Michael, dari Malaysia mereka memasuki Thailand sebelum kembali semula ke Malaysia.

‘‘Kami kemudian sekali lagi ke Thailand, diikuti Kemboja dan beberapa negara berdekatan.

‘‘Dan kini kami kembali semula ke Malaysia untuk kali ketiga kerana begitu tertarik dengan suasana, kedamaian, kehidupan masyarakat dan kemesraan di sini.

‘‘Di Ulu Salan, Jerantut ini, kami begitu tenang dengan kedamaian yang ada,’’ katanya.

Menurut Michael dan Marie, selepas Malaysia mereka akan menuju ke India, Pakistan dan beberapa negara sekitarnya.

‘‘Kami juga akan ke Mesir, Turki, Afrika Selatan dan beberapa negara lagi di benua Afrika,’’ katanya.

Michael berkata, perjalanan mereka menjelajah dunia akan mengambil masa dua setengah tahun.

‘‘Sekarang baru enam bulan kami keluar dari Perancis dan banyak lagi cabaran mendatang yang tidak diduga menanti kami,’’ katanya.

Menjawab pertanyaan, Michael berkata, mereka tidak bercadang untuk membeli kediaman tetap di Perancis kerana hati mereka masih tercari-cari kedamaian di seluruh dunia.

‘‘Kenderaan pacuan empat roda inilah yang menjadi rumah sementara kami. Selepas dua setengah tahun nanti barulah kami fikirkan masa depan seterusnya,’’ katanya.

Menurut pasangan kekasih ini juga, mereka bekerja melalui Internet sebagai pereka bentuk laman web dan pereka bentuk laman Internet.

Kedua-duanya bekerja menggunakan komputer riba dan pada masa sama akan menjelajah ke serata pelosok dunia.

‘‘Pendapatan kami melalui Internet. Kami akan bekerja sambil mengembara,’’ katanya.

Di samping itu, Michael dan Marie juga menyatakan bahawa sejak datang ke Malaysia, antara juadah yang paling digemari ialah kaya ball.

‘‘Kaya ball sedap dan enak,’’ katanya ringkas.

Dua pasangan kekasih ini juga kagum apabila masyarakat Malaysia yang menjalankan aktiviti suka lasak seperti pacuan empat roda sering menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar.

‘‘Di Ulu Salan ini sahaja kami dapati alam sekitar sentiasa dijaga dan dakwaan mengatakan Malaysia banyak menebang pokok-pokok hutannya adalah meleset sekali.

‘‘Kami ucapkan terima kasih kepada semua kerana memperkenalkan kami kepada destinasi Ulu Salan ini terutama Pengarah Middle Earth, Marodzuan Abd. Ghani dan Jabatan Pelancongan Malaysia Negeri Pahang.

‘‘Hati kami tenang bila berada di Ulu Salan ini,’’ kata Michael mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment