Monday, November 8, 2010

Gua Rimau


ARKIB : 30/10/2010

Langkah pertama ke Gua Rimau

Oleh Noh Ismail

PESERTA mengabadikan kenangan di puncak pertama Gunung Gua Rimau.

NAMA Gunung Gua Rimau jarang disebut oleh penggemar aktiviti kembara di negara ini. Bahkan ramai yang tidak mengetahui di mana letaknya gunung itu.

Gunung berketinggian 889 meter dari itu terletak di sebelah selatan Gunung Belumut di Kluang, Johor. Dipercayai tiada yang pernah mendaki ke puncak itu kerana laluan yang sukar.

Selain itu cerita mengenai kewujudan sekumpulan harimau yang mendiami sebuah gua di lereng gunung itu menakutkan ramai pendaki. Dari situ jugalah datangnya nama Gunung Gua Rimau.

Baru-baru ini penulis bersama sekumpulan pendaki seramai 18 orang mengadakan Ekspedisi Sondol Gunung Gua Rimau.

Lebih manis apabila sebuah lagi gunung berjaya ditawan iaitu Gunung Belumut yang berada di tengah-tengah laluan ke puncak Gunung Dua Rimau.

Sebenarnya tidak ada jalan lain untuk sampai ke puncak Gunung Gua Rimau kecuali dengan mendaki Gunung Belumut dan bermalam di puncaknya sebelum meneruskan perjalanan pada hari kedua.

Berikut catatan pengalaman penulis selama dua hari meneroka dan menawan puncak GGR.

Hari pertama:

Awal pagi 18 pendaki yang datang dari Kulaijaya, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kuala Lumpur menyusuri trek hutan ke puncak Gunung Belumut.

Sebelum itu taklimat ringkas diberikan oleh Pegawai Hutan Lipur Gunung Belumut yang kemudian disusuli doa selamat. Hujan yang turun pada awal pagi membuatkan peserta mengatur langkah dengan lebih berhati-hati kerana laluan yang licin.

Selepas berhempas pulas selama lebih empat jam akhirnya sampai di Kem Bonsai. Di situ peserta berkhemah sebelum meneruskan cabaran menawan puncak Gunung Gua Rimau pada keesokan harinya.

Petang itu para peserta naik ke puncak Gunung Belumut yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kem Bonsai. Dari puncak Gunung Belumut jelas tersergam Gunung Gua Rimau yang bakal ditakluk.

Hari kedua:

Awal pagi selepas menikmati sarapan pagi peserta memulakan langkah yang lebih panjang dengan meninggalkan Gunung Belumut. Namun beberapa orang peserta yang kurang cergas mengambil keputusan untuk tinggal di Kem Bonsai.

Berpandukan arah kompas, peserta mengikut bearing 135 darjah menuruni lereng Gunung Belumut menuju ke bahagian genting yang mencantumkan dua gunung. Lereng yang curam, licin dan lembap cukup mencabar.

Sambil berjalan perlu ditebas semak serta rotan berduri untuk membuka laluan. Sementara rakan yang dibelakang akan mengikat reben merah putih sebagai petanda bagi memudahkan mengesan jalan semasa balik.

Cerun dan lereng Gunung Belumut setinggi kira-kira 370 meter perlu dilalui untuk tiba ke genting. Jaraknya dianggarkan lebih kurang dua kilometer. Selepas dua jam berjalan menuruni lereng akhirnya sampai di genting yang berketinggian kira-kira 730 meter dari aras laut.

Dari genting itu peserta mengikut arah 155 darjah menuju ke puncak Gunung Gua Rimau. Cabaran kali ini adalah laluan mendaki yang mencanak naik.

Sambil mendaki, tangan tidak berhenti menghayun parang menebas semak, anak-anak pokok kayu serta pokok rotan berduri.

Batu-batu besar disusuri di lereng gunung. Pada paras 830 meter kelihatan Gunung Belumut berdiri gagah di belakang. Lembah Ulu Sungai Kahang juga dapat dilihat dengan jelas dari sini.

Selepas berhempas-pulas mendaki cerun yang curam akhirnya sampai di atas permatang gunung yang agak landai dan puncak gunung sudah semakin hampir. Puncak pertama Gunung Gua Rimau akhirnya dapat ditawan selepas tiga jam lebih turun dari puncak Gunung Belumut.

Sorak ketawa peserta memecah suasana yang hening di puncak. Keadaan puncak agak luas dan lapang dan dikelilingi pokok-pokok renik. Pokok paku dipteris conjungata mendominasi keseluruhan puncak.

No comments:

Post a Comment