Monday, November 29, 2010

Zoo Bagan Serai



Terhibur melihat telatah haiwan

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

Monyet-monyet kecil yang jinak akan mengambil makanan yang diberi oleh pengunjung tanpa rasa terancam.

BAGAN SERAI 28 Nov. – Melangkah sahaja ke Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort, pengunjung yang bernasib baik pasti disambut dengan bunyi suara ungka yang bersahut-sahutan.

Meneroka di dalamnya, kita akan dapati ungka berwarna kelabu kekuningan, bersuara nyaring ini tidaklah ‘seganas’ seperti yang disangka.

Malah, hati pasti terhibur melihat telatah haiwan ini yang seolah-olah tidak jemu-jemu untuk menghiburkan setiap pengunjung.

Digelar ‘ungka tangan putih’, mamalia ini merupakan antara lebih 30 spesies haiwan yang terdapat di Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort.

Hakikatnya, taman haiwan seluas kira-kira 1.2 hektar yang dibuka pada 5 September 1999 yang mempunyai tiga taman besar ini, menjadi tempat tinggal untuk pelbagai jenis hidupan berasal dari dalam dan luar negara.

Berkonsepkan mesra alam, taman-taman di sini direkabentuk menyerupai habitat asal haiwan-haiwan tersebut.

Dengan berjalan di atas pelantar yang ditinggikan, para pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan di atas kanopi pokok dengan begitu jelas.

Lebih menarik, pengunjung boleh berinteraksi dengan sesetengah haiwan jinak yang telah dilatih untuk ‘bermesra’ dengan manusia.

Bagi menjalin hubungan ‘mesra’ ini, di pintu masuk taman eko, pengunjung boleh membeli makanan haiwan pada harga yang berpatutan.

Taman pertama akan dilalui adalah Nature Trail atau jejak alam yang juga merupakan taman terbesar terdapat di sini.

Di dalam Nature Trail, pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai spesies ikan seperti koi, kalui, patin, rohu dan keli Afrika.

Selain itu, terdapat ikan arapaima atau lebih dikenali sebagai ikan naga sepanjang 2.4 meter dan ikan muncung buaya.

Di taman ini pengunjung boleh memberi makan kepada rusa jinak selain burung-burung merak yang memukau mata memandang.

Jika bernasib baik, kita dapat melihat burung merak jantan mengembangkan ekornya yang cantik untuk menarik perhatian merak betina.

Jangan terlepas peluang bergambar bersama monyet tupai kerana monyet-monyet kecil berasal dari Amerika Selatan ini sangat jinak dan comel.

Tanpa rasa terancam, monyet-monyet ini akan melompat ke bahu para pengunjung yang membawa makanan sambil mempamerkan aksi-aksi spontan.

Di antara Nature Trail dan Laluan Tropika terdapat kawasan binturong, spesies musang terbesar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara.

Haiwan ini aktif pada waktu malam tetapi jika ‘dipaksa’, dengan gaya malas, ia tetap mengambil makanan yang dihulurkan pengunjung.

Laluan Tropika adalah taman kedua terbesar di taman eko. Di sini pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat telatah ungka tangan putih.

Difahamkan, bunyi yang dikeluarkan haiwan ini boleh didengari sehingga dua kilometer jauhnya.


Pengunjung juga boleh menyaksikan para petugas memberi makanan kepada haiwan.

Tidak dinafikan, tarikan di taman eko ini juga ialah pengunjung dapat menyaksikan sendiri sesi memberi makan memerang kecil oleh kakitangan yang bertugas iaitu pada setiap pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang.

Dua spesies monyet capuchin yang aktif pada waktu malam terdapat di taman mesra alam ini ialah sugar glider dan kong kang.

Jika pengunjung melawat pada waktu siang, haiwan-haiwan ini akan tidur sahaja. Untuk melihatnya bergerak, pengunjung boleh melawat taman eko pada waktu malam dengan mengikuti program The Hoot atau kembara malam.

Sementara itu, di Taman Reptilia, pengunjung akan disambut oleh iguana yang dibenarkan bergerak bebas di dalam taman ini.

Pengunjung turut dapat melihat buaya tembaga, ular sawa batik gergasi, ular tedung selar, ular tedung senduk, ular kapak dan banyak lagi.

Selain haiwan reptilia, terdapat juga burung helang merah di sini.

Khas untuk kanak-kanak, mereka bukan sekadar boleh berinteraksi malah mempelajari mengenai haiwan-haiwan jinak di taman haiwan peliharaan.

Antara haiwan yang akan ‘melayan’ kanak-kanak di sini termasuklah arnab, tikus, tikus belanda, kambing biri-biri dan lain-lain lagi.

Kanak-kanak digalakkan untuk menyentuh dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ini bagi melahirkan sifat kasih sayang terhadap binatang.

Jangan ketinggalan menyaksikan pertunjukan haiwan setiap hari pada pukul 11.00 pagi, 12.30 tengah hari, 2.30 petang dan 4.30 petang.

Pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai aksi dan ragam burung-burung kakak tua seperti menaiki basikal, mengira dan bermain bola.

Pada penghujung pertunjukan, pengunjung boleh bergambar dengan burung-burung ini dengan bayaran hanya RM1 setiap seorang.

Program The Hoot atau kembara malam pula akan diadakan pada hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Ia bermula pukul 9.30 malam dengan pelayaran selama setengah jam di tasik Bukit Merah sebelum memasuki taman eko pertama di Malaysia ini.

Pengunjung akan dibawa berjalan dalam gelap oleh renjer bertugas dengan hanya berpandukan kepada bantuan lampu suluh dan cahaya bulan.

Bagi menyerlahkan daya tarikan taman eko ini, usaha sedang giat dijalankan untuk menambah kawasan pameran beruang, buaya dan rusa.

Kawasan pameran baru dijangka siap pada pertengahan Disember ini.

Taman eko tentunya menjanjikan pengalaman berpendidikan dan menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak.

Selain Taman Eko, Bukit Merah Laketown Resort juga mempunyai tarikan-tarikan lain seperti Pulau Orang Utan dan Taman Tema Air.

No comments:

Post a Comment