Thursday, December 16, 2010

Pahang Barat


Program Pengembaraan ke Pahang Barat

Oleh WAN YUSLINA WAN MUDA
utusanpahang@utusan.com.my

Peserta mengalami sendiri keindahan hutan Mossey yang menjanjikan cabaran dan keseronokan mendaki kepada pelancong di Gunung Brinchang, Cameron Highlands.

KUANTAN 15 Dis. - Pahang memiliki pelbagai khazanah alam semula jadi yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan para penduduk di negeri ini.

Kelebihan yang ada oleh negeri ini turut dijadikan sebagai produk pelancong untuk membolehkan pelancongan tempatan dan asing menikmati keindahan alam flora dan fauna.

Malah ia juga turut menjana ekonomi penduduk tempatan yang dapat menjual produk tempatan sekali gus memperkenalkan budaya tradisional kepada pelancong khususnya pelancong asing.

Bermula daripada permintaan atau keperluan pelancong apabila meninggalkan tempat inilah wujudnya rangkaian aktiviti perniagaan dan perkhidmatan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam industri pelancongan.

Industri pelancongan meliputi semua bentuk perniagaan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan khusus untuk keperluan serta permintaan pelancong.

Melihat kepada perkembangan itu, Tourism Malaysia Negeri Pahang menganjurkan program lawatan suaikenal dan pembelajaran yang dikenali sebagai 'Pengembaraan ke Pahang Barat'.

Program berlangsung selama empat hari itu disertai pengusaha agensi pelancongan dari Pahang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor, operator pelancongan dan juga media tempatan.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abd. Rahman berkata, langkah menganjurkan program itu untuk memperkenalkan laluan baru dari Sungai Koyan, Pos Betau iaitu Pahang Barat ke Cameron Highlands.

Katanya, kehadiran pihak-pihak terbabit akan dapat mempromosi dan mendedahkan produk-produk pelancongan yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.

"Semua peserta terbabit dibawa meninjau dan merasai sendiri pengalaman bermalam dengan melakukan aktiviti-aktiviti di kampung inap desa di samping melihat potensi peluang perniagaan yang terdapat di sekitar Pahang Barat," katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama menyertai program itu ialah Timbalan Pengarah Domestik Tourism Malaysia, Raja Normala Raja Samsudin; Timbalan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Negeri Pahang, Adi Din Hussain dan Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Shariman Hamdan

Amran berkata, pengalaman yang bakal dilalui oleh peserta di setiap lokasi sepanjang perjalanan ke Cameron Highlands berbeza dan menarik.

"Cameron Highlands merupakan lokasi pelancongan yang popular di Malaysia yang menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.

''Dengan adanya laluan baru tersebut, bilangan pelancong tempatan akan bertambah terutamanya penduduk Pantai Timur," katanya.

Jelasnya, beberapa destinasi menarik terdapat di Cameron Highlands seperti taman rama-rama, ladang strawberi, lebah dan ladang teh yang luas.

Selain itu, pengunjung juga akan menikmati pemandangan yang menakjubkan di Mossey Forest yang terletak di Gunung Brinchang.

Dalam pada itu, Amran memberitahu, inap desa Kampung Sungai Pasu, Raub dan Kampung Kuala Medang, Lipis mempunyai potensi untuk dikembangkan dari sudut pelancongan.

Jelasnya, Kampung Sungai Pasu adalah antara inap desa yang aktif di Pahang dengan keindahan landskap, keceriaan dan kebersihannya mampu menimbulkan suasana damai dan memukau perasaan.

Selain itu, katanya, kampung tersebut turut mempamerkan pelbagai ciri kehidupan tradisional dan memperkenalkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakan oleh penduduk kampung itu sendiri.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin, program seperti ini amat penting bagi mempromosikan Kampung Sungai Pasu dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, sejak terlibat dalam program inap desa dua tahun lalu kampung tersebut mendapat sambutan menggalakkan sama ada orang tempatan, pelajar institut pengajian tinggi dan juga pelancong asing.

"Sejak beroperasi ia sudah menerima pelancong dari Eropah, Korea, Jepun, Indonesia, China dan Taiwan," katanya.

Katanya, pencapaian itu adalah membanggakan apabila pelancong dari seluruh dunia memilih berkunjung ke kampung tersebut berbanding lokasi menarik di negeri ini.

Dalam pada itu, program Inap Desa Kampung Kuala Medang yang diasaskan pada tahun 1999 tidak kurang hebat dan merupakan salah satu pusat pelancongan yang amat berjaya di Pahang.

Pengerusi Inap Desa Kuala Medang, Mohd. Razaki Abd. Razak berkata, pelancong akan berpeluang sendiri melihat dan bermain permainan tradisional yang semakin dilupai.

"Pelancong juga boleh mencuba sendiri untuk membuat gasing secara tradisional tanpa menggunakan sebarang teknologi.

"Selain itu, pelancong turut dibawa melawat kampung tradisi, menikmati buah-buahan, menyelusuri sungai dengan bot dan memancing ikan di kolam yang telah disediakan khusus untuk pengunjung," katanya.

No comments:

Post a Comment