Sunday, December 5, 2010

Pulai




Pulai impian di Aseania Resort

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

SUASANA calet yang mendamaikan pasti membuat pengunjung ingin menginap lama di sini.

PENGALAMAN menginap di Aseania Resort di Pulau Besar, Mersing, Johor baru-baru ini umpama terapi minda yang terlalu dibebankan dengan kesibukan bekerja di ibu kota yang sesak dengan manusia dan kenderaan.

Suasana tenang, jauh daripada hiruk-pikuk menjadikan penginapan dua hari satu malam di situ berlalu begitu pantas. Dapat pula menginap di resort selesa yang mendamaikan, mahu sahaja menurut kata hati menganjak percutian ke beberapa hari lagi.

Namakan apa saja yang pengunjung inginkan, segala-galanya terdapat di Aseania Resort terutamanya berkaitan dengan keindahan semula jadi.

Untuk percutian melebihi tiga atau empat hari, penginapan di Aseania Resort mungkin pilihan yang tepat bagi mereka yang memiliki bajet lebih.

Malah tidak salah memberi pengiktirafan kepada resort itu sebagai antara pulau impian di kalangan pengunjung kerana keupayaannya memenuhi pelbagai selera dan kehendak.

Lambaian pulau

Dari jeti Mersing, pengunjung menaiki bot lantas membelah ombak menuju ke Pulau Besar yang mengambil masa sekitar 20 minit sahaja. Barangkali itu adalah kelebihan utama di Aseania Resort bagi pengunjung yang cepat mabuk laut dan tidak gemar berada lama di atas bot.

Sebaik sahaja kaki memijak di daratan pulau, pengunjung pasti terpesona dengan kebersihan Pulau Besar yang bersih selain suasananya yang agak sunyi.

Suasana di pesisiran pantai juga tidak terlalu panas dan membahang sebaliknya redup lantaran dipenuhi pokok-pokok kelapa dan rimbunan pepohon pepohon rendang.

Ia pantas membuatkan hati tidak sabar menuju ke bilik untuk berehat sepuas-puasnya bagi melepaskan penat selepas beralun dilambung ombak dia atas bot.

Aseania Resort yang dilengkapi kemudahan Internet semestinya menjanjikan keselesaan dan tarikan tersendiri menerusi pakej snorkeling, memancing dan menyelam serta merentas hutan.


KESAN peninggalan program antarabangsa iaitu Expedition Robinson.

Jika ingin bersiar di sekeliling pulau itu, kemudahan berbasikal turut disediakan selain kolam renang, jakuzi dan aktiviti melawat ladang organik bagi menjanjikan percutian yang berbaloi buat pengunjung.

Permainan di pantai seperti bola tampar juga menawarkan cabaran bagi pengunjung yang gemar aktiviti yang mengeluarkan peluh.

Paling meninggalkan memori indah apabila peluang menikmati makan malam romantis di restoran yang di kelilingi pokok sambil ditemani irama desiran ombak menghempas tepian pantai.

Justeru, tidak salah apabila program antarabangsa iaitu Expedition Robinson menjadikan Pulau Besar dan Aseania Resort sebagai lokasi penggambaran wajib sejak sembilan musim lalu.

Keunikan Asenia Resort

Pengurus Aseania Resort, Jasbeer Singh berkata, resort itu sudah memiliki jenama yang besar di kalangan pengunjung terutama dari luar negara sejak kewujudannya 17 tahun lalu.

Antara tarikan utama resort yang berkeluasan 4.8 hektar itu, menurut Jasbeer, adalah kedudukannya berdekatan dengan tanah besar yang tidak memerlukan perjalanan lama dengan bot.


JASBEER SINGH

"Inilah keunikan di Aseania Resort yang mengadap tanah besar menyebabkan hempasan ombak tidak terlalu kuat selain terdapat beberapa perkampungan di sini.

"Selain itu, pembinaan calet yang menggunakan kayu meranti dan balau turut menjadikan Aseania Resort memiliki ciri seni bina yang klasik dan bermutu tinggi.

"Pada masa sama, kami juga tidak menyediakan kemudahan di televisyen di dalam bilik sebaliknya di ruang rehat restoran bertujuan menggalakkan pengunjung datang ke sini untuk merehatkan diri," katanya.

Jasbeer berkata, bagi yang menggemari aktiviti snorkeling dan menyelam, pihaknya menyediakan kawasan popular yang sering menjadi tumpuan di Pulau Mensirip.

Pengunjung juga, katanya, boleh meninjau beberapa pulau berhampiran Pulau Besar seperti Pulau Rimau dan Pulau Tengah.

"Saya harap lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara berkunjung ke Aseania Resort bagi memperolehi pengalaman berharga ini,"

"Tidak rugi sesekali menganugerahkan diri dengan datang bercuti di sini terutama mereka yang tinggal di bandar besar untuk menikmati kedamaian dan ketenangan jiwa tanpa sebarang gangguan," ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment