Monday, November 8, 2010

Inap Desa Kena Daftar

49 inap desa tidak sah

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 7 Nov. – Sebanyak 49 inap desa di Pahang didapati beroperasi secara tidak sah apabila tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idros Yahya berkata, pengusaha terbabit didapati menggunakan istilah inap desa terhadap rumah sewa milik mereka.

‘‘Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pelancong kerana inap desa di bawah Kementerian Pelancongan adalah konsep yang berbeza dengan rumah sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Pelancongan Desa peringkat negeri yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Shohaimi Md. Shah dan Pengerusi Inap Desa Sungai Lembing, Zulkefli Talib.

Menurut Idros, setiap rumah yang berdaftar untuk dijadikan inap desa akan mempunyai logo yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan dan diletakkan di hadapan premis tersebut.

‘‘Selain itu, beberapa kriteria perlu diambil kira termasuk kemudahan bilik yang disediakan, dapur dan tandas yang sentiasa berkeadaan bersih serta aktiviti setempat di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, tegas beliau, mana-mana pihak yang berhasrat mengusahakan inap desa perlu menjalani kursus asas pelancongan yang dianjurkan pihak kementerian.

Sehingga kini katanya, terdapat 12 inap desa berdaftar di negeri ini yang menerima kira-kira 11,000 pelancong sejak Januari hingga sehingga Ogos tahun ini.

Katanya, inap desa bertujuan memberi pendedahan kepada pelancong luar mengenai cara hidup masyarakat tempatan menerusi pengalaman tinggal bersama keluarga pengusaha rumah terbabit.

“Para pelancong berpeluang berinteraksi dan menyelami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Abdul Manan ketika ditemui berkata, terdapat banyak lokasi menarik di Pahang untuk dikunjungi termasuk Sungai Lembing yang terkenal dengan bekas lombong bijih timah terbesar di dunia, Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama dan Muzium Sejarah.

Menurutnya, setiap pengusaha inap desa perlu sentiasa memikirkan cara untuk menarik pelancong berkunjung ke kawasan mereka menerusi pelbagai program yang dirancang.

‘‘Dengan cara itu, pelancong akan kembali semula ke kawasan tersebut dan dapat meningkatkan taraf ekonomi pengusaha inap desa sekali gus memperkenalkan budaya serta cara hidup kita kepada orang luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment