Monday, November 8, 2010

Terowong Terpanjang


Terowong kereta api terpanjang Asia

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Jalur Gemilang dikibarkan selepas berjaya meletupkan batu bagi penembusan Terowong Berkembar Berapit di Padang Rengas, baru-baru ini.

PADANG RENGAS 7 Nov. - Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.4 bilion mempunyai banyak binaan infrastruktur yang akan menjadi mercu tanda utama kepada projek tersebut.

Salah satu mercu tanda hebat dalam PLBE adalah Terowong Berkembar Berapit (TBB) di sini, yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara dengan jarak 3.3 kilometer.

Terowong berkembar ini mempunyai ketinggian dan kelebaran sembilan meter.

Pembinaan terowong tersebut bermula pada 4 Oktober 2009 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2011.

Pengarah Projek PLBE Ipoh-Padang Besar, Yeoh Hin Kok berkata, kerja-kerja pembangunan TBB kini siap sebanyak 70 peratus.

''Baki 30 peratus tersebut melibatkan 15 peratus kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan 15 peratus pemasangan sistem di dalam terowong," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurut Hin Kok, pembinaan TBB menggunakan tiga kaedah iaitu gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit; potong dan tutup di kawasan terbuka dan kerja-kerja mengorek di bawah Lebuh Raya Utara-Selatan.

Katanya, kerja-kerja tersebut dibuat secara cermat sehingga pengguna lebuh raya tersebut tidak merasai gegaran letupan dan gerudi.

''TBB dibina menggunakan konsep 'bor' berkembar dengan satu landasan setiap satu. Sebanyak sembilan laluan menyeberang antara terowong kanan dan kiri turut dibina bagi tujuan keselamatan jika berlaku kejadian tidak diingini.

''Pembinaan terowong ini juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrastruktur yang bertaraf dunia," tambahnya.

Beliau juga memberitahu, TBB dibina untuk membolehkan kereta api memecut pada kelajuan 260 kilometer sejam.

Projek PLBE Ipoh ke Padang Besar yang dikendalikan kontraktor utama, MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV) merupakan projek terbesar yang dilaksanakan negara ketika ini.

Selain TBB, satu lagi mercu tanda dalam PLBE Ipoh-Padang Besar adalah jejambat marin di Bukit Merah yang kini siap sebanyak 95 peratus.

Jejambat sepanjang 3.5 kilometer itu dibina merentasi Tasik Bukit Merah yang pastinya bakal menjanjikan pemandangan menarik kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila ia mula digunakan kelak.

No comments:

Post a Comment